DBP memberi definisi merdeka sebagai bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan; tidak bergantung pada yang lain; berdiri sendiri. Dalam era digital ini, penjajahan fizikal tidak lagi berlaku kerana rata-rata manusia dunia sudah mempunyai kesedaran yang tinggi kepada hak asasi manusia.
Namun telah wujud penjajahan yang sukar dibendung dan tidak keterlaluan jika dikatakan hampir tiada mekanisme yang mampu mengawalkannya iaitu penjajahan menerusi ilmu dan teknologi.
Penjajahan bentuk baru ini dikuasai oleh negara maju yang memiliki ilmu dan teknologi yang tinggi khususnya yang menggunakan medium Internet. Internet merupakan senjata yang maha hebat dalam dunia hari ini kerana ia berjaya menembusi setiap ruang di alam ini sehinggalah ke bilik tidur kita.
Kita yang bergantung pada teknologi ini membenarkan dengan sedar teknologi itu ‘menjajah’ kita sehingga membolehkan kita merasakan bahawa hidup kita tidak lengkap dan sempurna jika kita tidak mendedahkan diri kita kepada senjata tersebut.
Dalam pada itu, sebagai insan yang tidak boleh lari daripada arus pembangunan dan pemodenan, kita tidak seharusnya menyembunyikan diri daripada pengaruh penjajahan tersebut kerana dalam keburukan ada kebaikan yang tersembunyi kerana yang bijak harus menyaring maklumat yang diterima dan bukannya membiarkan diri kita hanyut dijajah tanpa sedar.
Nescaya sekiranya jati diri kita kental, anasir-anasir yang merayap sehingga ke bilik tidur kita akan berjaya kita tangkis dengan ilmu dan iman yang kukuh. Dakyah barat yang bersifat sekularisme dan liberalisme akan mampu kita tangani dengan bijak malah sekiranya kita mempunyai keupayaan untuk mencipta teknologi, kita mungkin boleh mengisi ruang-ruang kosong dalam teknologi mereka yang tidak langsung mengambil kita hubungan manusia dengan penciptaNya.
No comments:
Post a Comment