Salam 1Malaysia buat rakan-rakan semua. Sempena dengan musim perayaan ini pelbagai pihak memainkan peranan yang penting bagi membendung kehilangan nyawa manusia yang mana sejak akhir-akhir ini banyak sekali kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa. Setiap kali tibanya musim perayaan pihak polis khususnya menjalankan tugas tanpa mengira waktu demi menjaga keselamatan pengguna jalanraya. Ops sikap yang dijalankan oleh pihak polis adalah untuk memastikan pengguna jalanraya mematuhi arahan dan undang-undang jalanraya demi keselamatan diri dan keluarga.
Untuk rakan-rakan semua, nyawa adalah tanda hidupnya manusia. Selagi seseorang itu masih bernyawa maka selagi itulah ia berpeluang meneruskan kehidupan di dunia ini. Tetapi apabila nyawa telah tiada lagi maka berakhirlah episod kehidupan manusia.
Kita hendaklah bersyukur kepada Allah SWT kerana menghidupkan kita melalui nyawa yang diberikannya dan dengan nyawa itulah kita dapat menikmati indahnya kehidupan,menikmati keindahan alam, merasai sedapnya makanan dan menggunakan segala nikmat kurniaan Allah SWT kepada kita. Apabila nyawa telah terpisah daripada badan semua itu tidak berguna lagi. Oleh yang demikian, kita wajib menghargai nyawa sendiri atau nyawa orang lain. Menghargai nyawa bermaksud memelihara dan menjaganya dengan sebaik mungkin dengan mengelakkan diri daripada terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan perbuatan atau tindakan yang boleh menghilangkan nyawa atau dengan kata lain menyebabkan kematian.
Berdasarkan laporan semasa bahawa isu kemalangan jalan raya adalah penyebab yang terbesar kepada kematian. Menurut laporan Jabatan keselamatan Jalanraya bahawa lebih daripada 6 ribu orang mati akibat kemalangan jalan raya dengan purata 18 kematian sehari atau 1 kematian setiap 1 jam 20 minit. Pada tahun 2010, sebanyak 6,872 kematian akibat kemalangan jalanraya, yang mana 4,036 kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. Kajian yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia atau MIROS, bahawa 30% daripada kematian yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal ialah golongan berumur 16 ke 25 tahun berbangsa Melayu, dan daripada jumlah tersebut 40% daripadanya tidak mempunyai lesen memandu. Mengikut kepada perangkaan-perangkaan di atas angka itu adalah terlalu tinggi dan ini adalah satu kerugian kepada keluarga dan negara amnya.
PS Mubin merasakan bahawa perbuatan-perbuatan yang menimbulkan mudharat dan merbahaya yang boleh membawa kepada kematian seperti menunggang motosikal secara merbahaya, tidak mematuhi peraturan jalanraya, tidak memiliki lesen memandu adalah tindakan-tindakan yang tidak menghargai nyawa. Jalanraya merupakan satu kemudahan awam yang menjadi penghubung kepada kita dari satu tempat ke satu tempat samada dari bandar ke desa atau sebaliknya. Ianya bukanlah tempat untuk kita menunjukkan kehebatan atau keberanian didalam kita memandu kenderaan, kerana itulah menjadi tanggungjawab kepada kita semua sebagai pengguna menjaga dan memelihara kemudahan ini dan menjadikannya sebagai satu tempat selamat dan bukannya tempat kecelakaan. Adalah tidak dapat dinafikan dan diakui bahawa punca utama kemalangan jalanraya di negara ini adalah disebabkan perilaku pengguna itu sendiri yang menyebabkan kerugian harta benda, kecederaan, kecacatan anggota badan, bahkan boleh membawa kepada kematian.
Marilah sama-sama kita menghargai nyawa yang diberikan oleh Allah SWT dengan mengelak diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan dan memudratkan kehidupan.
PS Mubin: Berhati-hati di jalanraya. Hargailah nyawa dan ingatlah orang tersayang.
No comments:
Post a Comment