Followers

Tuesday, 30 July 2013

REMAJA DAN ERTI KEMERDEKAAN

Setiap tahun pada 31 Ogos negara menyambut hari kemerdekaan. Hari yang disambut setiap tahun dengan pelbagai acara dan sambutan yang meriah tentunya saban tahun tarikh ini pasti tidak akan dilupakan oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia.

Tahun ini, bulan kemerdekaan jatuh pada bulan syawal. Walaupun kita menyambut aidilfitri tetapi kita tetap tidak melupakan hari kemerdekaan yang kita sambut setiap tahun.
 
Memperkatakan tentang kemerdekaan kita hendaklah mengetahui makna kemerdekaan dan penghayatan kemerdekaan itu sendiri. Seluruh warga negara, khususnya para remaja dan generasi muda kini amat perlu memahami makna sebenar kemerdekaan.
 
Perutusan Hari Kemerdekaan, Perdana Menteri mengungkapkan “Segala yang kita capai, segala apa yang kita bina dan segala apa yang kita hargai boleh hancur berkecai dan musnah dalam sekelip mata. Oleh itu, kita perlu menghargai keamanan, keharmonian dan kestabilan yang ada”.
 
Apakah generasi masa kini benar-benar mengerti makna kemerdekaan itu sebenarnya? Apakah mereka benar-benar tahu susah payah generasi silam memperjuangkan kemerdekaan yang kita nikmati hari ini?
 
Sejak kebelakangan ini ada suara yang mengatakan bahawa semangat patriotik di jiwa remaja dan generasi masa kini semakin menipis. Generasi masa kini tidak kuat semangat cintakan negara dan bangsa sendiri.
 
‘Remaja hari ini adalah pemimpin masa hadapan’. Jika remaja hari ini tidak mempunyai jati diri yang teguh, kukuh dan ampuh, bayangkan apa akan terjadi kepada bangsa dan tanah air kita 25 tahun akan datang?
 
Remaja hari ini hendaklah lebih banyak didedahkan kepada sejarah tanah air dan bangsa sendiri. Malah didedahkan dengan susur galur sejarah bangsa yang menjadi teras perjuangan dalam menuntut kemerdekaan negara. Jka sejarah tidak disuburkan dan dititikberatkan, mana mungkin semangat patriotic dapat dipupuk dan disebarluaskan di kalangan generasi muda kita.
 
Benarlah kata pendapat, sejarah itu amat penting dalam membentuk jati diri dan perpaduan bagi melahirkan masyarakat sejahtera dan sayangkan negara. Jika sejarah disisihkan daripada diajar dari dipelajari, percayalah jiwa generasi muda sukar dibentuk untuk sayangkan bangsa dan negara. padahnya warga akan hilang rasa patriotik.

Uchee: 56 tahun sudah Malaysia merdeka..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...