Followers

Thursday 24 May 2012

Pertahankan Maruah Negara



Sesungguhnya dalam kita meniti pembangunan negara yang tercinta ini, sesekali jangan kita lupa peranan pejuang silam yang telah meletakkan asas kepada perjuangan dan pembangunan negara hari ini. Tanpa mereka sudah tentu apa yang kita kecapi tidak akan dapat dinikmati oleh generasi kini. Justeru kerana pengorbanan yang tidak ternilai inilah generasi pewaris wajar mengambil iktibar dan pengajaran serta teladan di atas semangat juang pejuang-pejuang terdahulu dalam melaksanakan misi dan visi untuk mempertahankan  negara kita daripada terus dijajah. Oleh itu jangan sesekali kita cuba untuk meruntuhkan tembok keamanan yang kita kecapi pada hari ini. Bajailah keamanan yang kita kecapi ini dengan perpaduan, toleransi dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.  Jangan sekali terjebak dengan propaganda yang dicanangkan oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan memporakporandakan negara kita ini.  

Pengorbanan yang mereka lakukan sesungguhnya tidak ternilai, ia menuntut kepada generasi hari ini agar merenung dan berfikir bahawa keamanan, keselamatan, kesejahteraan hidup di bumi merdeka lagi berdaulat ini adalah hasil pengorbanan hidup sekelompok manusia yang bergelar perwira negara, yang berjuang mencapai kemerdekaan dari belenggu penjajah dan seterusnya mempertahankan kemerdekaan. Jasa-jasa pahlawan silam yang menumpahkan keringat dan airmata, kepayahan dan keperitan diri, keluarga, terseksa dan tercedera, bahkan nyawa menjadi taruhannya, terlalu bernilai buat mereka dengan tertegaknya negara Malaysia tercinta.


Harga pengorbanan pahlawan silam terbalas dengan kelahiran Malaysia berdaulat, disemai dengan benih keamanan, disirami dek baja pembangunan berwawasan dan dipagari oleh perpaduan yang mesra dan bertoleransi.  Namun harus diingat, benih keamanan dan kesejahteraan melalui percikan darah para pahlawan akan hilang nilaian dan maknanya, bahkan hanya menjadi sia-sia  apabila keamanan dan kesejahteraan bumi Malaysia tercinta diperjudikan. Justeru sebagai rakyat yang cintakan negara, hargailah keamanan dan kesejahteraan yang kita kecapi kini.


 Dalam pada itu kita juga mahu memastikan bahawa kita menyerahkan negara ini kepada generasi penerus di kalangan anak cucu kita sebagaimana kesinambungan kepimpinan yang pernah kita warisi dahulu.  Biar mereka terus berbangga dengan negara Malaysia. Maka kita harus bangun dari tidur yang lena atau di dalam jaga tapi penuh alpa, mengatur perpaduan bangsa, membangun kecemerlangan negara berlandaskan Gagasan 1Malaysia, yang diasaskan oleh Perdana Menteri kita yang dikasihi Dato’ Seri Najib Tun Razak.


Sedarlah, dalam keadaan negara yang aman damai ini, sewajarnya kita tahu, di ketenangan kita melangkah ke pejabat, dalam hilai tawa dan kemeriahan anak-anak kita belajar di sekolah, dalam keheningan kita tidur nyenyak diulit mimpi, sesungguhnya mungkin tanpa kita sedari, bahawa sebahagian daripada kita terpaksa bersengkang mata, jauh dari keasyikan dan keseronokan hidup, sedangkan mereka seperti manusia lain, punya keluarga, anak pinak dan ingin merasai segala kenikmatan yang dirasai sewajarnya oleh manusia, namun lantaran tugas dan tanggungjawab yang sentiasa menggamit, mereka akur kepada panggilan pertiwi, demi pertahanan dan keselamatan negara yang tercinta ini.  


Untuk itu, kepada insan di luar sana yang cuba untuk memporakporandakan keamanan dan kemakmuran negara yang kita kecapi sekarang ini harus sedar dan insaf bahawa seandai nikmat yang kita kecapi sekarang ini dinodai tak mungkin lagi kita akan dapat merasainya.  Wahai kawan-kawan dan insan semua! Marilah kita sama jalinkan kekuatan, bina kombinasi mapan, sempurnakan amanah dan peranan, persiapkan jiwa dengan keimanan, hiaskan diri dengan kesopanan, tingkatkan pengorbanan dan kesiapsiagaan demi mempertahankan maruah negara. Negara kita adalah hak kita jangan biarkan ianya dijajah untuk kali yang kedua dan kita sebagai rakyat negara Malaysia yang berdaulat WAJIB mempertahankannya.        



PS Mubin: Sama-sama pertahankan kedaulatan negara  kita yang tercinta ini. Jumpa lagi…

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...