Followers

Showing posts with label PS Mubin. Show all posts
Showing posts with label PS Mubin. Show all posts

Thursday, 24 May 2012

Pertahankan Maruah Negara



Sesungguhnya dalam kita meniti pembangunan negara yang tercinta ini, sesekali jangan kita lupa peranan pejuang silam yang telah meletakkan asas kepada perjuangan dan pembangunan negara hari ini. Tanpa mereka sudah tentu apa yang kita kecapi tidak akan dapat dinikmati oleh generasi kini. Justeru kerana pengorbanan yang tidak ternilai inilah generasi pewaris wajar mengambil iktibar dan pengajaran serta teladan di atas semangat juang pejuang-pejuang terdahulu dalam melaksanakan misi dan visi untuk mempertahankan  negara kita daripada terus dijajah. Oleh itu jangan sesekali kita cuba untuk meruntuhkan tembok keamanan yang kita kecapi pada hari ini. Bajailah keamanan yang kita kecapi ini dengan perpaduan, toleransi dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.  Jangan sekali terjebak dengan propaganda yang dicanangkan oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan memporakporandakan negara kita ini.  

Pengorbanan yang mereka lakukan sesungguhnya tidak ternilai, ia menuntut kepada generasi hari ini agar merenung dan berfikir bahawa keamanan, keselamatan, kesejahteraan hidup di bumi merdeka lagi berdaulat ini adalah hasil pengorbanan hidup sekelompok manusia yang bergelar perwira negara, yang berjuang mencapai kemerdekaan dari belenggu penjajah dan seterusnya mempertahankan kemerdekaan. Jasa-jasa pahlawan silam yang menumpahkan keringat dan airmata, kepayahan dan keperitan diri, keluarga, terseksa dan tercedera, bahkan nyawa menjadi taruhannya, terlalu bernilai buat mereka dengan tertegaknya negara Malaysia tercinta.


Harga pengorbanan pahlawan silam terbalas dengan kelahiran Malaysia berdaulat, disemai dengan benih keamanan, disirami dek baja pembangunan berwawasan dan dipagari oleh perpaduan yang mesra dan bertoleransi.  Namun harus diingat, benih keamanan dan kesejahteraan melalui percikan darah para pahlawan akan hilang nilaian dan maknanya, bahkan hanya menjadi sia-sia  apabila keamanan dan kesejahteraan bumi Malaysia tercinta diperjudikan. Justeru sebagai rakyat yang cintakan negara, hargailah keamanan dan kesejahteraan yang kita kecapi kini.


 Dalam pada itu kita juga mahu memastikan bahawa kita menyerahkan negara ini kepada generasi penerus di kalangan anak cucu kita sebagaimana kesinambungan kepimpinan yang pernah kita warisi dahulu.  Biar mereka terus berbangga dengan negara Malaysia. Maka kita harus bangun dari tidur yang lena atau di dalam jaga tapi penuh alpa, mengatur perpaduan bangsa, membangun kecemerlangan negara berlandaskan Gagasan 1Malaysia, yang diasaskan oleh Perdana Menteri kita yang dikasihi Dato’ Seri Najib Tun Razak.


Sedarlah, dalam keadaan negara yang aman damai ini, sewajarnya kita tahu, di ketenangan kita melangkah ke pejabat, dalam hilai tawa dan kemeriahan anak-anak kita belajar di sekolah, dalam keheningan kita tidur nyenyak diulit mimpi, sesungguhnya mungkin tanpa kita sedari, bahawa sebahagian daripada kita terpaksa bersengkang mata, jauh dari keasyikan dan keseronokan hidup, sedangkan mereka seperti manusia lain, punya keluarga, anak pinak dan ingin merasai segala kenikmatan yang dirasai sewajarnya oleh manusia, namun lantaran tugas dan tanggungjawab yang sentiasa menggamit, mereka akur kepada panggilan pertiwi, demi pertahanan dan keselamatan negara yang tercinta ini.  


Untuk itu, kepada insan di luar sana yang cuba untuk memporakporandakan keamanan dan kemakmuran negara yang kita kecapi sekarang ini harus sedar dan insaf bahawa seandai nikmat yang kita kecapi sekarang ini dinodai tak mungkin lagi kita akan dapat merasainya.  Wahai kawan-kawan dan insan semua! Marilah kita sama jalinkan kekuatan, bina kombinasi mapan, sempurnakan amanah dan peranan, persiapkan jiwa dengan keimanan, hiaskan diri dengan kesopanan, tingkatkan pengorbanan dan kesiapsiagaan demi mempertahankan maruah negara. Negara kita adalah hak kita jangan biarkan ianya dijajah untuk kali yang kedua dan kita sebagai rakyat negara Malaysia yang berdaulat WAJIB mempertahankannya.        



PS Mubin: Sama-sama pertahankan kedaulatan negara  kita yang tercinta ini. Jumpa lagi…

Wednesday, 21 March 2012

Kuasa Pengguna: Satu Pengguna, Satu Suara


Artikel kali ini PS Mubin membicarakan mengenai kuasa pengguna. Bagi menjaga kebajikan dan mewujudkan keharmonian di antara pengguna dan pengusaha.  Selari dengan kehendak hukum syarak, maka Islam memang mengharamkan sebarang bentuk eksploitasi dan penindasan seperti riba, judi, menipu dan sebagainya.                                                                            

Namun apa yang mendukacitakan ialah berleluasanya kegiatan sesetengah pengusaha dan peniaga yang mengamalkan budaya  menipu pengguna. Antaranya ada yang ditipu timbangan dan ukuran, ada yang diperdaya dengan harga yang dipropaganda harga murah tetapi sebenarnya mahal, ada yang ditipu dengan barangan tiruan dan ada yang terjebak dengan barangan dan perkhidmatan yang tidak halal dan ada juga yang terperangkap dengan janji palsu along dan skim cepat kaya. 

Dalam tahun 2008 kerajaan telah menerima sebanyak 10,720 aduan dengan pelbagai isu dan masalah yang menimpa pengguna. Ribuan aduan juga dilaporkan oleh persatuan-persatuan pengguna di seluruh negara.  Kadang kala kita mengeluh dan marah apabila menyedari kita ditipu oleh peniaga. Sebagai pengguna atau pembeli, kita mempunyai hak yang perlu dipertahankan. Di antara hak-hak tersebut ialah mempastikan barangan kegunaan yang dibeli adalah suci dan halal, mempastikan barangan dan perkhidmatan yang dibeli adalah tulen dan berkualiti dan mempastikan harga yang dibayar adalah harga sebenar dan berpatutan.


Bagi mempastikan hak-hak kita sebagai pembeli dan pengguna dapat dilindungi, maka kita hendaklah menjadi pengguna yang bijak. Bijak dalam erti kata tidak dapat dieksploitasi oleh pengusaha dan penjual. Bijak memilih penjual yang boleh dipercayai dan bijak memilih barangan dan perkhidmatan yang suci, halal dan berkualiti. Sesungguhnya untung rugi nasib pembeli dan pengguna adalah terletak di tangan kita sendiri. Jika kita prihatin, berhemah dan waras dalam mendapatkan barangan dan perkhidmatan maka terjaminlah kehidupan kita.

Dalam usaha mengaut keuntungan besar dan menjadi orang kaya cepat, maka terdapat peniaga menjadikan pembeli sebagai mangsa. Kita amat sedih jika mangsa itu adalah orang miskin dan kumpulan daif yang lain. Oleh itu, para pembeli dan pengguna perlu sedar bahawa sikap tidak kisah terhadap barangan dan perkhidmatan yang dibeli akan merugikan pengguna sendiri.

Justeru itu, marilah kita menjadi pengguna yang prihatin dan bijak dengan langkah-langkah berikut ;
Pertama   :     Setiap pengguna perlu mendapatkan maklumat dan   pengetahuan yang secukupnya mengenai barangan dan perkhidmatan yang akan dibeli.
Kedua      :      Para pengguna perlu membuat pengaduan terhadap peniaga-peniaga yang didapati menipu dan menindas
Ketiga        :    Para pengguna patut memilih premis perniagaan yang dipercayai amanah.
Keempat     :  Pihak berwajib hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan penguatkuasaan ke atas pusat-pusat perniagaan secara integriti dan bertanggungjawab.   


PS Mubin : Jadilah pengguna yang bijak…berkunjunglah ke Kedai Rakyat 1Malaysia...murah dan berkualiti.

Friday, 3 February 2012

Menghayati Perjuangan Rasulullah S.A.W.

Salam Ceria dan salam 1Malaysia buat semua rakan-rakan semoga beroleh kebahagian dan kesejahteraan sentiasa.  Sedar tak sedar Januari 2012 sudah pun berlalu. Rasanya baru sahaja kalangan kita rakyat Malaysia menyambut ketibaan tahun baru dengan pelbagai acara dan pesta. Sekejap sahaja masa berlalu dan beberapa hari saja lagi kita umat islam akan menyambut hari Maulidur Rasul yakni hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.  Sempena menyambut hari keputeraan baginda,  secara ringkas PS Mubin ingin berkongsi sedikit maklumat mengenai perjuangan baginda dalam menegakkan syiar islam di pelosok dunia ini.

Untuk makluman rakan-rakan semua, bulan Rabiulawal merupakan bulan yang penuh berkat lagi bermakna untuk umat Islam di mana pada tarikh 12 Rabiulawal  kita akan menyambut Maulidul Rasul yang menjadi salah satu hari kebesaran Islam, yang pada biasanya akan disambut dengan begitu meriah di negara ini. Dengan cara sambutan sebegini kita akan terus menghidupkan syariat dan syiar yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad SAW. Baginda adalah seorang Rasul yang telah menyelesaikan segala permasalahan umat dan telah menyempurnakan amanah Allah SWT sewaktu hayat Baginda dengan meninggalkan dua khazanah yang amat berharga kepada kita sebagai panduan hidup iaitu al-Quran dan Sunnah Nabawiyah.  Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sekalian sesat selagi mana kamu berpegang dengan keduanya iaitu kitab Allah dan Sunnah Nabi. (Riwayat Iman Malik )

Kejayaan Rasulullah SAW di dalam mengembangkan dakwah Islamiah sehingga tertegaknya sebuah negara Islam adalah berasaskan kepada pendekatan yang diamalkan oleh Baginda iaitu secara wasatiyyah. Wasatiyyah adalah merujuk kepada pelaksanaan Islam secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak manusia. Pada masa yang sama agama Islam dijunjung dan dimartabatkan dan tidak juga meminggirkan penganut agama lain untuk terus mengamalkan ajaran mereka. Dengan ini semasa pemerintahannya Nabi SAW melaksanakan titah perintah Allah SWT secara sempurna. Dengan sendirinya masyarakat Islam dapat dibentuk sebagai umat yang terbaik.

Bukti wasatiyyah, kesederhanaan dan keadilan ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW di dalam sirahnya.  Semasa Rasulullah SAW berdepan dengan keadaan untuk meletakan Hajaral Aswad pada tempatnya di Kaa’bah, Baginda telah menunjukkan kebijaksanaan dengan meletakkan Hajaral Aswad tersebut di atas sehelai kain dan Baginda meminta ketua-ketua kabilah itu mengangkat setiap bucu kain secara bersama-sama dan Baginda sendiri yang meletakkan Hajaral Aswad itu ditempatnya. Ini menunjukkan bahawa kebijaksanaan dan keadilan Rasulullah SAW dalam membuat keputusan demi memastikan ianya tidak menimbulkan sebarang pergaduhan antara kabilah arab. Dengan ini juga menunjukan bahawa kata sepakat juga akan tercapai melalui perbincangan secara bersama.

Program Maulidur Rasul yang disambut saban tahun sama ada di peringkat negeri dan kebangsaan pada dasarnya adalah sebahagian daripada aktiviti dakwah Islam. Ia bertujuan untuk mentarbiyah, membimbing dan memperingatkan umat Islam agar menghargai apa yang dikurniakan oleh Allah SWT. Salah satu pengajaran itu ialah memperingati perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pesuruh Allah yang paling berjaya menegakkan ajaran Allah, Rasul terakhir, tokoh teragong sepanjang abad di dunia dan akhirat kerana membawa perubahan besar kepada lanskap akidah, syariah dan akhlak seluruh hidup manusia di dunia. Malah hingga ke hari ini peribadi suci Rasulullah SAW masih dikagumi musuh-musuh Islam.

Dengan demikian sambutan Maulidur Rasul yang diberi liputan meluas dalam media cetak dan media elektronik memberi peluang kepada rakyat di negara ini memperingati seorang insan terpilih, memahami gaya kepimpinan, cara pendekatannya, memahami akhlaknya dan memahami dasar politik, ekonomi dan sosial untuk kita teruskan dan hayati.

Ingatlah wahai umat Islam sekalian bahawa sirah perjuangan Baginda SAW ini hendaklah ditauladani, diulangkaji, dirujuk dan disuburkan setiap masa, supaya kekal dalam ingatan dan jiwa manusia. Marilah sama-sama kita membentuk umat yang terbaik dengan mengimbangi kehidupan kita secara saksama, adil dan bertepatan dengan apa yang telah diajar oleh junjungan besar kita Muhammad SAW. Perbanyakkanlah berselawat kepada Baginda dan keluarga Baginda semoga kita beroleh rahmat dan nikmat dari Allah SWT.








PS Mubin:  Selamat menyambut Hari Maulidur Rasul 1433H. Marilah sama-sama kita menghayatinya semoga beroleh rahmat dan hidayah dari Allah SWT.  Amin. Jumpa lagi.


Thursday, 2 February 2012

Khasiat Ulam-Ulaman

Salam kepada semua  kawan-kawan..sebagai menyahut seruan supaya  kita semua mengamalkan budaya pemakanan yang sihat demi menjaga kesihatan tubuh badan yang berkekalan,  artikel kali ini  PS Mubin membuat saranan supaya kita mengamalkan  makan ulam-ulaman.   Kawan-kawan semua tahu pemakanan adalah faktor penting dalam penjagaan tubuh badan kita agar sentiasa sihat.  Makanan yang sihat menjamin tubuh badan yang kuat dan cerdas.

1.            Amalkan makan ulam raja.


Enaknya makan ulam raja cecah dengan sambal belacan.  Ulam raja atau nama saintifiknya Cosmos Candatus selain enak dimakan  mentah boleh juga dicampur pada masakan. Daun dan batang muda dipercayai dapat membersihkan darah, menguatkan tulang.  Kepada kawan-kawan yang dihormati,  sekiranya dijadikan menu masakan berasaskan ulam raja ini  PS Mubin pasti sedapnya nyer hingga menjilat jari.  

2.            Daun Kaduk

Tidak ramai yang tahu menggunakan daun kaduk (piper sarmantosum) dalam masakan.  Daun kaduk berguna untuk menaikkan rasa masakan.  Pucuknya boleh dijadikan ulam yang dipercayai dapat menguatkan tulang.  Air rebusan pokoknya boleh mengubati batuk,  selsema, sakit pinggang dan sendi.

3.           

Terung pipit

Terung pipit atau nama saintifiknya solamum torrum  mudah tumbuh khususnya di kawasan baru dibuka yang terdedah kepada cahaya matahari seperti di tepi jalan dan belukar. Ia mengandungi banyak khasiat.  Antaranya menghilangkan sengal badan, merawat tumit pecah, pitam dan darah tinggi.  Akarnya kalau ditumbuk boleh digunakan sebagai demah untuk merawat tumit pecah.  Jika akarnya direbus, air rebusannya boleh diminum untuk merawat pitam dan darah tinggi. Ok…selamat mencuba.

 





PS Mubin:  Amalkan pemakanan yang sihat…….  


Wednesday, 25 January 2012

Menghargai Nyawa


Salam 1Malaysia buat rakan-rakan semua. Sempena dengan musim perayaan ini pelbagai pihak memainkan peranan yang penting bagi membendung kehilangan nyawa manusia yang mana sejak akhir-akhir ini banyak sekali kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa. Setiap kali tibanya musim perayaan pihak polis khususnya menjalankan tugas tanpa mengira waktu demi menjaga keselamatan pengguna jalanraya.  Ops sikap yang dijalankan oleh pihak polis adalah untuk memastikan pengguna jalanraya mematuhi arahan dan undang-undang jalanraya demi keselamatan diri dan keluarga.
Untuk rakan-rakan semua, nyawa adalah tanda hidupnya manusia. Selagi seseorang itu masih bernyawa maka selagi itulah ia berpeluang meneruskan kehidupan di dunia ini. Tetapi apabila nyawa telah tiada lagi maka berakhirlah episod kehidupan manusia.

Kita hendaklah bersyukur kepada Allah SWT kerana menghidupkan kita melalui nyawa yang diberikannya dan dengan nyawa itulah kita dapat menikmati indahnya kehidupan,menikmati keindahan alam, merasai sedapnya makanan dan menggunakan segala nikmat kurniaan Allah SWT kepada kita. Apabila nyawa telah terpisah daripada badan semua itu tidak berguna lagi. Oleh yang demikian, kita wajib menghargai nyawa sendiri atau nyawa orang lain. Menghargai nyawa bermaksud memelihara dan menjaganya dengan sebaik mungkin dengan mengelakkan diri daripada terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan perbuatan atau tindakan yang boleh menghilangkan nyawa atau dengan kata lain menyebabkan kematian.

Berdasarkan laporan semasa bahawa isu kemalangan jalan raya adalah penyebab yang terbesar kepada kematian. Menurut laporan Jabatan keselamatan Jalanraya bahawa lebih daripada 6 ribu orang mati akibat kemalangan jalan raya dengan purata 18 kematian sehari atau 1 kematian setiap 1 jam 20 minit. Pada tahun 2010, sebanyak 6,872 kematian akibat kemalangan jalanraya, yang mana 4,036 kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.   Kajian yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia atau MIROS, bahawa 30% daripada kematian yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal ialah golongan berumur 16 ke 25 tahun berbangsa Melayu, dan daripada jumlah tersebut 40% daripadanya tidak mempunyai lesen memandu. Mengikut kepada perangkaan-perangkaan di atas angka itu adalah terlalu tinggi dan ini adalah satu kerugian kepada keluarga dan negara amnya.

PS Mubin merasakan bahawa perbuatan-perbuatan yang menimbulkan mudharat dan merbahaya yang boleh membawa kepada kematian seperti  menunggang motosikal secara merbahaya, tidak mematuhi peraturan jalanraya, tidak memiliki lesen memandu adalah tindakan-tindakan yang tidak menghargai nyawa. Jalanraya merupakan satu kemudahan awam yang menjadi penghubung kepada kita dari satu tempat ke satu tempat samada dari bandar ke desa atau sebaliknya. Ianya bukanlah tempat untuk kita menunjukkan kehebatan atau keberanian didalam kita memandu kenderaan, kerana itulah menjadi tanggungjawab kepada kita semua sebagai pengguna menjaga dan memelihara kemudahan ini dan menjadikannya sebagai satu tempat selamat dan bukannya tempat kecelakaan. Adalah tidak dapat dinafikan dan diakui bahawa punca utama kemalangan jalanraya di negara ini adalah disebabkan perilaku pengguna itu sendiri yang menyebabkan kerugian harta benda, kecederaan, kecacatan anggota badan, bahkan boleh membawa kepada kematian.

Marilah sama-sama kita menghargai nyawa yang diberikan oleh Allah SWT dengan mengelak diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan dan memudratkan kehidupan.







PS Mubin:  Berhati-hati di jalanraya. Hargailah nyawa dan ingatlah orang tersayang. 

Thursday, 19 January 2012

Kepelbagaian Perayaan Lambang Perpaduan

                                                               Sumber: chongyz89.blogspot.com


Salam 1Malaysia buat semua rakan-rakan semoga beroleh kebahagian dan kesejahteraan sentiasa lebih-lebih lagi khas buat rakan-rakan berbangsa Tiong Hua kerana beberapa hari sahaja lagi mereka akan menyambut tahun baru cina.   Tahun Baru Cina tahun ini merupakan tahun naga yang mana merupakan tahun tuah kepada masyarakat cina.  Sebelum melakar dengan lebih jauh lagi terlebih dahulu PS Mubin dan rakan-rakan mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina kepada masyarakat Tiong Hua semoga tahun ini merupakan tahun yang lebih meriah dan gemilang. 

 Sambutan Tahun Baru Cina ini merupakan salah perayaan yang terdapat di Malaysia dan merupakan perayaan kedua terbesar di negara ini selepas sambutan hari raya aidil fitri dan aidil adha.   Melalui acara sambutan seperti ianya dapat mengeratkan dan merapatkan lagi hubungan silaturrahim yang sedia ada.

Kepelbagaian perayaan di Malaysia melambangkan kepelbagaian agama, budaya dan bahasa masyarakatnya yang berbilang kaum.  Sungguhpun demikian, kesenjangan kepelbagaian itu dipersamakan melalui bahasa jiwa yang gembira dan semangat perayaan yang dikongsi bersama. Malaysia yang damai dan bertuah ini membolehkan kita merasai nikmat sebuah kehidupan dan anugerah sebuah perayaan yang bermakna tanpa sebarang kekangan, sama ada kita berada dalam limpahan kemewahan, kesederhanaan mahupun kemiskinan. Bayangkan mereka yang berada di ceruk lain di dunia ini yang tidak setuah kita, iaitu mereka yang dihimpit kemiskinan, kebuluran, peperangan, wabak penyakit, malapetaka, dan sebagainya yang berpanjangan.  Perayaan adalah untuk memberi dan merasa. Perayaan adalah untuk dikongsi, saling mengisi dan melengkapi. Perayaan adalah untuk mengingati, menginsafi dan mensyukuri.

Melalui kepelbagaian perayaan di Malaysia, ramai orang yang akan pergi kunjung mengunjung tanpa mengira bangsa dan agama. Melalui aktiviti seperti ini kita boleh memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat seperti mana saranan Perdana Menteri kita untuk bersama-sama menyokong Gagasan 1 Malaysia.  Kepelbagaian perayaan ini telah menambah keunikkan seni budaya di Malaysia yang mana boleh menarik minat pelancong untuk mengunjungi dan melihat kegiatan perayaan di Malaysia.  Semakin banyak pelancong yang akan mengunjungi tanah air kita ini akan menambah pendapatan negara yang digunakan untuk membangunkan negara kita ini.


PS Mubin merasa amat bersyukur sebagai seorang warganegara Malaysia kerana terdapat pelbagai perayaan tradisi kaum di negara yang tercinta ini.  Sambutan perayaan tradisi pelbagai kaum dapat memperkukuh dan mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia melalui beberapa aspek. Antaranya ialah dengan menganjurkan rumah terbuka kerana rumah terbuka bagi sesuatu perayaan mampu mengabungkan beberapa suku kaum di bawah satu bumbung. 
Akhir kata, sambutan perayaan pelbagai kaum diMalaysia dapat merealisasikan impian Perdana Menteri kita dalam memacu konsep 1Malaysia. Melalui pelbagai perayaan,perpaduan di kalangan rakyat Malaysia dapat dipertingkatkan.



PS Mubin:  Kepada kaum Tiong Hua….diucapkan Selamat menyambut Tahun Baru Cina (Gong Xi Fa Chai).  Jumpa lagi.

Wednesday, 11 January 2012

Kisah dan Tauladan - Basikal Tua




Aku hidup serba sederhana,  Tiada harta tiada rupa

Hanya yang ada budi bahasa, Harta sekadar Basikal Tua

Itulah sebahagian daripada lirik lagu nyanyian  Allahyarham Sudirman Hj.Arshad yang suatu masa  dahulu sering kedengaran di corong-corong  radio. 

Tujuan PS Mubin menulis bait-bait lagu itu adalah untuk mengingati kembali nostalgia penulis dan ayahanda  kesayangan menjalani kehidupan kais pagi makan pagi , kais petang makan petang menggunakan basikal tua untuk mencari rezeki demi keluargaku. Dengan basikal tua itu, ayahku dapat mencari rezeki bagi menanggung perbelanjaan aku dan adik-beradikku ke sekolah.    

Aku masih ingat kesusahan ayah aku dengan basikalnya. Seingat aku, basikal itu adalah pemberian tuan punya kebun buah-buahan di kampung aku yang diberi kepercayaan kepada ayahku untuk  menjaga kebunnya. Basikal ini juga yang menjadi kenderaan untuk mengangkut barangan yang lain.  Apabila tiba musim buah-buahan basikal tua ini digunakan untuk mengangkut buah durian, rambutan, manggis  untuk di jual kepada peraih. Selain daripada itu ia digunakan untuk mengangkut buah kelapa dari kebun ke bangsal untuk di buat `salai’.  Pendek kata basikal tua ayahku bekerja tanpa mengira waktu.  Yang paling membanggakan basikal tua ayahku jarang pancit atau rosak. Mungkin sudah tahu yang tuan nya orang susah….jarang buat kerenah.

Tiba musim menuai padi, basikal tua ayahku digunakan sepenuhnya untuk mengangkut padi dari sawah ke Baloh (rumah padi).  Tiga hingga empat guni sekali angkut tu biasa saja. Masa dulu tiada mesin tuai padi hanya ada kilang padi.  Padi dileraikan dari tangkainya menggunakan tenaga manusia. Tiba pula musim tanam tembakau basikal tua ini digunakan untuk angkut daun tembakau.  Begitulah seterusnya.  Selagi kudrat masih kuat roda basikal tua ayah ku sentiasa berputar untuk membantu mencari rezeki.            

Akhirnya basikal tua itu terbiar begitu saja dan dijadikan besi buruk kerana ayah ku dah tak mampu lagi menggunakannya dek di mamah usia…Anak-anak juga tidak lagi ambil peduli akan basikal tua ayah ku…dek kerana perubahan masa. Kerana sedikit kesenangan yang dimiliki dan anak-anak sudah bekerja, akhirnya basikal tua dilupakan, motosikal dan kereta pula menjadi pilihan.

Kesusahan dan keperitan yang dilalui generasi terdahulu tidak lagi dapat dikecapi oleh generasi kini. Arus kemodenanlah katakan.  Dan kesusahan yang dilalui pada zaman ini sudah berbeza dengan zaman basikal tua. Pengalaman hidup di masa basikal tua mengajar aku erti sebuah kehidupan dan pengalaman itu juga mengajar aku mengenai kesusahan, pengorbanan dan pengalaman agar kita tidak menjadi bongkak dan angkuh di atas dunia yang fana ini…






PS Mubin : Terkenang masa silam… 

Thursday, 5 January 2012

Tahun Baru Dan Semangat Baru


Apa khabar semua? Rasanya masih belum terlewat bagi PS Mubin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada rakan-rakan  sekalian semoga kehadiran tahun baru 2012 memberi sinar baru kepada kita semua. Janganlah jadikan azam di tahun baru ini hanya tinggal azam semata-mata tanpa ada usaha untuk mencapainya. Moga kehadiran tahun baru ini akan menjadikan negara kita Malaysia sebuah negara yang lebih maju, aman makmur dan sejahtera serta senantiasa dilindungi oleh Allah SWT. Segala kebaikan dan usaha yang kita lakukan pada tahun-tahun yang terdahulu boleh dijadikan sandaran untuk kita semua mempertingkatkan lagi mutu dan kebolehan kita agar ia nya menjadi bertambah baik menjelang tahun baru ini.  Selain dari itu sekiranya ada perkara  keburukan yang berlaku sepanjang tahun-tahun yang sama-sama kita jadikan pedoman moga kita tidak mengulangi kesilapan yang sama.   Walaupun kita sedar kita ini manusia tidak boleh lari dari melakukan kesilapan namun kita harus ingat ALLAH mengurniakan kita akal fikiran yang waras yang membezakan yang mana intan dan yang mana kaca.

Kebiasaanya sambutan tahun baru sudah menjadi kemestian bagi kebanyakan muda mudi dan remaja belasan tahun di negara kita. Saban tahun juga kita telah menyaksikan berbagai-bagai ragam, kerenah dan budaya songsang yang menjadi isu hangat dan melatari golongan muda-mudi di negara kita.

Majoriti pilihan muda-mudi kita hari ini lebih cenderung kepada pengisian yang berbentuk hiburan, bercampur aduk antara lelaki dan perempuan, merempit dan sebagainya.  Yang mana inilah antara faktor yang membawa kepada kehancuran.  Lebih malang, ada sesetengah mereka  tidak tahu membezakan antara halal dan haram dan berani pula melakukan perkara-perkara maksiat yang dilarang oleh Allah SWT secara terang-terangan seperti pesta seks, pesta minum arak, lumba haram, berjudi, penyalahgunaan dadah dan sebagainya.  Lanjutan dari itu berlakulah kes pembuangan bayi, lari dari rumah, perzinaan dan sebagainya.

Sedar dan insaflah, dengan kehadiran tahun baru ini kita digalakkan muhasabah diri agar menjadi hamba yang bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Apa-apa kelemahan dan kekurangan yang boleh kita perbaiki dan tidak kita ulangi.  Kita perlu melihat ke hadapan supaya kita dapat merencana dan merancang masa hadapan agar tidak mudah lalai dan alpa.

Dalam suasana menyambut tahun baru ini diharapkan bertambah keazaman, kejayaan, kebahagian, kesenangan, kesihatan dan ketaqwaan. Mudah-mudahan apa yang dilafazkan akan memberi kejayaan kepada kita semua tak kira dalam apa bidang sekalipun.  

Dalam masa yang sama jangan lupa pergantungan kita kepada Allah SWT.  Ingatlah dari mana asal usul kita dan ke mana kita akan  pergi.  Apabila kita selalu ingat dan dekat kepada Allah, maka itulah yang dapat menghindari diri kita dari melakukan perkara keji dan maksiat yang tidak sepatutnya berlaku dalam sambutan tahun baru.  Berazamlah melakukan yang terbaik untuk diri, keluarga dan masyarakat umum amnya. Sesungguhnya orang yang gagal adalah orang yang gagal merancang.  Gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya.  Kita merancang tetapi Allah yang menentukan.  Setiap keazaman perlu didokong dengan usaha yang jitu, doa dan tawakal yang berpanjangan.         
             
PS Mubin mengingatkan diri dan rakan-rakan semua agar lembaran tahun baru ini menjadikan kita hamba yang lebih tunduk kepada Allah SWT. Sesungguhnya dunia hanyalah tempat kita menumpang, tiba masanya kita perlu pergi jua dari tempat kita menumpang sekarang. Jika hari ini kita bermusafir tetapi masih mampu untuk balik kampung, maka satu masa nanti kita bermusafir kealam barzarkh dan seterusnya ke alam mahsyar pada hari kiamat, tiada lagi peluang untuk kita pulang ke kampung halaman kita di dunia ini.         









PS Mubin:  Selamat Menyambut Tahun Baru dengan wadah dan semangat baru. 

Tuesday, 20 December 2011

Hidup Berjiran

  
Kehidupan kita dalam seharian adalah seperti roda, sentiasa berputar, bergilir-gilir turun naik dan jatuh bangun. Hari ini kita senang dan mungkin esok kita mengalami kesusahan. Kita perlu ingat bahawa putaran hidup manusia adalah tidak menentu dan tidak dapat diramalkan nasibnya. Dengan demikian kita tidak boleh hidup secara bersendirian, tidak boleh mengasingkan diri dalam masyarakat. Kita dituntut bercampur gaul dan bermesra dengan masyarakat. Salah satu kumpulan manusia yang memain peranan besar meningkatkan kebahagiaan keluarga ialah jiran.  Jiran yang tinggal dalam lingkungan rumah kita adalah orang yang paling hampir dan pantas untuk memberi bantuan dan pertolongan.  Berdasarkan besar peranan jiran ini, kita berpendapat jiran samada kaya atau miskin adalah harta atau aset yang amat bernilai tinggi kepada kita sendiri dan masyarakat.  Dalam hal ini Islam memberi penghargaan yang tinggi kepada jiran.

Ketika mengulas perkara yang sama Nabi Muhammad SAW mengingatkan umat Islam supaya memulia dan menghormati jiran sebagaimana layanan kita terhadap kaum kerabat kita sendiri.   Oleh itu, adalah satu kerugian besar kepada umat Islam dan masyarakat jika kita mengabaikan dan tidak mempedulikan jiran yang di anggap sebagai harta yang bernilai tinggi itu.

Dalam usaha memupuk semangat mesra kejiranan, tidak dapat dinafikan bahawa kita akan berhadapan dengan banyak halangan dan rintangan. Walau bagaimanapun, perkara ini dapat di atasi sekiranya masing-masing mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling faham memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar-tukar pendapat, bersedia mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah dan mahabbah. Untuk itu, mimbar menyeru sidang jemaah sekalian dan semua pihak di negara ini, marilah sama-sama kita meningkatkan azam dan tekad bagi mengamalkan semangat kejiranan dan perpaduan dalam masyarakat kita.

Jiran adalah harta yang amat bernilai kepada kita. Oleh itu, apakah kita perlu menunggu sehingga ada musibah seperti sakit demam, rumah ditimpa banjir dan malapetaka lain yang menimpa keluarga kita, ketika itu baru kita terkial-kial hendak mencari dan memperkukuhkan hubungan sesama jiran? Bukankah elok dan bijak sekiranya, kita bersikap sentiasa mesra jiran sebagai langkah persediaan membantu kita menghadapi apa-apa kemungkinan yang mendatang. Bak kata pepatah Melayu

Sediakan Payung Sebelum Hujan ” dan “ Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tidak Berguna ”.Amalkan hidup berjiran.





PS Mubin:  Jadikan jiran sebahagian daripada keluarga kita. Jiran sepakat membawa berkat.

Friday, 25 November 2011

Sekejapnya Masa Berlalu

Assalamualaikum wbkt. dan selamat bertemu kembali buat rakan-rakan dan peminat setia Rakan 1klik. Agak lama juga PS Mubin tidak bersua diruangan ini.  Ikuti bicara ini.



Sekejapnya  rasa  masa  berlalu, pejam celik-pejam celik, hari berganti minggu, minggu berganti bulan, bulan berganti tahun, umur pula semakin meningkat , usia semakin tua.  Beberapa hari lagi kita umat islam akan  menyambut tahun baru islam iaitu bulan Muharam (1434 hijrah).  Rasanya baru saja kita menyambut ketibaan bulan tersebut. Sedar tak sedar ianya datang lagi.  Ramai yang mengetahui akan keistimewaan bulan ini.  Pada zaman Rasululllah, banyak peristiwa-peristiwa yang berlaku dan banyak pula  kejadian-kejadian yang dijadikan oleh Allah pada bulan ini .  Kalau nak disenaraikan diruangan ini rasanya terlalu banyak. Untuk itu PS Mubin sarankan agar mentelaah buku-buku yang berkaitan atau layari internet, anda akan dapat mengetahuinya.
Kebiasaannya sebut saja tahun baru, ada rakan-rakan kita akan bertanya apa azam dan perancangan kita pada tahun baru ni..  Justeru, apa perancangan dan azam kita sempena kedatangan bulan yang mulia ini?  Bagi PS Mubin azam tetap azam, walaupun apa rintangan, onak dan badai yang melanda kita mesti tempuhi bagi meneruskan kelangsungan hidup ini.
Setiap hari kita mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan di dunia ini.  Untuk bekalan akhirat pula kita disuruh buat perkara yang disuruh dan tinggal  perkara yang ditegah dan hidup ini pasti diberkati.  Andainya kita  memahami hakikat kehidupan ini, ia akan menjadi lebih indah dan sentiasa bersemangat untuk meneruskannya.  Kita seharusnya sentiasa beringat bahawa ajal maut tidak mengenal usia, tidak mengira tempat dan lokasi.  Oleh itu, seharusnya kita muhasabah diri dan kita dituntut untuk merebut  lima peluang sebelum tiba lima rintangan iaitu
Waktu kaya sebelum miskin, Waktu senang sebelum sibuk, Waktu sihat sebelum sakit, Waktu muda sebelum tua dan Waktu hidup sebelum mati.
Oleh itu jalan yang selamat ialah dengan berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu seharusnya bekerja seolah-olah kita akan hidup selama-lamanya dan beribadah seolah-olah kita akan mati pada esok hari.
Mudah-mudahan waktu yang sedang kita lalui ini dapat dimanfaatkan dan waktu yang bakal kita tempuhi di masa-masa akan datang dapat kita isi  dengan perkara yang berfaedah  antaranya sentiasa perbanyakan amal ibadah kepada Allah dengan ikhlas, manfaatkan masa dengan berusaha untuk memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negara, sentiasa bersyukur kepada Allah disamping menjauhi perkara yang tidak berfaedah, sentiasa merancang, mengurus ,  memperuntukkan masa bagi perkara yang mendatangkan kebaikan dan banyak lagi amalan-amalan yang baik.
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU ISLAM (AWAL MUHARAM)



                 PS MUBIN: Ya Allah lanjutkan usia, kurniakan akal fikiran dan sihatkan tubuhkan kami semua agar dapat melaksanakan tugas dengan baik dan beribadat kepada Mu. Amin- Jumpa lagi         

Tuesday, 27 September 2011

Hargailah Masa

Assalamualaikum wbkt. dan selamat bertemu kembali buat rakan dan peminat setia rakan 1klik. Artikel kali ini PS Mubin membicarakan mengenai kepentingan menghargai masa.


Pepatah Arab ada mengatakan `Masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotong kamu’.

Pepatah itu menyatakan betapa pentingnya masa dalam kehidupan seharian kita.  Setiap insan mempunyai  masa 24 jam sehari semalam.  Namun ada di antara kita mengatakan tidak mempunyai  masa yang cukup untuk mengurus kehidupan sehingga banyak perkara yang tidak dapat dipenuhi.  Setengahnya pula mempunyai masa yang cukup dan dapat memenuhi keperluan hidup dengan sempurna.

Kawan-kawan semua,  sesungguhnya Allah telah mengingatkan bahawa manusia itu sentiasa berada dalam kerugian  sekiranya manusia tidak bijak mengurus masa dengan baik dan menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah.  Tetapi bagi mereka yang beriman dan beramal soleh akan sentiasa memperolehi keuntungan sama ada di dunia dan akhirat.    


Justeru itu kita dituntut agar mempergunakan masa dengan amalan baik secara berterusan  dan bukan hanya terhad di hari-hari  dan bulan-bulan tertentu sahaja kerana amalan secara berterusan inilah yang amat digalakkan oleh islam.

Mudah-mudahan waktu yang sedang kita lalui ini dapat dimanfaatkan dan waktu yang bakal kita tempuhi di masa-masa akan datang dapat kita isi  dengan perkara yang berfaedah  antaranya sentiasa perbanyakan amal ibadah kepada Allah dengan ikhlas, manfaatkan masa dengan berusaha untuk memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negara, sentiasa bersyukur kepada Allah disamping menjauhi perkara yang tidak berfaedah, sentiasa merancang, mengurus, memperuntukkan masa bagi perkara yang mendatangkan kebaikan dan banyak lagi amalan-amalan yang baik.

Marilah kita sama-sama menghargai masa kerana masa tidak akan menunggu kita.  Ianya akan berlalu dan terus berlalu.










PS Mubin :   Masa itu emas….       

Monday, 19 September 2011

Jadikan Budi Bahasa Amalan Hidup Kita


Assalamualaikum, salam ceria dan salam 1Malaysia kepada semua rakan-rakan blog 1klik. Diruangan ini PS Mubin menulis serba sedikit mengenai amalan budi bahasa yang mana amalan tersebut perlu diamalkan di dalam kehidupan kita demi untuk mewujudkan masyarakat yang aman makmur.     Pengamalan nilai-nilai murni  serta berbudi bahasa adalah sangat penting dalam kehidupan kita.   Nilai-nilai murni serta budi bahasa akan mewujudkan rasa saling hormat menghormati antara satu sama lain dan ianya amat diperlukan untuk kehidupan masyarakat majmuk yang aman dan harmoni.  

Nilai-nilai murni serta budi bahasa penting bagi melahirkan masyarakat yang benar-benar membangun dan bertamadun. Sudah sampai masanya bagi seluruh masyarakat negara ini berjuang dalam mengamalkan dan menghidupkan semula budi bahasa dan nilai-nilai murni yang luhur dalam kehidupan seharian.  Dalam kesibukan kita sehari-hari, kita mungkin semakin lupa untuk memupuk ciri-ciri keperibadian luhur, baik untuk diri kita sendiri ataupun untuk anak-anak kita. sebelum budaya masyarakat kita merosot lagi, kita harus sedar dan mempelajari serta mempraktikkan semula nilai-nilai dan budi bahasa warisan kita. Usaha ini harus dimulakan pada peringkat diri sendiri, peringkat keluarga dan pada peringkat masyarakat, amnya.

Di dalam islam, budi bahasa serta tatasusila kehidupan bermasyarakat sebenarnya telah pun di contohi oleh baginda Rasullullah SAW apabila baginda berjaya merubah sistem dan kehidupan masyarakat arab jahiliyah daripada hidup dengan penuh kebiadapan kepada kehidupan yang penuh sopan santun dan berbudi mulia.

Seseorang yang memiliki budi bahasa dan keperibadian mulia sentiasa berkelakuan baik kepada keluarga, jiran tetangga dan masyarakat seluruhnya disamping  mematuhi norma-norma sosial, peraturan dan undang-undang negara.  Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha mencapai tahap kehidupan dengan berbudi bahasa serta nilai-nilai murni dengan bermula dari rumah sampai ke sekolah, dari tempat tinggal hingga ke tempat bekerja, dari kampung halaman hingga ke bandar, semoga kita menjadi insan yang berbudi bahasa dan  mewarisi keperibadian murni berpaksikan ketaqwaan kepada Allah SWT walau di mana sahaja kita berada.

Tegak rumah kerana sendi
Runtuh sendi rumah binasa
Sendi bangsa ialah budi
Runtuh budi, runtuhlah bangsa

PS Mubin :  Semarakkan amalan berbudi bahasa.    








   
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...