Followers

Friday, 25 November 2011

Sekejapnya Masa Berlalu

Assalamualaikum wbkt. dan selamat bertemu kembali buat rakan-rakan dan peminat setia Rakan 1klik. Agak lama juga PS Mubin tidak bersua diruangan ini.  Ikuti bicara ini.



Sekejapnya  rasa  masa  berlalu, pejam celik-pejam celik, hari berganti minggu, minggu berganti bulan, bulan berganti tahun, umur pula semakin meningkat , usia semakin tua.  Beberapa hari lagi kita umat islam akan  menyambut tahun baru islam iaitu bulan Muharam (1434 hijrah).  Rasanya baru saja kita menyambut ketibaan bulan tersebut. Sedar tak sedar ianya datang lagi.  Ramai yang mengetahui akan keistimewaan bulan ini.  Pada zaman Rasululllah, banyak peristiwa-peristiwa yang berlaku dan banyak pula  kejadian-kejadian yang dijadikan oleh Allah pada bulan ini .  Kalau nak disenaraikan diruangan ini rasanya terlalu banyak. Untuk itu PS Mubin sarankan agar mentelaah buku-buku yang berkaitan atau layari internet, anda akan dapat mengetahuinya.
Kebiasaannya sebut saja tahun baru, ada rakan-rakan kita akan bertanya apa azam dan perancangan kita pada tahun baru ni..  Justeru, apa perancangan dan azam kita sempena kedatangan bulan yang mulia ini?  Bagi PS Mubin azam tetap azam, walaupun apa rintangan, onak dan badai yang melanda kita mesti tempuhi bagi meneruskan kelangsungan hidup ini.
Setiap hari kita mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan di dunia ini.  Untuk bekalan akhirat pula kita disuruh buat perkara yang disuruh dan tinggal  perkara yang ditegah dan hidup ini pasti diberkati.  Andainya kita  memahami hakikat kehidupan ini, ia akan menjadi lebih indah dan sentiasa bersemangat untuk meneruskannya.  Kita seharusnya sentiasa beringat bahawa ajal maut tidak mengenal usia, tidak mengira tempat dan lokasi.  Oleh itu, seharusnya kita muhasabah diri dan kita dituntut untuk merebut  lima peluang sebelum tiba lima rintangan iaitu
Waktu kaya sebelum miskin, Waktu senang sebelum sibuk, Waktu sihat sebelum sakit, Waktu muda sebelum tua dan Waktu hidup sebelum mati.
Oleh itu jalan yang selamat ialah dengan berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu seharusnya bekerja seolah-olah kita akan hidup selama-lamanya dan beribadah seolah-olah kita akan mati pada esok hari.
Mudah-mudahan waktu yang sedang kita lalui ini dapat dimanfaatkan dan waktu yang bakal kita tempuhi di masa-masa akan datang dapat kita isi  dengan perkara yang berfaedah  antaranya sentiasa perbanyakan amal ibadah kepada Allah dengan ikhlas, manfaatkan masa dengan berusaha untuk memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negara, sentiasa bersyukur kepada Allah disamping menjauhi perkara yang tidak berfaedah, sentiasa merancang, mengurus ,  memperuntukkan masa bagi perkara yang mendatangkan kebaikan dan banyak lagi amalan-amalan yang baik.
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU ISLAM (AWAL MUHARAM)



                 PS MUBIN: Ya Allah lanjutkan usia, kurniakan akal fikiran dan sihatkan tubuhkan kami semua agar dapat melaksanakan tugas dengan baik dan beribadat kepada Mu. Amin- Jumpa lagi         

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...