Kehidupan kita dalam seharian adalah seperti roda, sentiasa berputar, bergilir-gilir turun naik dan jatuh bangun. Hari ini kita senang dan mungkin esok kita mengalami kesusahan. Kita perlu ingat bahawa putaran hidup manusia adalah tidak menentu dan tidak dapat diramalkan nasibnya. Dengan demikian kita tidak boleh hidup secara bersendirian, tidak boleh mengasingkan diri dalam masyarakat. Kita dituntut bercampur gaul dan bermesra dengan masyarakat. Salah satu kumpulan manusia yang memain peranan besar meningkatkan kebahagiaan keluarga ialah jiran. Jiran yang tinggal dalam lingkungan rumah kita adalah orang yang paling hampir dan pantas untuk memberi bantuan dan pertolongan. Berdasarkan besar peranan jiran ini, kita berpendapat jiran samada kaya atau miskin adalah harta atau aset yang amat bernilai tinggi kepada kita sendiri dan masyarakat. Dalam hal ini Islam memberi penghargaan yang tinggi kepada jiran.
Ketika mengulas perkara yang sama Nabi Muhammad SAW mengingatkan umat Islam supaya memulia dan menghormati jiran sebagaimana layanan kita terhadap kaum kerabat kita sendiri. Oleh itu, adalah satu kerugian besar kepada umat Islam dan masyarakat jika kita mengabaikan dan tidak mempedulikan jiran yang di anggap sebagai harta yang bernilai tinggi itu.
Dalam usaha memupuk semangat mesra kejiranan, tidak dapat dinafikan bahawa kita akan berhadapan dengan banyak halangan dan rintangan. Walau bagaimanapun, perkara ini dapat di atasi sekiranya masing-masing mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling faham memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar-tukar pendapat, bersedia mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah dan mahabbah. Untuk itu, mimbar menyeru sidang jemaah sekalian dan semua pihak di negara ini, marilah sama-sama kita meningkatkan azam dan tekad bagi mengamalkan semangat kejiranan dan perpaduan dalam masyarakat kita.
Jiran adalah harta yang amat bernilai kepada kita. Oleh itu, apakah kita perlu menunggu sehingga ada musibah seperti sakit demam, rumah ditimpa banjir dan malapetaka lain yang menimpa keluarga kita, ketika itu baru kita terkial-kial hendak mencari dan memperkukuhkan hubungan sesama jiran? Bukankah elok dan bijak sekiranya, kita bersikap sentiasa mesra jiran sebagai langkah persediaan membantu kita menghadapi apa-apa kemungkinan yang mendatang. Bak kata pepatah Melayu
“Sediakan Payung Sebelum Hujan ” dan “ Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tidak Berguna ”.Amalkan hidup berjiran.
PS Mubin: Jadikan jiran sebahagian daripada keluarga kita. Jiran sepakat membawa berkat.
No comments:
Post a Comment