Followers

Friday 18 November 2011

Golongan Kurang Berkemampuan Dibela


Assalammualaikum, salam 1Malaysia. 

Syukur kepada Allah SWT kerana Pakwan masih lagi diberi kesempatan untuk bersua pada ruangan kali ini.

Kali ini Pakwan nak cerita pasal YBGK,  masih lagi berkisar pada bajet 2012. Tentu kau orang tertanya-tanya apa kena mengena YBGK dengan bajet 2012. Memang ada kena mengena. Sabar dulu....... dan dengar apa yang Pakwan nak cerita ni. Tau tak apa itu YBGK? 
YBGK ialah Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang ditubuhkan untuk memberi bantuan dan nasihat guaman dalam kes jenayah kepada golongan yang kurang berkemampuan supaya mendapat akses kepada keadilan dengan sewajarnya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Fasal (3) Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan seperti yang berikut:
“(3)      Jika seseorang ditangkap maka dia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh alasan-alasan dia ditangkap dan dia hendaklah dibenarkan berunding dengan dan dibela oleh seorang pengamal undang-undang pilihannya.”.

Penubuhan YBGK ini telah disempurnakan pelancarannya oleh YAB Perdana Menteri pada 25 Februari 2011. Mekanisme pelaksanaan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK)  dibuat melalui pemerbadanan sebuah syarikat khairat (charitable company) di bawah Akta Syarikat 1965 dan dibiayai oleh dana pelancaran dari Kerajaan sebanyak RM5 juta dan RM0.2 juta sumbangan dari Majlis Peguam Malaysia (MPM).

Antara lain tujuan penubuhan YBGK ini ialah  untuk memastikan golongan yang kurang berkemampuan yang dipertuduh di mahkamah atas kesalahan jenayah mendapat pembelaan yang sewajarnya apabila mereka diwakili oleh peguam.

YBGK telah mula beroperasi secara sementara di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) Bangi,Selangor pada 28 Februari 2011.Maklumat-maklumat penting mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh YBGK boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang di alamat  www.ybgk.org.my.

Bantuan guaman dan khidmat nasihat dalam perkara jenayah akan diberikan kepada mana-mana warganegara Malaysia yang memerlukan bantuan guaman di peringkat  tangkapan, reman/tahanan dan permohonan ikat jamin. Ujian kemampuan hanya akan dijalankan untuk menentukan kelayakan orang yang akan menerima bantuan guaman bagi peringkat perbicaraan di mahkamah. Ujian kemampuan yang digunakan adalah untuk mereka yang berpendapatan-

(a)        tidak lebih daripada RM25,000 setahun; atau

(b)        melebihi RM25,000 setahun tetapi tidak melebihi RM36,000 setahun dengan dikenakan bayaran tertentu yang akan ditetapkan oleh YBGK.

Semua jenis kesalahan jenayah layak dibantu kecuali kesalahan yang membawa hukuman mati. Kesalahan yang membawa hukuman mati tidak akan diliputi oleh YBGK pada masa ini kerana mahkamah telah menyediakan perkhidmatan peguam yang dilantik oleh mahkamah (assigned counsel) kepada tertuduh dalam kes sedemikian.

Dalam bajet 2012 YAB Dato’ Sri Mohd Najib telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM 10 juta kepada YBGK. Secara keseluruhannya  dana YBGK  pada tahun hadapan berjumlah sebanyak RM 15 juta. Pakwan percaya ini juga berita yang menggembirakan khususnya kepada mereka yang kurang berkemampun mendapatkan perkhidmatan bantuan guaman. Setidak-tidaknya mereka yang melepasi ujian kemampuan  bolehlah mendapatkan bantuan dan sudah tentulah nasib mereka mendapat pembelaan.

PakWan65: Keprihatinan kerajaan menubuhkan YBGK ini menandakan kerajaan memang mengambil berat kebajikan rakyat selaras dengan Gagasan 1Malaysia, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...