Salam Ceria dan salam 1Malaysia buat semua rakan-rakan semoga beroleh kebahagian dan kesejahteraan sentiasa. Sedar tak sedar Januari 2012 sudah pun berlalu. Rasanya baru sahaja kalangan kita rakyat Malaysia menyambut ketibaan tahun baru dengan pelbagai acara dan pesta. Sekejap sahaja masa berlalu dan beberapa hari saja lagi kita umat islam akan menyambut hari Maulidur Rasul yakni hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sempena menyambut hari keputeraan baginda, secara ringkas PS Mubin ingin berkongsi sedikit maklumat mengenai perjuangan baginda dalam menegakkan syiar islam di pelosok dunia ini.
Untuk makluman rakan-rakan semua, bulan Rabiulawal merupakan bulan yang penuh berkat lagi bermakna untuk umat Islam di mana pada tarikh 12 Rabiulawal kita akan menyambut Maulidul Rasul yang menjadi salah satu hari kebesaran Islam, yang pada biasanya akan disambut dengan begitu meriah di negara ini. Dengan cara sambutan sebegini kita akan terus menghidupkan syariat dan syiar yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad SAW. Baginda adalah seorang Rasul yang telah menyelesaikan segala permasalahan umat dan telah menyempurnakan amanah Allah SWT sewaktu hayat Baginda dengan meninggalkan dua khazanah yang amat berharga kepada kita sebagai panduan hidup iaitu al-Quran dan Sunnah Nabawiyah. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sekalian sesat selagi mana kamu berpegang dengan keduanya iaitu kitab Allah dan Sunnah Nabi”. (Riwayat Iman Malik )
Kejayaan Rasulullah SAW di dalam mengembangkan dakwah Islamiah sehingga tertegaknya sebuah negara Islam adalah berasaskan kepada pendekatan yang diamalkan oleh Baginda iaitu secara wasatiyyah. Wasatiyyah adalah merujuk kepada pelaksanaan Islam secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak manusia. Pada masa yang sama agama Islam dijunjung dan dimartabatkan dan tidak juga meminggirkan penganut agama lain untuk terus mengamalkan ajaran mereka. Dengan ini semasa pemerintahannya Nabi SAW melaksanakan titah perintah Allah SWT secara sempurna. Dengan sendirinya masyarakat Islam dapat dibentuk sebagai umat yang terbaik.
Bukti wasatiyyah, kesederhanaan dan keadilan ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW di dalam sirahnya. Semasa Rasulullah SAW berdepan dengan keadaan untuk meletakan Hajaral Aswad pada tempatnya di Kaa’bah, Baginda telah menunjukkan kebijaksanaan dengan meletakkan Hajaral Aswad tersebut di atas sehelai kain dan Baginda meminta ketua-ketua kabilah itu mengangkat setiap bucu kain secara bersama-sama dan Baginda sendiri yang meletakkan Hajaral Aswad itu ditempatnya. Ini menunjukkan bahawa kebijaksanaan dan keadilan Rasulullah SAW dalam membuat keputusan demi memastikan ianya tidak menimbulkan sebarang pergaduhan antara kabilah arab. Dengan ini juga menunjukan bahawa kata sepakat juga akan tercapai melalui perbincangan secara bersama.
Program Maulidur Rasul yang disambut saban tahun sama ada di peringkat negeri dan kebangsaan pada dasarnya adalah sebahagian daripada aktiviti dakwah Islam. Ia bertujuan untuk mentarbiyah, membimbing dan memperingatkan umat Islam agar menghargai apa yang dikurniakan oleh Allah SWT. Salah satu pengajaran itu ialah memperingati perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pesuruh Allah yang paling berjaya menegakkan ajaran Allah, Rasul terakhir, tokoh teragong sepanjang abad di dunia dan akhirat kerana membawa perubahan besar kepada lanskap akidah, syariah dan akhlak seluruh hidup manusia di dunia. Malah hingga ke hari ini peribadi suci Rasulullah SAW masih dikagumi musuh-musuh Islam.
Dengan demikian sambutan Maulidur Rasul yang diberi liputan meluas dalam media cetak dan media elektronik memberi peluang kepada rakyat di negara ini memperingati seorang insan terpilih, memahami gaya kepimpinan, cara pendekatannya, memahami akhlaknya dan memahami dasar politik, ekonomi dan sosial untuk kita teruskan dan hayati.
Ingatlah wahai umat Islam sekalian bahawa sirah perjuangan Baginda SAW ini hendaklah ditauladani, diulangkaji, dirujuk dan disuburkan setiap masa, supaya kekal dalam ingatan dan jiwa manusia. Marilah sama-sama kita membentuk umat yang terbaik dengan mengimbangi kehidupan kita secara saksama, adil dan bertepatan dengan apa yang telah diajar oleh junjungan besar kita Muhammad SAW. Perbanyakkanlah berselawat kepada Baginda dan keluarga Baginda semoga kita beroleh rahmat dan nikmat dari Allah SWT.
PS Mubin: Selamat menyambut Hari Maulidur Rasul 1433H. Marilah sama-sama kita menghayatinya semoga beroleh rahmat dan hidayah dari Allah SWT. Amin. Jumpa lagi.
No comments:
Post a Comment