Followers

Thursday, 15 September 2011

Keruntuhan Akhlak- Kesan Kepada Masyarakat


Assalammualaikum semua. Lama kita tak bersua. Rasanya masih belum terlambat saya ucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pembaca setia Blog ini. Seperti yang dijanjikan terdahulu, saya akan menyambung penulisan saya dengan kesan keruntuhan akhlak kepada masyarakat pula.

Keruntuhan akhlak akan memberikan kesan yang sangat besar dalam masyarakat. Jatuh bangunnya sesuatu negara , agama dan bangsa dapat dilihat dari segi akhlak dalam masyarakat itu sendiri. Tidak dinafikan akhlak remaja pada hari ini sangat membimbangkan. Budaya – budaya kuning dan pengaruh budaya barat mudah meresap masuk dan menjadi ikutan para remaja hari ini. Kiranya hal ini tidak dibendung oleh pihak – pihak yang tertentu terutamanya oleh pihak kerajaan dan juga pihak – pihak yang berwajib, maka tidak hairanlah pada masa akan datang masyarakat kita akan hancur dan keruntuhan akhlak remaja – remaja melayu terutamanya akan rosak dan binasa. Oleh itu pihak – pihak atau anasir luar akan cuba mengambil kesempatan di atas kelemahan bangsa kita sendiri. Namun begitu kesan yang paling ketara yang akan dilihat kiranya akhlak remaja pada hari ini tidak dikawal ialah: 


  • Masyarakat di negara ini akan menjadi porak peranda, berpecah belah dan tidak bersatu padu. Keruntuhan akhlak akan menyebabkan masyarakat menjadi hilang punca dan pertimbangan. Sikap untuk bersatu sesama bangsa tidak dapat dijana. Maka akan wujudlah perpecahan dikalangan masyarakat pada hari ini.
  • Perasaan buruk dan prasangka pasti akan wujud dalam masyarakat. Sifat saling curiga mencurigai akan bertahta di hati masyarakat. Masyarakat akan sentiasa curiga dan menaruh perasaan yang kurang baik tehadap individu yang mempunyai akhlak yang buruk. Perasaan ini payah untuk dihapuskan walaupun individu berkenaan cuba untuk melupakan dan membuang tabiat buruknya.
  • Wujudnya pergaduhan dalam masyarakat akan pasti akan berlaku. Isu-isu perkauman akan wujud seandainya pergaduhan ini melibatkan antara dua kaum. Pergaduhan boleh berlaku seandainya remaja pada hari ini hilang pertimbangan terhadap semangat perpaduan dalam masyarakat. Contohnya akibat daripada minuman yang memabukkan akan mendatangkan kesan yang buruk seperti pergaduhan, kes kecurian dan perbuatan membunuh.
  • Kadar jenayah dikalangan masyarakat juga akan meningkat yang mana hal ini  disebabkan oleh kadar keruntuhan akhlak di kalangan remaja semakin meningkat. Remaja yang terdedah kepada gejala sosial akan mudah terdedah kepada perbuatan jenayah samada secara langsung mahupun tidak langsung. Kes-kes seperti pembuangan dan pembunuhan bayi, perbuatan mencuri dan sebagainya pasti akan berlaku dan hal ini boleh menyebabkan kadar jenayah dalam masyarakat  ini akan meningkat.
  • Keharmonian dalam masyarakat tidak akan wujud. Kiranya kadar jenayah meningkat, masyarakat akan berada dalam kebimbangan dan hal ini boleh menyebabkan masyarakat berada dalam keadaan ketakutan dan natijahnya keharmonian akan sukar diwujudkan dalam masyarakat. Masyarakat akan berada dalam keadaan aman dan harmoni andainya kadar jenayah dapat dikurangkan dan diatasi.

Hbbjutawan: Selepas ini kesan ke atas negara pula..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...