Followers

Wednesday, 11 January 2012

Kisah dan Tauladan - Basikal Tua




Aku hidup serba sederhana,  Tiada harta tiada rupa

Hanya yang ada budi bahasa, Harta sekadar Basikal Tua

Itulah sebahagian daripada lirik lagu nyanyian  Allahyarham Sudirman Hj.Arshad yang suatu masa  dahulu sering kedengaran di corong-corong  radio. 

Tujuan PS Mubin menulis bait-bait lagu itu adalah untuk mengingati kembali nostalgia penulis dan ayahanda  kesayangan menjalani kehidupan kais pagi makan pagi , kais petang makan petang menggunakan basikal tua untuk mencari rezeki demi keluargaku. Dengan basikal tua itu, ayahku dapat mencari rezeki bagi menanggung perbelanjaan aku dan adik-beradikku ke sekolah.    

Aku masih ingat kesusahan ayah aku dengan basikalnya. Seingat aku, basikal itu adalah pemberian tuan punya kebun buah-buahan di kampung aku yang diberi kepercayaan kepada ayahku untuk  menjaga kebunnya. Basikal ini juga yang menjadi kenderaan untuk mengangkut barangan yang lain.  Apabila tiba musim buah-buahan basikal tua ini digunakan untuk mengangkut buah durian, rambutan, manggis  untuk di jual kepada peraih. Selain daripada itu ia digunakan untuk mengangkut buah kelapa dari kebun ke bangsal untuk di buat `salai’.  Pendek kata basikal tua ayahku bekerja tanpa mengira waktu.  Yang paling membanggakan basikal tua ayahku jarang pancit atau rosak. Mungkin sudah tahu yang tuan nya orang susah….jarang buat kerenah.

Tiba musim menuai padi, basikal tua ayahku digunakan sepenuhnya untuk mengangkut padi dari sawah ke Baloh (rumah padi).  Tiga hingga empat guni sekali angkut tu biasa saja. Masa dulu tiada mesin tuai padi hanya ada kilang padi.  Padi dileraikan dari tangkainya menggunakan tenaga manusia. Tiba pula musim tanam tembakau basikal tua ini digunakan untuk angkut daun tembakau.  Begitulah seterusnya.  Selagi kudrat masih kuat roda basikal tua ayah ku sentiasa berputar untuk membantu mencari rezeki.            

Akhirnya basikal tua itu terbiar begitu saja dan dijadikan besi buruk kerana ayah ku dah tak mampu lagi menggunakannya dek di mamah usia…Anak-anak juga tidak lagi ambil peduli akan basikal tua ayah ku…dek kerana perubahan masa. Kerana sedikit kesenangan yang dimiliki dan anak-anak sudah bekerja, akhirnya basikal tua dilupakan, motosikal dan kereta pula menjadi pilihan.

Kesusahan dan keperitan yang dilalui generasi terdahulu tidak lagi dapat dikecapi oleh generasi kini. Arus kemodenanlah katakan.  Dan kesusahan yang dilalui pada zaman ini sudah berbeza dengan zaman basikal tua. Pengalaman hidup di masa basikal tua mengajar aku erti sebuah kehidupan dan pengalaman itu juga mengajar aku mengenai kesusahan, pengorbanan dan pengalaman agar kita tidak menjadi bongkak dan angkuh di atas dunia yang fana ini…






PS Mubin : Terkenang masa silam… 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...