Followers

Tuesday 23 August 2011

Karak dan Wadi Rum (Jordan)


                                                           
Kita sambung cerita mengenai  tempat-tempat bersejarah dan menarik di Jordan. Sememangnya  pekan Mu’tah di selatan Jordan banyak melakar sejarah.  Banyak peristiwa yang menyayat hati berlaku di Mu’tah. Mu’tah pernah menjadi medan peperangan di antara tentera Muslimin dan tentera Rom apabila seorang perutusan yang dikirim oleh Rasulullah s.a.w. dibunuh dengan kejamnya.

Saya sempat melawat  sebuah masjid di Al Mazar (Mu’tah), di mana terdapat Makam-makam Panglima Islam, ia itu Zaid bin Haritha  radhiyallahu ‘anhu ia itu, anak angkat Rasulullah s.a.w. dan Jaafar bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu, sepupu Rasulullah s.a.w. Mereka  adalah di antara ramai yang terkorban syahid sewaktu pertempuran  dengan tentera Rom yang diketuai oleh Panglima Hercules. Setelah  Zaid bin Haritha dan Jaafar bin Abi Thalib terkorban, Panglima Islam terkenal, Khalid bin Al Walid (Panglima semasa Perang Uhud di Madinah) telah mengetuai tenteranya dan kali ini mereka beroleh kemenangan.

Kami dimaklumkan bahawa  ketika masjid di Al Mazar itu sedang di bina, terdapat mayat-mayat para syuhada yang tidak hancur dan darah segar mengalir dari tubuh mereka akibat terkena jentolak!  Bayangkanlah mayat-mayat tersebut sudah berusia lebih seribu  empat ratus tahun, namun mereka yang mati syahid ini tubuh mereka masih sempurna!

Siapa tak kenal Panglima Islam tersohor yang digeruni pihak lawan, Salahuddin Al-Ayubi? Beliau pernah menentang tentera Kristian (Crusades) yang diketuai oleh Richard the Lion Heart. Dalam buku-buku sejarah Inggeris,  Salahuddin Al-Ayubi digelar ‘Saladin’. Di pekan Karak (juga di selatan Jordan), Karak Castle ia itu kubu kuat pihak Rom telah berjaya ditawan oleh beliau.



Sesiapa yang teringin nak melalui kehidupan sebagai seorang Arab badui pula, Wadi Rum adalah tempatnya. Wadi Rum adalah kawasan padang pasir bergunung batu yang kering dan gersang.  Jangan risau. Tandas dan bilik air yang bersih  ada disediakan.  Cuma, kawasan padang pasir itu kerap dilanda ribut pasir. Kena tahan lasak sikitlah. Sesiapa yang gemar bercamping pasti seronok  duduk di khemah di Wadi Rum. Aktiviti-aktiviti lasak seperti memanjat gunung batu, naik jip meredah padang pasir dan menunggang unta dan kuda turut disediakan.

 Ma’af ya, tak ada hotel lima bintang di Wadi Rum, yang ada cuma khemah ribuan bintang! He..he..he…Pada waktu malam, para pengunjung akan dapat menyaksikan hamparan ribuan bintang di langit yang sungguh menakjubkan. Indahnya alam ciptaan Tuhan! Sesungguhnya ianya  tidak dijadikan dengan sia-sia.

Untuk makan malam, pihak penganjur menyediakan nasi beriani Arab, nasi mandi dan mansaf  dengan daging kambing  dan ayam yang dimasak secara tradisional, iaitu dimasak di bawah tanah. Nasi tersebut dihidang dengan buah zaitun, yoghurt dan  salad campuran.  Kami juga dihiburkan dengan muzik dan tarian tradisional Arab yang dipersembahkan oleh Pak Arab Pak Arab badui, siap dengan tongkat  dan pedang panjangnya sekali! Tersenyum saya dibuatnya! Saya terkenangkan P.Ramlee dan rakan-rakan dalam filem ‘Ali Baba’ ….Ya habibi Ali Baba..Ya habibi Ali Baba….Ya habibi….Ali…… Kelakar!


Jangan terkejut, ada di antara Pak Arab badui ini mempunyai isteri lebih dari satu dan dua di antara mereka mempunyai isteri berbangsa Perancis dan Inggeris! Hebat jugak Pak Arab badui ni kan? Khabarnya kedua-dua wanita tersebut yang gemar aktiviti lasak, berkunjung ke Wadi Rum dan bukan sahaja jatuh cinta dengan ketenangan di Wadi Rum  serta kehidupan  kaum badui  yang  santai, jauh dari hingar-bingar kota-raya di Eropah, tetapi juga dengan jejaka badui. Isteri mereka  kini giat menguruskan eco-adventure tourism atau aktiviti-aktiviti lasak untuk para pengunjung ke Wadi Rum.
 
Sebagai  makluman, sebahagian penggambaran movie Hollywood tahun ‘60han, ‘Lawrence of Arabia’ dan  movie, ‘Transformers: Revenge of the Fallen’  dilakukan  di Wadi Rum. Sesiapa yang pernah menonton movie tempatan ‘Nur Kasih the movie’ , pasti dapat melihat pelakon-pelakonnya beraksi di Wadi Rum dalam keadaan cuaca panas, berpakaian ala Arab dan menunggang unta .





JMJ:  Waktu paling sesuai untuk melawat Wadi Rum ialah pada bulan April dan bulan Oktober, Ketika itu cuacanya enak, tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas.
         
         

3 comments:

rusna wana said...

maha suci Allah...Allah yg berkuasa dan menentukan segalanya..betapa besarnya keagungan Allah SWT..
Lihatlah mayat2 para syuhada yg telah mati bertahun2 masih segar macam baru meninggal dunia..
Bestnya pengalaman Puan JMJ kan? dapat merasai kehidupan macam orang Arab yg sentiasa berkelana..Bertuahnya Puan dapat merasai pengalaman hebat ini..walaupun tiada hotel 5 bintang tapi saya rasalah yg pengalaman yg hebat..
Terima kasih Puan JMJ atas perkongsian pengalaman ini..

Unknown said...

huhu..ngerinya...mayat2 yang kena jentolak tu....aahkan mmg lama tu 1400 tahun,

cerita pasal padang pasir tu terus nana teringat cerita nur kasih the movie..dengan ribut pasir nya

JMJ said...

Terima kasih kembali kerana rajin singgah ke blog kami.

Saya amat bersyukur ke hadrat Illahi kerana berpeluang melawat tempat2 bersejarah ni yg pernah ustazah kelas agama ceritakan di sekolah dulu.

Bermalam di Wadi Rum,walaupun dilanda ribut pasir, seronok jugak.Pengalaman tersebut dpt menginsafkan kita betapa susahnya hidup sebagai seorang badui yg mengembala kambingnya di padang pasir dalam keadaan daif dan serba kekurangan.Tabik spring kepada mereka.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...