Followers

Monday 20 January 2014

"MERAKYATKAN PERKHIDMATAN AWAM"


Berita Harian, 20 Januari 2014

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini melancarkan buku panduan ringkas 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam'(MPA) bagi memperjelas prinsip dan nilai-nilai yang digariskan di bawah usaha merakyatkan perkhidmatan awam. 


Dr Ali berkata konsep itu diperkenalkan agar setiap penjawat awam menyedari bahawa mereka adalah sebahagian daripada rakyat dan sesungguhnya mereka lebih berupaya untuk memahami kehendak dan aspirasi rakyat.


"Adalah menjadi hasrat kerajaan juga agar segala inisiatif yang telah direncanakan dapat diterjemah oleh setiap penjawat awam dengan berkesan dan disampaikan secara menyeluruh dan efektif kepada rakyat.

"Saya mahukan perkhidmatan cemerlang daripada anda semua, perkhidmatan cemerlang yang sama, yang anda harapkan sebagai seorang rakyat Malaysia," katanya.

Dalam kata-kata aluan buku berkenaan, Ali berharap panduan yang diberikan akan menjadi keutamaan bagi penjawat awam dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan serta dipraktikkan dengan sebaik-baiknya.

Buku itu dilancarkan pada Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara di sini hari ini.

Buku berkenaan terbahagi kepada beberapa tajuk iaitu 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam', 'Kesejahteraan dan Kecemerlangan', 'Enam Prinsip Merakyatkan Perkhidmatan Awam', 'Perkhidmatan Awam Unggul Ke arah Merealisasikan Wawasan 2020' dan 'Pelan Tindakan Ke Arah Kecemerlangan dan Kesejahteraan'.

Enam prinsip dalam Merakyatkan Perkhidmatan Awam ialah keterbukaan - minda terbuka dan mudah didekati, turun padang, musyawarah, insaniah - keseimbangan antara rohani dan jasmani', kekitaan serta kerjasama awam-swasta dan badan bukan kerajaan (NGO)- perkongsian sumber dan kesepakatan.

Buku bersaiz poket setebal 27 muka surat itu diterbitkan oleh pejabat Ketua Setiausaha Negara dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Orang ramai dan penjawat awam yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam boleh mengakses laman web rasmi ketua setiausaha negara di www.pmo.gov.my/ksn dan klik kepada ikon MPA booklet yang tertera. - BERNAMA




Anom : Download buku Merakyatkan Perkhidmatan Awam di: 



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...