Followers

Monday, 17 October 2011

Mengenali Masyarakat Amish

                                                                 
Cuba kita bayangkan sebuah kehidupan tanpa lampu elektrik, televisyen, mesin basuh dan kereta? I say man, dah lama kita dimanjakan dengan segala kemudahan, tentulah terasa susah hidup tanpa kemudahan-kemudahan tersebut. Pendek kata, seksa hidup!

Dalam dunia yang serba moden dan canggih ini, memang susah nak percaya ada juga manusia yang memilih cara hidup lama sebagaimana masyarakat Amish di Lancaster, Pennsylvania, di Amerika Syarikat. Mereka yang berketurunan Swiss-Jerman ini memang unik. Mereka menolak semua bentuk kemajuan dan teknologi moden. Mereka juga tidak suka bercampur dengan masyarakat umum di luar kawasan perkampungan mereka.

Bayangkanlah omputih-omputih ini menggunakan pelita di waktu malam dan kayu sebagai bahan pembakar untuk memanaskan rumah di musim dingin.

Mereka bergantung hidup dengan bertani, membanting tulang mengerjakan ladang. Mereka membajak tanah dengan menggunakan tenaga kuda dan keldai.

Saya tabik spring kepada kaum wanita Amish yang saya anggap sebagai kaum ibu mithali. Mana taknya, mereka memasak dengan menggunakan dapur kayu. Kaum ibu Amish menjahit pakaian untuk se isi keluarga dengan tangan tanpa menggunakan mesin jahit! Mereka juga membasuh baju dengan tangan, manakala arang batu digunakan untuk menggosok baju.

Dari segi pemakaian pula, wanitanya berpakaian sopan. Mereka memakai gaun labuh berwarna gelap atau kelabu dan cap berwarna putih di kepala, seperti jururawat di hospital, manakala, kaum lelakinya pula memakai kemeja berlengan panjang berwarna putih, seluar panjang dan topi berwarna hitam.


Jangan terkejut, di perkampungan Amish, langsung tak ada kereta atau motosikal, yang ada cuma horse buggie atau kereta kuda.

Cara hidup dan penampilan mereka mengingatkan saya kepada sebuah drama bersiri Amerika yang disiarkan di tv semasa saya kecil dahulu, ia itu, ‘Little House on the Prairie’.

Menurut orang-orang Amish, mereka mengekalkan cara hidup lama ini kerana tidak mahu masyarakatnya terdedah kepada dunia luar dan dipengaruhi oleh budaya liar yang menyesatkan.

Kini masyarakat Amish mulai bimbang kerana anak-anak remajanya sudah mula menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi rakan-rakan di luar sana. Apakah mereka masih boleh melawan arus? Hanya masa sahaja dapat menentukannya.





JMJ: Saya kagum dengan jati-diri orang-orang Amish.

               
    
             
               

             

             

     


              
             
              
             

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...