Apa khabar kawan-kawan semua. Diharapkan semua beroleh kesejahteraan dan dilindungi Allah SWT. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Artikel kali ini amat menyentuh perasaan PS Mubin dan mungkin juga rakan-rakan diluar sana. Namun digagahi juga semangat untuk menulis semoga kita semua mendapat pengajaran daripada artikel ini.
Dunia ini pernah dicemarkan oleh sejarah hitam dalam tamadun manusia disebabkan ketiadaan aqidah dalam kehidupan. Masyarakat suatu ketika dahulu hilang sifat kemanusiaan sehingga sanggup membunuh dengan menanam anak-anak terutama anak-anak perempuan hidup-hidup kononnya mempertahankan maruah diri, keluarga dan kabilah. Amalan jahiliyah tersebut kini berulang lagi malah lebih dahsyat di mana sesetengah bayi dibuang di merata-rata tempat kerana malu kepada masyarakat. Tempat-tempat pembuangan ialah di belakang rumah, di tepi jalan, di tepi hospital, di masjid, di tepi sungai, di kedai, ditempat pembuangan sampah, di hentian bas, di tandas dan lain-lain lagi. Di akhbar-akhbar tempatan menyatakan statistik, gejala seperti ini semakin meningkat dari setahun ke setahun. Kepada kita dan remaja khasnya, harus dingatkan bahawa zina dan tindakan membuang bayi adalah merupakan perbuatan jenayah yang amat besar dosanya serta berat hukumannya di sisi Islam. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud:
" Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat." .
Mengikut kajian, terdapat beberapa faktor menyebabkan berlakunya jenayah ini. Faktor terbesar ialah keterlanjuran dalam menjalin hubungan percintaan, pergaulan dan amalan seks bebas sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah mengikut hukum syarak, institusi keluarga yang bermasalah tiada persefahaman, bergaduh atau bercerai. Oleh itu setiap ibubapa perlu sedar bahawa masa hadapan anak-anak terletak kepada suasana tarbiyah dalam rumahtangga yang mereka bina. Jika suasana keimanan, keharmonian dan kasih sayang, nescaya Allah SWT akan mengurniakan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Selain itu, faktor dalaman diri remaja juga merupakan punca kepada gejala ini. Kurang fahaman agama dan akhlak yang luhur menyebabkan mereka dikuasai oleh nafsu jahat sehingga berlakunya zina dan menyebabkan lahirnya anak luar nikah yang akhirnya dibuang kerana takut dan malu kepada keluarga serta masyarakat.
Penayangan filem berunsur seks oleh media elektronik, VCD lucah serta gambar pornografi di dalam internet juga menjadi punca yang turut merangsang para remaja terjebak ke lembah perzinaan yang membawa kepada lahirnya anak luar nikah di samping berleluasanya program-program hiburan yang melampau dalam masyarakat.
Perbuatan membuang bayi dimerata tempat dan terdedah kepada berbagai risiko termasuk kematian; di samping ada di antaranya menjadi mangsa binatang buas adalah satu jenayah yang amat zalim dan keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan. Malah haiwan lebih baik kerana mengasihani dan memelihara anak dan sanggup mati demi keselamatan anak-anak. Inilah implikasinya apabila rohani para remaja tidak di isi dengan ajaran agama.
Justeru itu, marilah kita mengorak langkah mewujudkan kerjasama dengan semua pihak di negara ini agar sama-sama memainkan peranan dalam menangani kemelut ini dengan mengambil langkah-langkah yang wajar untuk menanganinya.
PS Mubin : Sedih melihat ramainya bangsaku terjebak dalam situasi sebegini........
1 comment:
Isu yg telah berleluasa - kerajaan, ibu bapa, masyarakat setempat harus bekrjasama dlm membendung masalah ini..
Yang penting remaja itu sendiri, harus lah menjaga adab dan pergaulan supaya tidak terdedah kepada perkara2 kemungkaran dan zina yg dibenci oleh Allah..
Post a Comment