Followers

Wednesday, 25 November 2015

Faedah Seni Mempertahankan Diri

Dalam era globalisasi ini, isu-isu tentang seni mempertahankan diri sudah menjadi 'buah mulut' orang ramai. Ramai orang terutamanya golongan ibu bapa amat menggalakkan anak-anak mereka mempelajari seni mempertahankan diri. Terdapat banyak jenis seni mempertahankan diri, antaranya ialah Silat, Wushu, Taekwando, Karate, dan sebagainya. Persoalannya, apakah faedah-faedah seni mempertahankan diri ini?


Mungkin sesetengah masyarakat berfikir bahawa jika anak-anak didedahkan kepada seni mempertahankan diri, mereka akan menjadi keras, brutal, dan suka menggunakannya untuk kepentingan diri sendiri. Perkara ini mungkin akan terjadi, tetapi jika difikirkan pada perspektif yang positif, ia lebih memberi manfaat daripada memberi kesan yang tidak baik atau negatif. Berikut adalah kesan-kesan positif yang mereka dapat jika mempelajari seni mempertahankan diri:

1. Kecergasan Fizikal
Latihan dan program intensif dapat membantu meningkatkan pengembangan kardiovaskular anak, dapat menguatkan otot, di samping dapat menyihatkan tubuh badan kita. Gerakan-gerakan yang dilakukan semasa mempelajari seni mempertahankan diri juga sebenarnya adalah senaman yang dapat membantu menguatkan otot-otot dan anggota badan kita. Bila badan kita cergas secara tidak langsung otak juga akan cerdas bak kata pepatah 'badan sihat otak cerdas'. Badan yang sihat dapat membantu mengurangkan risiko dihinggapi penyakit kerana dengan bersenam akan dapat meningkatkan kadar nadi dan mencegah pengerasan arteri, serta dapat mengurangkan tekanan darah tinggi. Arteri yang keras merupakan penyebab utama berlakunya tekanan darah tinggi yang boleh membawa penyakit jantung dan angin ahmar.



2. Disiplin
Definisi 'disiplin' dalam konteks ini adalah bermaksud: "melakukan apa yang harus dilakukan walaupun tiada keinginan melakukannya”. Melalui seni mempertahankan diri, ia mengajar anak-anak untuk berdisiplin, lebih mengawal diri dan konsentrasi. Banyak aliran mempertahankan diri yang mengajarkan teknik khusus dengan pelatih profesional untuk memberi 'fokus' pada penguasaan teknik dan pengawalan pergerakan. Kemungkinan teknik baru agak sukar pada awalnya. Namun stimulus untuk menciptakan keinginan mencapai peringkat yang lebih tinggi membuat mereka disiplin.

3. Menghormati
Kebanyakan seni mempertahankan diri mengajarkan untuk menghormati orang dari pelbagai peringkat usia, pangkat, keahlian, dan pengalaman. Peringkat yang lebih tinggi menunjukkan keahlian yang tinggi dan apabila mereka mencapai peringkat tertentu, mereka boleh menurunkan pengetahuan mereka kepada orang lain. Dengan demikian, anak-anak akan belajar bagaimana memperlakukan orang dengan hormat, di dalam aktiviti mahupun di luar tempat latihan.

4. Keseimbangan
Latihan seni mempertahankan diri dapat membantu mereka memberikan keseimbangan jasmani dan rohani dan juga dapat mempelajari teknik-teknik tentang bagaimana mencegah kecederaan.



5. Menghilangkan Stress
Beberapa aliran seni mempertahankan diri mengajarkan teknik 'meditasi' sejak awal mulai latihan. Dengan latihan dan rutin yang terancang, anak-anak dapat melepaskan tenaga negatif dari badan. Dengan cara ini, mereka dapat meredakan kemarahan, dan sentiasa tenang.

Menyertai seni mempertahankan diri juga adalah satu wadah yang paling baik untuk menambah kenalan dan bersosial. Di samping berlatih, kita juga boleh berinteraksi dengan rakan-rakan lain. Secara tidak langsung kita boleh berkongsi pengalaman dan juga menambah pengetahuan melalui perbualan dan perbincangan bersama-sama rakan sepelatih. Kita boleh bertukar-tukar pengetahuan bukan sahaja mengenai seni pertahan diri, tetapi boleh juga bertukar-tukar pendapat mengenai isu semasa dan juga kerja sekolah. Dengan ini, pengetahuan kita akan bertambah luas dan ilmu kita akan bertambah banyak.


Konklusinya, seni mempertahankan diri memang banyak mendatangkan faedah kepada kita. Semua pihak perlu berganding bahu, bersama-sama mengembangkan seni mempertahankan diri di dalam masyarakat. Ibu bapa perlu memberikan galakan sepenuhnya sekiranya anak mereka ingin mempelajari seni mempertahankan diri. Selain dari dapat mempertahankan diri sendiri, seni mempertahankan diri juga mampu membentuk akhlak dan pekerti yang murni, meningkatkan keyakinan dan jati diri, dan juga menyemai ikatan persaudaraan di kalangan ahlinya dan seterusnya kepada masyarakat. Di samping itu juga, seni mempertahankan diri juga mampu membentuk sahsiah yang tinggi dan melahirkan masyarakat yang mempunyai kesetiaan dan kecintaan terhadap negara.

AveiroPJ - jika sudah belajar, jangan tunjuk gengster pulak..sebaliknya gunakanlah sebaik-baik ilmu itu.. =)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...