Followers

Tuesday, 27 August 2013

Uniknya Malaysia

Hari Kemerdekaan Negara pada setiap tahun di sambut dengan penuh meriah. Pelbagai acara disediakan oleh pihak penganjur untuk menyemarakkan lagi hari yang sentiasa dinantikan oleh pelbagai lapisan masyarakat yang majmuk. Kesederhanaan dalam kepelbagaian ini menyebabkan Malaysia sentiasa mendapat perhatian dunia kerana disebabkan keistimewaan negara ini yang tidak terdapat di mana-mana negara yang kini mencecah 214 etnik yang telah didaftarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan di akui oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. 

Menyorot kembali sejarah kemerdekaan yang dikecapi kini, tidak bermakna kita bebas untuk mengeluarkan perkataan yang berbaur fitnah hingga membawa perpecahan dan juga tidak bermaksud membiarkan diri kita untuk melakukan sesuka hati tanpa berlandaskan kepada Prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Negara. Bebas bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal malahan meliputi kerohanian dan mental. Untuk menjadi bangsa yang bermaruah, sikap hormat menghormati perlu diterapkan dalam segenap lapisan masyarakat khususnya dalam komuniti pada masa kini.

Penguasaan melalui pegangan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu diterjemahkan dalam penguasaan ilmu pengetahuan terutamanya untuk golongan belia untuk mempercepatkan proses pembangunan negara. Menjadi tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi amat rapuh.



Uniknya Malaysia dalam kaca mata kita sendiri dapat dirangkumkan dalam kepelbagaian iaitu adanya kepelbagaian kaum, kepelbagaian variasi makanan, kepelbagaian budaya dan warisan serta kepelbagaian agama yang dianuti. Namun asasnya adalah toleransi sebagai tunjang utama dalam membina sebuah masyarakat madani yang aman dan harmoni. Untuk mempupuk semangat perpaduan bukanlah sesuatu tugas yang mudah dan boleh dipandang ringan. Ianya memerlukan usaha yang berterusan, iltizam yang tinggi dan peranan pemimpin masyarakat dalam memberi impak terhadap kemakmuran negara.   Tanpa usaha yang jitu, tidak mungkin Malaysia berada di tahap yang begitu membanggakan kini. 1Malaysia yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada tahun 2009 adalah sebagai satu wadah untuk dijadikan sebagai pegangan serta asas dalam mengharungi cabaran pada masa akan datang. Ini bererti kita adalah satu bangsa dan 1Malaysia tanpa mengira latar belakang, warna kulit atau keturunan asalkan perpaksikan kepada Perlembangan Negara. 

Suasana hidup bermasyarat kini bukan lagi seperti dulu, sikap keterbukaan rakyat Malaysia dilihat sebagai sesuatu yang lebih realistik dan moden sejajar dengan arus perdana kini. Namun, adakah ianya boleh dipraktikkan tanpa mengambil kira kesepaduan dan integrasi kaum?. Sudah semestinya tidak. Uniknya Malaysia adalah terletak pada persefahaman dan keakraban yang sebenarnya telah lama terjalin dalam pergaulan social dan hidup bermasyarakat. Ianya ketara dapat dilihat antara rakan-rakan sekelas di Sekolah Kebangsaan.  Bermula dengan aktiviti bersama iaitu bermain, makan bersama dengan menu yang dihidangkan turut melambangkan wujudnya elemen muhibah dalam kepelbagaian variasi makanan. Uniknya, nasi lemak dinikmati oleh kanak-kanak India dan Cina, roti canai dinikmati oleh kanak-kanak Melayu dan Cina dan Yong Tau Fo dinikmati oleh kanak-kanak Melayu dan India. Melalui makanan, kita dapat mendidik kanak-kanak sejak dari awal persekolahan mengenai kesepaduan dalam kepelbagaian. Sebagai golongan dewasa yang lebih matang, kita seharusnya mengambil contoh akan hal ini dengan lebih terbuka dan kasih sayang.

Secara keseluruhannya, uniknya Malaysia adalah terletak pada budi bahasanya, budaya, agama yang dianuti dan kesamaan dalam kepelbagaian. Sama tidak semestinya serupa, kita tolak budaya negatif tetapi wujudkan persefahaman dalam menjangkau usia kemerdekaan negara yang ke-56 ini. Rakyat seharusnya lebih sensitif terhadap persekitaran semasa yang mana bagi menwujudkan perasaan muhibah antara kaum, titik perbezaan haruslah dielakkan. 

Ainafiras: Malaysia memang unik!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...