Followers

Thursday 30 August 2012

Hayati Kemerdekaan, Jadikannya Ia Kekal

Salam 1Malaysia,

Lama sudah Cikgu Bedah tak menulis di blog ini,kan. Rasanya masih belum terlambat Cikgu Bedah nak ucapkan Selamat hari raya maaf zahir batin kepada semua pembaca setia blog ini. Tup tap tup tap..tak sangka dah nak sambut Hari Kemerdekaan negara pula,kan. Esok dah 31 Ogos. Esok, genaplah 55 tahun negara kita merdeka. Jadi, Cikgu Bedah nak ceritalah sikit tentang penghayatan kemerdekaan ni terutama kepada para pendidik dan pelajar.

Cikgu Bedah nak sangat para pelajar menghayati dan memahami erti kemerdekaan dengan penuh keinsafan agar mereka mampu menggalas tanggungjawab dalam menjadikan kemerdekaan milik selama-lamanya.

Bukan sahaja para pelajar, warga pendidik juga perlu bersatu hati serta berusaha mengekalkan kemerdekaan demi kemakmuran dan kegemilangan negara, tanpa mengira kaum dan warna kulit dan dengan semangat perpaduan jitu.Kita perlu tahu, perjuangan dan pengorbanan tokoh serta pemimpin terdahulu seperti Panglima Rentap, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan wajar dihargai dan dihayati.

Sumber gambar: iiumfm.blogspot.com

Jadi, keberanian dan kecekalan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan itu wajar dihayati dan dihargai kerana sifat kepahlawanan mereka telah membawa kebebasan hari ini untuk mencorakkan masa depan negara tercinta. Warga pendidik dan para pelajar harus bersyukur kerana negara tidak lagi dijajah sebagaimana dahulu dan berupaya menentukan pentadbiran negara sendiri.

Cikgu Bedah amat mengharapkan agar murid-murid selaku bakal pemimpin di masa hadapan dapat terus bersatu padu demi menjaga warisan kemerdekaan negara ini.

Selain itu, gagasan 1Malaysia yang digerakkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan satu usaha bersepadu bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan latar belakang.

Sejarah telah membuktikan bahawa perpaduan amat penting dalam usaha mengekalkan keamanan kerana apabila tidak ada semangat bersatu padu, bukan sahaja negara, bahkan tamadun hebat turut musnah sebagaimana terjadi kepada tamadun Islam Uthmaniah di Turki dan Dinasti Ming di China.

Cikgu Bedah berharap sangat, kita semua bersama-sama bergabung tenaga dan bersatu  hati mempertahankan kedaulatan tanah air kita ini dengan sebaik mungkin agar anak-anak dan generasi seterusnya akan turut dapat mengecapi kebebasan seperti mana yang kita miliki sekarang.

Sempena esok sambutan kemerdekaan negara, Cikgu Bedah nak ingatkan dan jemput juga rakan-rakan hadir ke Dataran Merdeka di sebelah pagi untuk sama-sama melihat sambutan kemerdekaan negara secara dekat dan di Stadium Bukit Jalil pula di sebelah petang.

Cikgu Bedah dah dapat poskad cabutan bertuah sempena sambutan di Bukit Jalil tu. Manalah tahu, untung adan, dapat bawa balik kereta ataupun tiket percutian ke,kan. Kalau tak dapat pun ipad dan telefon bimbit pun syok juga. Berharap benar Cikgu Bedah ni. hahaha. Apa pun kita gegarkan Stadium Bukit Jalil malam esok dan datang dengan semangat patriotik tanda sayangkan negara. Bawalah kaum keluarga juga,ya. Pasti meriah!




Cikgu Bedah: Pertahankanlah kemerdekaan yang kita telah nikmati 55 tahun ini. Jangan lupa temu janji kita di Stadium Bukit Jalil. Jumpa anda di sana!!

1 comment:

~AiMi SyAhiRAh~ said...

Salam Merdeka! Salam Aidilfitri! Buat para blogger di luar sana!! Jom join contest ini! 3 pemenang bertuah akan mendapat duit raya EDISI TERHAD sampul wajah saya!!;) Klik http://www.aimisyahirah.com/2012/08/contest-nak-duit-raya-cik-misya.html untuk maklumat lanjut.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...