Followers

Monday 3 October 2011

Bingkisan Perpisahan

Setiap yang bermula pasti berakhir! Begitu jugalah dengan kerjaya saya di Jabatan Penerangan Malaysia. Setelah melangkah masuk ke jabatan ini pada 26 April 1977, kini saya meniti hari-hari terakhir perkhidmatan dan Insya Allah, saya akan menemui nokhtah sebagai penjawat awam pada 31 Oktober 2011.

Tempoh lebih kurang 34 tahun memang agak lama dan sepanjang menjadi warga jabatan yang amat unik ini, pelbagai pengalaman telah saya tempuhi. Ada yang manis, ada yang mengecewakan. Pelayaran saya di samudra Penerangan ini menghimpunkan pelbagai kenangan dan segala pengalaman yang saya tempuhi sepanjang pelayaran itu membuat saya lebih memahami rona kehidupan, erti persahabatan dan pencak pertarungan.

Pada pertengahan Oktober, saya akan bercuti sebelum bersara. Mulai  1 November pula, saya akan berkelana ke alam persaraan, yang kata sesetengah orang, penuh dengan kebosanan dan keresahan. Sebagai petugas bergred rendah,  kehidupan saya sebagai pesara tidak menjanjikan kemewahan dalam meladeni kehidupan yang serba mahal di ibu negara. Oleh itu, saya perlu meneruskan perjuangan dengan saki baki kudrat yang ada untuk menyara keperluan keluarga. Kalaulah saudara terpandang seorang bekas anggota jabatan ini yang sudah lusuh usianya, tetapi masih bergelut dengan kesesakan lalu lintas di ibu kota, maka itulah saya, yang  dalam perjalanan mencari rezeki tambahan. Atau, sekiranya nanti, saudara terpandang seorang lelaki yang bertugas di stesen minyak di kawasan Batu Caves seperti seseorang yang pernah anda kenali,  maka hapuskanlah keraguan saudara itu kerana sememangnya orang berkenaan adalah saya. Saya amat berbesar hati sekiranya dapat membantu mengisi minyak untuk kenderaan saudara atau mengelap cermin kereta saudara sebagai khidmat saya kepada seseorang yang bertugas di tempat saya pernah mencari rezeki suatu ketika dulu.

Ini adalah coretan terakhir saya melalui ruangan ini. Terima kasih kepada pengendali blog Rakan 1Klik kerana sudi menyiarkan tulisan saya selama ini.

Akhir kata, saya, Shamsudin Puteh, yang menggunakan nama pena Balanglama dalam ruangan ini, memohon maaf atas segala kesilapan, keterlanjuran kata atau ketidakwajaran tindakan yang mungkin pernah saya lakukan terhadap saudara, sama ada secara sengaja atau sebaliknya. Semoga silatulrahim antara kita terus berkekalan.   

Balanglama – Hanya kaya dengan kenangan.

5 comments:

jameahjan said...

Saya sedih akan kehilangan seorang rakan seperjuangan yang selalu merendah diri, tetapi InsyaAllah,kita tidak akan putus persahabatan.

rusna wana said...

selamat bersara en. Shamsudin - sepanjang 34 tahun bergelumang di sektor kerajaan, mesti byk kenangan pahit dan manis - :-)
semoga tenang, gembira dan ceria menghadapi hari2 yg mendatang...

acid said...

Setiap ape yang kita lalui pasti ada pengakhiranya....jadi en samsudin puteh diharap dapat untuk meneruskan kehidupan dengan baik walaupun sudah bergelar sebagai seorang pesara kelak...Pangkat dan jawatan bukan lah menjadi ukuran nilai bagi seseorang....tetapi sikap merendah diri dan menghormati sesama manusia itu adalah lebih penting daripada segalanya....Akhir kata saya mendoakan agar saudara di kurniakan kesihatan dan kegembiran dalam kehidupan yang seterusnya....

comelmot said...

Salam Perpisahan En. Shamsudin. Walaupun kita jarang berkata-kata, selalu bersua muka, tetap membuatkan saya mengenali En. Shamsudin. Apapun Selamat Maju Jaya. Apapun yang kita lakukan, yang penting kita ikhlas. Moga hari-hari yang mendatang lebih baik dari hari-hari yang di lepas.

your neighbor said...

Hidup ini satu perjalanan yang panjang. Penuh ranjau suka dan duka. Yang manis disimpan jadi kenangan. Yang pahit diingat jadi teladan.
Terima kasih Che Din atas segala tunjuk ajar kepada kami junior penerbitan (N). Entah apa yang akan berlaku di masa hadapan. Kita sentiasa mengharap dan mendoakan yang terbaik. (Satu demi satu senior penerbitan akan bersara, apalah agaknya nasib kami di masa depan ... jenuh kepala kalau asyik difikirkan).
Yang pasti, mungkin bakal ada sedikit tangis kesan perpisahan ini. Namun diharap persahabatan kekal abadi selamanya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...