Sempena menyambut hari kemerdekaan yang sudah tidak lama lagi, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah mempunyai semangat kebangsaan dan patriotik terhadap cintakan negara. Pelbagai program yang dirangka oleh pihak kerajaan antaranya program Kibar Jalur Gemilang yang diadakan di Dataran Zero, Sungai Petani, Kedah pada 16 Ogos 2013 dilihat satu usaha murni untuk menerapkan semangat cintakan negara sempena program tersebut.
Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu ada semangat cintakan negara kerana dengan penghayatan yang tinggi oleh segenap lapisan masyarakat akan membawa kita kepada perjuangan pemimpin yang terdahulu dalam mencapai kemerdekaan Malaysia. Justeru itu, kita akan menjadi rakyat atau individu yang hormat kepada pemimpin dan menghargai jasa dan pengorbanan yang telah disumbangkan sehingga apa yang ada pada hari ini dapat kita kecapi iaitu nikmat keamanan dan kestabilan politik.
Setiap tahun kerajaan akan memberikan slogan sempena menyambut hari kemerdekaan. Bagi tahun 2013 slogannya ialah Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku. Maksud slogan ini perlulah dilihat dari perspektif yang positif di mana kita sebagai rakyat Malaysia perlu bersatu hati walau berbeza fahaman politik dan agama, namun, demi mengekalkan kedaulatan negara kita sanggup berkorban nyawa mempertahankannya.
Tujuan slogan ini bertujuan mengembalikan semangat patriotisme rakyat Malaysia agar cintakan tanah air dan keamanan negara selain mempertahankan negara daripada campur tangan anasir-anasir luar.
Kemerdekaan ini mempunyai makna yang sangat besar yang harus di fahami, dihayati dan dikenang dalam diri setiap rakyat negara ini supaya semangat cintakan negara dan bangga sebagai rakyat Malaysia ini hadir dan dapat ditonjolkan imej patriotik tersebut. Dalam bulan kemerdekaan ini, setiap rakyat haruslah mengibarkan Jalur Gemilang iatu Bendera Malaysia sebagai simbolik terhadap penghormatan hari Kemerdekaan negara.
Oleh demikian,kita sebagai rakyat Malaysia yang bijak dan mampu berfikir dengan baik perlu menerapkan nilai patriotik dan semangat kebangsaan cintakan tanah air ini sebagai perkara asas dalam hidup sebagai rakyat Malaysia. Justeru ini marilah kita sama-sama menyemarakkan sambutan hari kemerdekaan yang ke-56 bagi Malaysia supaya apa yang telah kita kecapi hari ini dapat dikekalkan demi kelangsungan generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment