Followers

Tuesday 10 September 2013

Majlis Kebangsaan Wanita Malaysia (NCWO) Memartabatkan Kaum Wanita

Sejak penubuhannya pada tahun 1963, telah banyak kejayaan bermakna dilakar oleh NCWO dalam memartabatkan kaum wanita di samping memperjuangkan hak wanita. Pada tahun ini (2013), genaplah 50 tahun penubuhan NCWO. Pertubuhan kini telah memayungi 125 persatuan wanita lain yang berjuang meningkatkan status dan martabat wanita Malaysia meliputi perjuangan dari segi hak kesamarataan gender, gaji, keganasan terhadap wanita, hak pendidikan dan banyak lagi.

Perjuangan NCWO adalah perjuangan yang berterusan berteraskan kesinambungan kepimpinan sejak pasca kemerdekaan hingga kini. NCWO telah diasaskan oleh Tan Sri Kamsiah Ibrahim pada 1963. Tokoh-tokoh hebat yang menjadi nadi dan tulang belakang NCWO sejak awal penubuhannya antaranya ialah Tun Fatimah Hashim, Datuk FR Bhupalan, Puan Sri Janaki Athi Nahappan dan Puan Sri Fatimah Hamid Don.

Menjadi hasrat NCWO untuk melihat kesinambungan kepimpinan terdahulu terus diwarisi oleh generasi muda kerana isu berkaitan wanita dan keluarga merupakan perjuangan yang tiada henti. Lantaran itu, pelbagai aktiviti telah dan sedang dilakukan untuk menggalak dan mendedahkan generasi muda mengenai fungsi dan matlamat pertubuhan berkenaan. Antara aktivitinya ialah dengan melatih sukarelawan untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan keluarga pada tahun 2011, menggalakkan wanita berpersatuan terutamanya dalam kalangan pelajar IPT kerana mereka berdaya saing dan mempunyai sifat kepemimpinan.

Antara perjuangan dan pencapaian NCWO
Ditubuhkan pada 1963
Pengasas NCWO ialah Tan Sri Kamsiah Ibrahim
Sehingga kini 125 pertubuhan bernaung di bawah NCWO
Memperjuangkan isu wanita seperti hak persamaan gaji, peluang pendidikan dan kerjaya untuk wanita.
Kerap mengadakan bengkel untuk pembangunan wanita dengan kerjasama Kementerian Pembangunan, Wanita Keluarga dan Masyarakat
Pada 1968, melalui advokasi NCWO, Parlimen sudah meluluskan Akta Kanak-kanak dan Wanita Berkahwin (‘Married Women and Children’) dan pada tahun yang sama juga Akta Pencen (Pindaan) 1968 dikuat kuasa untuk memberi wanita status tetap dan berpencen.


Pada 1969 Kerajaan melaksanakan Dasar Gaji Sama Bagi Kerja yang Sama Nilai. Yang Dipertua NCWO, Tun Fatimah Hashim dilantik menjadi Menteri Wanita pertama manakala Tan Sri Aishah Ghani dipilih menganggotai Suruhanjaya Bangsa-bangsa Bersatu Berkenaan Status Wanita. 
Pada 1985 NCWO berjaya memperoleh cuti tanpa rekod untuk ahli gabungan NCWO menyertai persidangan dan kegiatan rasmi NCW di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Atas usaha dan perjuangan NCWO juga, pelbagai akta wujud untuk menjaga kepentingan wanita antaranya Kanun Keseksaan dipinda pada 1989 untuk melindungi hukuman lima tahun penjara mandatori, Akta Keganasan Rumah Tangga sudah berkuat kuasa pada 1996 dan Kod Gangguan Seksual diterima pakai pada 1999, Akta Hak Jagaan dipinda pada 1999 untuk memberi hak penjagaan yang sama dengan bapa, Akta Hak Pusaka diluluskan pada 1997, cuti bersalin ditambah dari 42 hari ke 60 hari dan ke 90 hari bermula pada 2010, cukai berasingan diperkenalkan untuk wanita dan lelaki.


Anom: Jangan tindas kaum wanita!
  



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...