Followers

Tuesday 9 August 2011

Sekolah Dalam Hospital




Assalammualaikum dan salam sejahtera semua.

Cikgu Bedah berbesar hati dengan program Sekolah Dalam Hospital (SDH) yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Yayasan Nurul Yaqeen dan Kementerian Kesihatan.

Pada Cikgu Bedah, usaha ini merupakan satu usaha yang sangat murni dan baik serta perlu dilaksanakan sejak dulu lagi. Alhamdulillah, ia terlaksana juga. Melalui SDH, pelajar dan kanak-kanak yang menerima rawatan di hospital terutama bagi tempoh yang lama boleh juga mendapat pendidikan secara formal seperti di sekolah. Jadi, ibu bapa tak perlu risau tentang pelajaran anak-anak ketika mendapat rawatan di hospital.

Menerusi pendekatan pembelajaran yang agak berbeza daripada sekolah biasa, Sekolah Dalam Hospital adalah berorientasikan pendekatan didik hibur (fun learning) dan fleksibel dalam persekitaran yang kondusif, sekaligus membantu menghilangkan rasa bosan pelajar apabila perlu mendapat rawatan dalam tempoh yang lama di hospital.

Sekolah Dalam Hospital dilaksanakan secara projek rintis di tiga buah hospital iaitu Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang dan Hospital Ampang dan dijangka akan diperluaskan ke hospital Kementerian Kesihatan Malaysia yang lain.

Tahniah, Cikgu Bedah ucapkan kepada 16 orang guru yang telah menyahut cabaran dan hasrat murni kerajaan untuk mendidik anak bangsa demi kelangsungan masa depan anak-anak. Semoga guru-guru lain juga akan mengikut langkah.

Untuk pengetahuan, projek SDH ni,  adalah ilham isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang merupakan penaung projek Hati Nurani.

Semoga, apa yang dilaksanakan ini memberi inspirasi buat para pendidik di luar sana untuk terus menabur bakti tidak kira walau di mana anda berada. Buat anak-anak pula, teruskan belajar walau keadaan tidak sihat kerana, ia bukan halangan buat kalian untuk terus maju dalam pelajaran. Cikgu Bedah doakan yang terbaik buat semua.

Cikgu Bedah: Semoga usaha murni ini, membuka mata ‘sesetengah pihak’ yang asyik ‘ menghentam’ sahaja… 

1 comment:

rusna wana said...

sokong kementerian mengadakan skolah dalam hospital ...kanak2 / pesakit dpt belajar dan tidak tercicir daripada belajaar.
dan tahniah kepada cikgu2 yg telah terpilih dalam program ini..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...