Artikel kali ini PS Mubin membicarakan mengenai kuasa pengguna. Bagi menjaga kebajikan dan mewujudkan keharmonian di antara pengguna dan pengusaha. Selari dengan kehendak hukum syarak, maka Islam memang mengharamkan sebarang bentuk eksploitasi dan penindasan seperti riba, judi, menipu dan sebagainya.
Namun apa yang mendukacitakan ialah berleluasanya kegiatan sesetengah pengusaha dan peniaga yang mengamalkan budaya menipu pengguna. Antaranya ada yang ditipu timbangan dan ukuran, ada yang diperdaya dengan harga yang dipropaganda harga murah tetapi sebenarnya mahal, ada yang ditipu dengan barangan tiruan dan ada yang terjebak dengan barangan dan perkhidmatan yang tidak halal dan ada juga yang terperangkap dengan janji palsu along dan skim cepat kaya.
Dalam tahun 2008 kerajaan telah menerima sebanyak 10,720 aduan dengan pelbagai isu dan masalah yang menimpa pengguna. Ribuan aduan juga dilaporkan oleh persatuan-persatuan pengguna di seluruh negara. Kadang kala kita mengeluh dan marah apabila menyedari kita ditipu oleh peniaga. Sebagai pengguna atau pembeli, kita mempunyai hak yang perlu dipertahankan. Di antara hak-hak tersebut ialah mempastikan barangan kegunaan yang dibeli adalah suci dan halal, mempastikan barangan dan perkhidmatan yang dibeli adalah tulen dan berkualiti dan mempastikan harga yang dibayar adalah harga sebenar dan berpatutan.
Bagi mempastikan hak-hak kita sebagai pembeli dan pengguna dapat dilindungi, maka kita hendaklah menjadi pengguna yang bijak. Bijak dalam erti kata tidak dapat dieksploitasi oleh pengusaha dan penjual. Bijak memilih penjual yang boleh dipercayai dan bijak memilih barangan dan perkhidmatan yang suci, halal dan berkualiti. Sesungguhnya untung rugi nasib pembeli dan pengguna adalah terletak di tangan kita sendiri. Jika kita prihatin, berhemah dan waras dalam mendapatkan barangan dan perkhidmatan maka terjaminlah kehidupan kita.
Dalam usaha mengaut keuntungan besar dan menjadi orang kaya cepat, maka terdapat peniaga menjadikan pembeli sebagai mangsa. Kita amat sedih jika mangsa itu adalah orang miskin dan kumpulan daif yang lain. Oleh itu, para pembeli dan pengguna perlu sedar bahawa sikap tidak kisah terhadap barangan dan perkhidmatan yang dibeli akan merugikan pengguna sendiri.
Justeru itu, marilah kita menjadi pengguna yang prihatin dan bijak dengan langkah-langkah berikut ;
Pertama : Setiap pengguna perlu mendapatkan maklumat dan pengetahuan yang secukupnya mengenai barangan dan perkhidmatan yang akan dibeli.
Kedua : Para pengguna perlu membuat pengaduan terhadap peniaga-peniaga yang didapati menipu dan menindas
Ketiga : Para pengguna patut memilih premis perniagaan yang dipercayai amanah.
Keempat : Pihak berwajib hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan penguatkuasaan ke atas pusat-pusat perniagaan secara integriti dan bertanggungjawab.
PS Mubin : Jadilah pengguna yang bijak…berkunjunglah ke Kedai Rakyat 1Malaysia...murah dan berkualiti.
No comments:
Post a Comment