Followers

Thursday, 5 January 2012

Tahun Baru Dan Semangat Baru


Apa khabar semua? Rasanya masih belum terlewat bagi PS Mubin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada rakan-rakan  sekalian semoga kehadiran tahun baru 2012 memberi sinar baru kepada kita semua. Janganlah jadikan azam di tahun baru ini hanya tinggal azam semata-mata tanpa ada usaha untuk mencapainya. Moga kehadiran tahun baru ini akan menjadikan negara kita Malaysia sebuah negara yang lebih maju, aman makmur dan sejahtera serta senantiasa dilindungi oleh Allah SWT. Segala kebaikan dan usaha yang kita lakukan pada tahun-tahun yang terdahulu boleh dijadikan sandaran untuk kita semua mempertingkatkan lagi mutu dan kebolehan kita agar ia nya menjadi bertambah baik menjelang tahun baru ini.  Selain dari itu sekiranya ada perkara  keburukan yang berlaku sepanjang tahun-tahun yang sama-sama kita jadikan pedoman moga kita tidak mengulangi kesilapan yang sama.   Walaupun kita sedar kita ini manusia tidak boleh lari dari melakukan kesilapan namun kita harus ingat ALLAH mengurniakan kita akal fikiran yang waras yang membezakan yang mana intan dan yang mana kaca.

Kebiasaanya sambutan tahun baru sudah menjadi kemestian bagi kebanyakan muda mudi dan remaja belasan tahun di negara kita. Saban tahun juga kita telah menyaksikan berbagai-bagai ragam, kerenah dan budaya songsang yang menjadi isu hangat dan melatari golongan muda-mudi di negara kita.

Majoriti pilihan muda-mudi kita hari ini lebih cenderung kepada pengisian yang berbentuk hiburan, bercampur aduk antara lelaki dan perempuan, merempit dan sebagainya.  Yang mana inilah antara faktor yang membawa kepada kehancuran.  Lebih malang, ada sesetengah mereka  tidak tahu membezakan antara halal dan haram dan berani pula melakukan perkara-perkara maksiat yang dilarang oleh Allah SWT secara terang-terangan seperti pesta seks, pesta minum arak, lumba haram, berjudi, penyalahgunaan dadah dan sebagainya.  Lanjutan dari itu berlakulah kes pembuangan bayi, lari dari rumah, perzinaan dan sebagainya.

Sedar dan insaflah, dengan kehadiran tahun baru ini kita digalakkan muhasabah diri agar menjadi hamba yang bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Apa-apa kelemahan dan kekurangan yang boleh kita perbaiki dan tidak kita ulangi.  Kita perlu melihat ke hadapan supaya kita dapat merencana dan merancang masa hadapan agar tidak mudah lalai dan alpa.

Dalam suasana menyambut tahun baru ini diharapkan bertambah keazaman, kejayaan, kebahagian, kesenangan, kesihatan dan ketaqwaan. Mudah-mudahan apa yang dilafazkan akan memberi kejayaan kepada kita semua tak kira dalam apa bidang sekalipun.  

Dalam masa yang sama jangan lupa pergantungan kita kepada Allah SWT.  Ingatlah dari mana asal usul kita dan ke mana kita akan  pergi.  Apabila kita selalu ingat dan dekat kepada Allah, maka itulah yang dapat menghindari diri kita dari melakukan perkara keji dan maksiat yang tidak sepatutnya berlaku dalam sambutan tahun baru.  Berazamlah melakukan yang terbaik untuk diri, keluarga dan masyarakat umum amnya. Sesungguhnya orang yang gagal adalah orang yang gagal merancang.  Gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya.  Kita merancang tetapi Allah yang menentukan.  Setiap keazaman perlu didokong dengan usaha yang jitu, doa dan tawakal yang berpanjangan.         
             
PS Mubin mengingatkan diri dan rakan-rakan semua agar lembaran tahun baru ini menjadikan kita hamba yang lebih tunduk kepada Allah SWT. Sesungguhnya dunia hanyalah tempat kita menumpang, tiba masanya kita perlu pergi jua dari tempat kita menumpang sekarang. Jika hari ini kita bermusafir tetapi masih mampu untuk balik kampung, maka satu masa nanti kita bermusafir kealam barzarkh dan seterusnya ke alam mahsyar pada hari kiamat, tiada lagi peluang untuk kita pulang ke kampung halaman kita di dunia ini.         









PS Mubin:  Selamat Menyambut Tahun Baru dengan wadah dan semangat baru. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...