Followers

Monday, 18 March 2013

Kemajuan dan keindahan Negeri Kelantan….


Pada pertengahan bulan yang lalu saya bersama seorang sahabat telah pergi ke negeri Cik Siti Wan Kembang. Ketika dalam perjalanan kami melihat banyak pembangunan yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan untuk memajukan negeri tersebut.. Antaranya pembinaan jalan raya di daerah Gua Musang yang dilihat sedang dibangunkan. Setibanya di pekan Pasir Mas kami lihat begitu banyak kemudahan dan tempat  penginapan yang terdapat di sana dan kami tinggal di Zakinah Guest House bertempat di Tendong Pasir Mas. Lokasinya adalah terletak di jalan besar ke bandar Pasir Mas dan berhampiran dengan  RTC Wakaf Che Yeh yang menjadi pusat pengumpulan semua jenis perniagaan didalamnya dengan kadar harga yang sangat berpatutan. Bagi sesiapa yang inginkan kemudahan boleh lah untuk menyewa di Wisma Zakinah kerana tidak perlu menaiki kereta untuk mendapatkan makanan atau keperluan lain kerana di tingkat bawah bangunan tersebut terletak kedai makan yang beroperasi sehingga lewat pagi.
Tambahan pula pada hari setibanya saya di sana adalah hari di mana pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) fasa pertama dan saya dapat melihat sendiri bertapa gembiranya penduduk di sana mendapat bantuan daripada pihak kerajaan dalam masa-masa yang memerlukan. Selain itu, keesokan hari pula ada sebuah majlis perasmian yang disempurnakan Dato Mustapha Mohamad iaitu pembukaan laluan di Jambatan Sultan Yahya Petra yang kedua telah dibuka untuk memudahkan serta mengurangkan kesesakan lalu lintas menghala ke Kota Baru. 

Pelbagai program pembangunan yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan di negeri Kelantan. Hal ini membuktikan kesungguhan pemimpin dan kerajaan dalam memberikan kemajuan dan kemudahan yang selesa kepada semua rakyat di negara ini agar nikmat pembangunan turut di dikecapi secara menyeluruh.


Rashid: Jika ke negeri Kelantan jangan lupa untuk singgah di RTC Wakaf Che Yeh yang sememangnya terkenal dengan harga barangan yang murah serta pilihan yang pelbagai…

Thursday, 7 February 2013

Didikan Anak-Anak Menurut Islam

Salam semua.... Dah lama rasanya Mummy tak menulis, tapi hari ini Mummy terjumpa satu artikel yang menarik untuk kita kongsi bersama. Sebagai ibu, banyak perkara yang Mummy belajar menerusi artikel ini. Jadi moga-moga ianya bermanfaat untuk anda juga! Selamat membaca...

DIDIKAN ANAK-ANAK MENURUT ISLAM

1) Jangan pukul anak dari lutut ke atas


2) Jangan gunakan tangan/anggota tubuh kita untuk memukul anak dengan tangan dan jangan sesekali menampar anak menggunakan tangan kita. Ini kerana anak akan bertambah degil dan nakal serta tidak boleh dikawal.


3) Rotan/pukul anak di telapak kakinya. Secara saintifiknya ada kaitan dengan refleksologi dan merangsang ke bahagian otak


4) Mulakanlah hidup anak anda dengan nama panggilan yang baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri. (Dalam Islam sendiri nama panggilan yang baik adalah digalakkan).


5) Berikan anak anda pelukan setiap hari (Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ  yang lebih kuat daripada anak yang  jarang dipeluk)





6) Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang (Pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran)

7) Berikan penghargaan setiap kali anak anda berbuat kebaikan (Berilah pujian, pelukkan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya).

8) Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan, mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka buatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuklah berbuat silap.

9) Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga 


10) Jangan mengeluh di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak. Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban.

11) Dengarlah cerita anak anda, cerita itu tak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap (Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap)


12) Tenangkan anak anda setiap kali mereka memerlukannya.


13) Tunjukkan kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkan diri. Mereka akan menirunya.


14) Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut hari lahirnya. Sediakanlah hadiah hari lahir  yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak anda belajar menghargai. (Anak2  yang datang daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain).





15) Kemungkinan anak kita menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan kita mengajar mereka lebih daripada sekali.

16) Luangkan masa bersama anak anda di luar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan anda suami isteri.

17) Dengarlah mimpi ngeri anak-anak anda. Mimpi ngeri mereka adalah begitu real dalam dunia mereka.

18) Hargailah permainan kesayangan anak anda. Mereka juga dalam masa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan anda. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.

19) Janganlah membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam.

20) Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibu bapa yang sempurna. Ini akan mengurangkan stress menjadi ibu bapa.

21) Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga.

22) Anak menangis untuk melegakan keresahan mereka tetapi kadangkala cuma untuk sound effect sahaja. Bagaimanapun dengarilah mereka, dua puluh tahun dari sekarang anda pula yang akan menangis apabila rumah mula terasa sunyi. Anak-anak anda mula sibuk mendengar tangisan anak mereka sendiri.

MummyAnak- Anak ibarat kain putih. Ibu bapa lah yang mencorakkannya menjadi yahudi, nasrani atau majusi

Wednesday, 23 January 2013

Salam Maulidur Rasul



Selamat menyambut hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W bagi seluruh umat Islam diseluruh dunia.  Di ruangan ini saya ingin mengajak orang ramai supaya datang beramai-ramai dan memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad sebagai tanda kasih dan sayang kita kepada kekasih Allah S.W.T. Tema Maulidur Rasul pada tahun 2013 ini ialah Wasatiyah Tonggak Kesatuan Ummah. Wasatiyyah adalah daripada perkataan al-Wasat(الوسط) yang diterjemahkan dari segi bahasa dengan makna pertengahan (sederhana). Seterusnya diistilahkan dari segi Islam dengan maksud adil, sederhana dan terbaik.

Setiap tahun pihak kerajan memperuntukkan sebahagian dana dan peruntukan untuk majlis-majlis keagamaan dengan pelbagai program yang dapat menyemarakkan lagi rasa ukhwah sesama kita masyarakat Islam di Malaysia khususnya. Justeru itu, marilah kita beramai-ramai hadir dimasjid-masjid dengan rasa tawaduk serta menolak perbezaan ideologi untuk duduk bersama-sama meraikan sambutan hari kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. kita patut menyambutnya dengan memahami sirah dan sebab mengapa kita menyambut maulidur rasul setiap tahun.

Rashid: Jangan kita lepaskan peluang untuk pergi ke sambutan dan berselawat untuk Nabi Muhammad S.A.W penyuluh seluruh alam…

Friday, 14 December 2012

AES tujuan menyelamat bukan menghukum




Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES)adalah merupakan salah satu daripada usaha pihak kerajaan dalam mengurangkan kesalahan lalu lintas di samping mendidik pemanduan berhemah di kalangan warganegara Malaysia. Rata-ratanya sering mempersoalkan keberkesanan sistem baru ini dan adakah ia relevan dilaksanakan dalam masa sekarang. Untuk menjawab persoalan tersebut kita boleh melihat keberkesanan AES ini di beberapa buah negara maju seperti Perancis dan Jerman. Misalnya di Perancis sistem ini telah dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sebanyak 27 peratus setelah  tiga tahun perlaksanaannya. Begitu juga dengan negara Jerman di mana peratusan pematuhan jalan raya meningkat sehingga 80 peratus. Keadaan ini memperlihatkan kesan yang baik selepas penggunaan sistem ini.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2011 sebanyak 450, 000 kes kemalangan yang telah berlaku di negara ini yang mana sebanyak 6,877 kes melibatkan kematian. Ini adalah merupakan jumlah kes kemalangan dan kadar kematian yang tinggi akibat daripada kemalangan jalan raya. Oleh demikian, pelaksanaan AES dilihat perlu dilakukan supaya pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati dan akan di denda sekiranya melakukan kesalahan undang-undang keselamatan jalan raya demi keselamatan diri dan pengguna yang lain.

Kemalangan maut yang sering berlaku akibat memandu terlalu laju adalah merupakan salah satu daripada punca kemalangan di Malaysia. Justeru itu, dengan AES ini terbukti dapat mencegah tabiat memandu laju di kalangan pengguna jalan raya kerana kadar denda yang dikenakan RM300 setiap satu kesalahan tanpa ada rayuan pengurangan. Keadaan ini bukanlah memperlihatkan pihak kerajaan zalim atau menghukum pengguna jalan raya dengan denda yang tinggi tetapi dengan denda yang sedemikian, ia dapat membentuk pematuhan pemanduan berhemah dalam jangka masa panjang di negara ini.

Selain itu, kos pemasangan yang tinggi sebanyak RM717 juta sering kali menjadi persoalan kepada banyak pihak. Kos sebanyak ini bukanlah hanya tertumpu pada harga kamera dan pemasangan Sistem AES tersebut tetapi, ia melibatkan kos penyelenggaraan, baik pulih dan kerosakan-kerosakan lain. Sebagai contoh dalam insiden di mana Kamera AES ini telah dirempuh dan mengalami kerosakan dan yang terbaru kejadian di Selangor di mana kamera AES telah disimbah dengan cat merah. Keadaan ini juga meliputi sebagaian kos penyelenggaraan yang terpaksa ditanggung oleh syarikat yang berkenaan.

Bagi fasa pertama kamera AES ini telah beroperasi  di 14 lokasi kawasan-kawasan yang mana mempunyai kadar kemalangan yang tinggi dan  bertujuan untuk menggurangkan kemalangan supaya pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati dan mematuhi peraturan had laju yang di tetapkan. Selain itu, papan tanda amaran zon operasi kamera juga diletakkan dua atau tiga kilometer sebelum ke lokasi kamera bagi mengelakkan penganiayaan terhadap pemandu dan pengguna jalan raya  yang lain. Dengan peringatan yang diletakkan itu akan mengingatkan pemandu bahawa mereka sedang memasuki zon AES dan perlu berhati-hati dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Kesimpulanya, langkah yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk melaksanakan sistem AES ini dilihat sangat baik dalam mendidik pemanduan yang berhemah di negara Malaysia. Kesan jangka masa pendek akan memperlihatkan pemandu berhati-hati untuk mengelakkan saman manakala kesan jangka masa panjang pula pengguna jalan raya akan mempunyai nilai pemanduan yang berhemah kerana ia telah diterapkan ke dalam diri setiap pengguna jalan raya dan kadar kemalangan jalan raya akan dapat dikurangkan.

 Rashid: Pandulah kenderaan anda dengan berhemah.


Thursday, 13 December 2012

Chicken Pox atau Cacar Air.. Wajib Tapi Seksa…

Salam Semua…

Dah lama rasanya Mummy tak menulis di sini.. Kali ni, Mummy nak kongsi perihal chicken pox atau cacar air… Dua-dua anak Mummy baru je kena chicken pox.. Si kakak berusia 3 tahun, yang sedihnya adiknya yang berusia 7 bulan lebih masa tu pulak berjangkit.. Nak buat macam mana kan, dah duduk serumah.. Pasrah jela.. Nak tau fakta berkenaan chicken pox??
  • Cacar air berjangkit disebabkan virus Varicella. Ia amat mudah berjangkit, biasanya pada kanak-kanak.
  • Penyebaran adalah melalui sentuhan atau titisan cecair daripada orang yang dijangkiti, melalui bahan tercemar dengan cairan cacar seperti pada pakaian atau tuala penghidap.
  • Penghidap chicken pox boleh merebakkan virus sehingga 48 jam sebelum ruam timbul dan boleh menjangkitkan orang lain sehingga cacar air menjadi kering dan berkeruping.

Ini anak Mummy yang kena chicken pox bulan lepas.. Dah berparut dahinya.. :(


Tanda dan Gejala Cacar Air
  • Penghidap cacar air akan mengalami demam dengan bintik-bintik merah pada kulit. 
  • Bintik-bintik merah yang baru akan mula timbul dalam beberapa hari dan kemudian membentuk gelembung berisi air. 
  • Apabila gelembung berisi air itu pecah, ia akan menjadi kering dan berkeruping, serta menimbulkan rasa gatal.

Cara merawat? Rasanya semua pun sedia maklum bahawa pesakit chicken pox hanya diberi ubat paracetamol untuk mengurangkan demam dan calamine losyen yang disapu untuk mengurangkan gatal akibat chicken pox. Selebihnya, kalau boleh asingkan anak yang dijangkiti chicken pox dengan kanak-kanak lain. Bagi ibu bekerjaya, simpanlah cuti anda untuk kes-kes kecemasan sebegini… 


Zarra: Rasanya tiada siapa yang terlepas daripada terkena chicken pox… Kata orang biar kena masa kecil, sebab kalau kena ketika dewasa, sakitnya lebih teruk lagi..

Wednesday, 12 December 2012

Pohon Kucai Juga Berbunga?




Pernahkah anda melihat pohon kucai berbunga? Saya terpanggil untuk menulis mengenai tanaman yang saya lihat ditanam di sekitar rumah rakan pada kunjungan ke rumahnya semalam. Pohon kucai sering kali kita lihat digunakan untuk tujuan masakan seperti mee goreng dan sebagainya. Pendek kata tanpa daun kucai akan berkurangnya aroma sesuatu masakan.

Apa yang ingin saya sampaikan bukan lah berkenaan daun kucai semata-mata. Tetapi kreativiti dan manfaat terhadap pengunaan tanah yang sedikit di halaman rumahnya yang membuatkan saya kagum. Hal ini kerana daun kucai itu bukan sahaja dijadikan penambah rasa dalam masakan, tetapi turut dijadikan hiasan seperti bunga.


Selain tanaman kucai, terdapat pelbagai tumbuhan lain yang ditanam antaranya daun pandan, daun kesum, daun kari, serai, pohon inai dan ubi garut yang terdapat pelbagai kegunaannya. Kawasan tanamannya yang hanya berkeluasan 10 kaki persegi tetapi dimanfaatkan sebaik mungkin tanpa ada sedikit ruang yang terbiar kosong.

Sekiranya kita dapat memanfaatkan ruang yang ada di kawasan rumah sudah, pasti kawasan rumah kita akan dapat di hijaukan dengan pemandangan yang cantik dan damai….Sekian dulu untuk kali ini…



RashidSetiap manusia harus memanfaatkan kegunaan tanah yang ada bagi memenuhi keperluan seharian..

Tuesday, 11 December 2012

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia


Assalammualaikum semua.



Lama benar Cikgu Bedah tak menulis di ruangan blog Rakan 1KLIK ini. Selamat bersua kembali. MAklum sahajalah hujung-hujung tahun , banyak urusan yang perlu diselesaikan sebelum menjelmanya tahun baru. Tapi, Cikgu Bedah tak lupa juga melihat perkembangan semasa yang berlaku di negara kita lebih-lebih lagi berkenaan pendidikan negara.

Baru-baru ini, pada 11 September 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.
          
Cikgu Bedah nak berkongsi lah sedikit perkara yang dipaparkan dalam Pelan ini.

Laporan awal pelan itu yang memaparkan visi sistem pendidikan dan pelajar yang Malaysia perlu dan berhak miliki, memperincikan anjakan yang diperlukan untuk mencapai objektif tersebut.

Menurut dokumen itu, Kementerian Pelajaran berharap usaha tersebut akan memperjelaskan kepada masyarakat usaha mengubah sistem pendidikan negara dan akan mendapatkan maklum balas daripada komuniti mengenai laporan awal berkenaan sebelum pelan dimuktamadkan pada Disember ini.

Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksana dalam tempoh 13 tahun dengan Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha memperbaiki sistem dengan memberi sokongan guru dan tumpuan kepada kemahiran asas; Gelombang 2 (2016-2020) pula mempercepatkan penambahbaikan sistem; dan Gelombang 3 (2021-2025) ke arah kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel.

Pelan itu menyasarkan hasil pada lima aspek iaitu akses, kualiti, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan. 

Pelan turut menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.

Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:

1. Menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard
antarabangsa;

2. Memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris;

3. Membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni;

4. Menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan;

5. Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah;

6. Memperkasakan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan
sekolah untuk menyelesaikan isu mengikut keperluan;

7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat untuk meningkatkan kualiti
pembelajaran di seluruh Malaysia;

8. Menambah baik keupayaan penyampaian dan kapasiti kementerian;

9. Bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta; 

10. Memaksimumkan kemenjadian pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanja;

11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban umum.

Laporan itu juga menyatakan Kementerian Pelajaran melancarkan semakan menyeluruh sistem pendidikan pada Oktober 2011 bagi membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan baharu tersebut.

Menurut laporan itu, keputusan tersebut dibuat dalam konteks peningkatan standard pendidikan antarabangsa, aspirasi kerajaan untuk mempersiapkan kanak-kanak di Malaysia dalam menghadapi abad ke-21 serta harapan menggunung masyarakat serta ibu bapa terhadap dasar pendidikan.

Dalam tempoh setahun, lebih 50,000 pegawai kementerian, guru, pengetua, ibu bapa, pelajar dan orang ramai dilibatkan dalam pelbagai bentuk perbincangan. Kementerian juga melantik panel 12 pakar tempatan dan sebuah panel empat pakar antarabangsa bagi memberi input mengenai hasil semakan.






Cikgu Bedah: Nak tahu lebih lanjt, jangan lupa muat turun pdf Pelan ini.   






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...