Followers

Showing posts with label Hbbjutawan. Show all posts
Showing posts with label Hbbjutawan. Show all posts

Wednesday, 21 September 2011

Keruntuhan Akhlak - Kesan Ke atas Negara


Tidak dapat dinafikan juga, keruntuhan akhlak akan memberikan kesan yang sangat besar pada negara. Jatuh dan bangunnya sesebuah negara dan masyarakat itu bergantung kepada akhlak remaja atau generasi pada waktu sekarang. Beberapa kesan yang ketara pasti akan wujud samada melibatkan kesan jangka panjang atau pendek kepada negara ini. Antara kesan yang akan berlaku ialah:

a)   
  •  Negara akan kehilangan generasi dan kepimpinan pada masa hadapan. Negara akan mengalami kerugian yang sangat besar kerana generasi pada masa kini tidak mempunyai akhlak baik dan yang diinginkan dan hal ini menyebabkan negara akan kehilangan pemimpin-pemimpin yang berwibawa untuk mentadbir negara.
  • Kerancakan pembangunan negara akan terbantut dan keadaan ekonomi negara juga sukar untuk berkembang kerana wujudnya gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang yang tinggi di kalangan masyarakat. Pembangunan susah untuk berkembang dan dijalankan oleh kerajaan kiranya keruntuhan akhlak berada pada tahap yang membimbangkan. Kerajaan akan dibebani pelbagai masalah yang boleh menghalang kerancakan pembangunan negara.
  • Kadar jenayah dalam negara juga akan meningkat sejajar dengan peningkatan gejala sosial dan keruntuhan akhlak. Perbuatan berjudi, berzina, perbuatan seks diluar tabii, kes-kes rogol dan pembuangan bayi, serta ketagihan dan penagihan dadah akan makin berleluasa.
  • Perbelanjaan kerajaan akan juga turut meningkat akibat peningkatan kadar jenayah. Kerajaan terpaksa menggunakan belanja yang lebih dalam menguruskan remaja-remaja dan bagi mengatasi remaja yang bermasalah ini. Contoh yang paling ketara ialah perbelanjaan kerajaan dalam menguruskan penagih-penagih dadah di pusat-pusat serenti serta perbelanjaan kerajaan untuk membaik pulih kemudahan awam yang disebabkan oleh perbuatan vandalisme.
  • Anasir-anasir luar akan mudah meresap masuk kedalam negara seandainya generasi pada hari ini tidak tahu menjaga akhlak mereka. Mereka akan mudah dan cepat terpengaruh dengan budaya-budaya kuning dan juga budaya barat yang sentiasa ingin menghancurkan remaja islam pada hari ini. 

Thursday, 15 September 2011

Keruntuhan Akhlak- Kesan Kepada Masyarakat


Assalammualaikum semua. Lama kita tak bersua. Rasanya masih belum terlambat saya ucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pembaca setia Blog ini. Seperti yang dijanjikan terdahulu, saya akan menyambung penulisan saya dengan kesan keruntuhan akhlak kepada masyarakat pula.

Keruntuhan akhlak akan memberikan kesan yang sangat besar dalam masyarakat. Jatuh bangunnya sesuatu negara , agama dan bangsa dapat dilihat dari segi akhlak dalam masyarakat itu sendiri. Tidak dinafikan akhlak remaja pada hari ini sangat membimbangkan. Budaya – budaya kuning dan pengaruh budaya barat mudah meresap masuk dan menjadi ikutan para remaja hari ini. Kiranya hal ini tidak dibendung oleh pihak – pihak yang tertentu terutamanya oleh pihak kerajaan dan juga pihak – pihak yang berwajib, maka tidak hairanlah pada masa akan datang masyarakat kita akan hancur dan keruntuhan akhlak remaja – remaja melayu terutamanya akan rosak dan binasa. Oleh itu pihak – pihak atau anasir luar akan cuba mengambil kesempatan di atas kelemahan bangsa kita sendiri. Namun begitu kesan yang paling ketara yang akan dilihat kiranya akhlak remaja pada hari ini tidak dikawal ialah: 


  • Masyarakat di negara ini akan menjadi porak peranda, berpecah belah dan tidak bersatu padu. Keruntuhan akhlak akan menyebabkan masyarakat menjadi hilang punca dan pertimbangan. Sikap untuk bersatu sesama bangsa tidak dapat dijana. Maka akan wujudlah perpecahan dikalangan masyarakat pada hari ini.
  • Perasaan buruk dan prasangka pasti akan wujud dalam masyarakat. Sifat saling curiga mencurigai akan bertahta di hati masyarakat. Masyarakat akan sentiasa curiga dan menaruh perasaan yang kurang baik tehadap individu yang mempunyai akhlak yang buruk. Perasaan ini payah untuk dihapuskan walaupun individu berkenaan cuba untuk melupakan dan membuang tabiat buruknya.
  • Wujudnya pergaduhan dalam masyarakat akan pasti akan berlaku. Isu-isu perkauman akan wujud seandainya pergaduhan ini melibatkan antara dua kaum. Pergaduhan boleh berlaku seandainya remaja pada hari ini hilang pertimbangan terhadap semangat perpaduan dalam masyarakat. Contohnya akibat daripada minuman yang memabukkan akan mendatangkan kesan yang buruk seperti pergaduhan, kes kecurian dan perbuatan membunuh.
  • Kadar jenayah dikalangan masyarakat juga akan meningkat yang mana hal ini  disebabkan oleh kadar keruntuhan akhlak di kalangan remaja semakin meningkat. Remaja yang terdedah kepada gejala sosial akan mudah terdedah kepada perbuatan jenayah samada secara langsung mahupun tidak langsung. Kes-kes seperti pembuangan dan pembunuhan bayi, perbuatan mencuri dan sebagainya pasti akan berlaku dan hal ini boleh menyebabkan kadar jenayah dalam masyarakat  ini akan meningkat.
  • Keharmonian dalam masyarakat tidak akan wujud. Kiranya kadar jenayah meningkat, masyarakat akan berada dalam kebimbangan dan hal ini boleh menyebabkan masyarakat berada dalam keadaan ketakutan dan natijahnya keharmonian akan sukar diwujudkan dalam masyarakat. Masyarakat akan berada dalam keadaan aman dan harmoni andainya kadar jenayah dapat dikurangkan dan diatasi.

Hbbjutawan: Selepas ini kesan ke atas negara pula..

Thursday, 18 August 2011

Kesan Ke Atas Keluarga Terhadap Fenomena Keruntuhan Akhlak



Seperti yang dijanjikan terdahulu, saya menyambung penulisan saya dengan kesan keruntuhan akhlak kepada keluarga.


Keluarga memainkan peranan yang penting kerana dari institusi kekeluargaanlah kebahagian dan keharmonian sesuatu masyarakat itu bermula. Keruntuhan institusi kekeluargaan akan menyebabkan hilangnya kebahagian dan keharmonian dalam sesuatu masyarakat. Akhlak yang baik dan mulia datangnya daripada sesebuah institusi kekeluargaan yang harmoni dan bahagia. Benarlah kata – kata hikmah bahawa rumah itu adalah akar segala-galanya. Oleh sebab itu, keruntuhan akhlak akan menyebabkan dan memberikan kesan yang besar keatas kebahagian dan keharmonian sesuatu institusi kekeluargaan itu.  Antara kesan yang akan berlaku akibat  terhadap institusi kekeluargaan ialah:

  • Keruntuhan institusi kekeluargaan akan berlaku. Akhlak yang baik datangnya daripada keluarga yang harmoni dan bahagia. Akibat daripada perbuatan seperti berjudi, meminum minuman keras, zina dan sebagainya akan mengundang pelbagai masalah yang akhirnya menyebabkan sesuatu institusi akan hancur. Tiada lagi wujudnya kebahagian dan keharmonian dalam institusi keluarga berkenaan.  Keharmonian dalam kekeluargaan tidak akan wujud  andainya perbuataan seperti maksiat dan penzinaan  berleluasa.
  • Akibat wujudnya ketidakharmonian dalam kekeluargaan, pastinya akan wujud penceraian. Penceraian pastinya akan berlaku kerana keharmonian dan kebahagian rumahtangga tidak dapat dipertahankan lagi. Rumah tidak dianggap sebagai tempat untuk mendatangkan kedamaian tetapi lebih kepada satu tempat yang membosankan. Kiranya kebahagian tidak wujud lagi maka penceraian akan terjadi dan pastinya ia tidak dapat dielakkan.
  • Masa depan anak-anak akan terbiar dan tidak terpelihara. Anak – anak akan hilang tempat bergantung dan bermanja. Kehidupan anak-anak akan menjadi tidak ceria. Permasalahan ini akan mendatangkan kesan yang lebih buruk pada masa hadapan anak-anak ini. Generasi akan datang akan mudah terpengaruh dengan budaya-budaya luar kerana kurangnya kebahagian dan kasih sayang yang dikecapi dalam institusi kekeluargaan. Anak – anak akan mencari alternatif lain untuk mengatasi masalah yang dihadapi bagi menempiaskan kasih sayang mereka agar segala masalah mereka dapat dikongsi bersama-sama contohnya kepada rakan-rakan, guru-guru, orang gaji, jiran-jiran dan sebagainya.
  • Wujudnya masalah-masalah sosial yang lain seperti budaya lepak, ketagihan dadah, pelacuran, perjudian, hubungan sesama jenis dan masalah-masalah yang lain. Hal ini akan menyebabkan kadar jenaya di negara kita akan meningkat. Kesan jangka panjang ini akan menyebabkan keharmonian dalam keluarga  akan hilang.


Hbb jutawan: Nantikan kesan kepada masyarakat pula.

Friday, 12 August 2011

Kesan Dan Cabaran Terhadap Fenomena Keruntuhan Akhlak

                                                                 Gambar: Iluvislam.com

Keruntuhan akhlak di kalangan remaja pada hari ini akan memberikan  kesan dan impak yang begitu besar dalam masyarakat kita pada hari ini. Remaja  merupakan aset utama negara pada masa akan datang,  memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara. Kesan jangka panjang dan jangka pendek pasti akan berlaku seandainya remaja pada hari ini tidak tahu bagaimana untuk membentuk dan memuliakan akhlak mereka. Banyak kejadian seperti pembuangan bayi, zina, perjudian, budaya homoseksual, penagihan dadah dan sebagainya dilakukan oleh remaja muslim pada hari ini yang kebanyakan mereka berpaksikan dan bertunjangkan nafsu dan amalan yang dipengaruhi oleh budaya-budaya barat dan asasnya mungkin berpunca daripada kurangnya pegangan agama pada diri mereka. Tidak dapat dinafikan juga kesan keruntuhan akhlak akan memberikan kesan yang mendalam pada diri individu.
Hari ini, saya akan berkongsi dengan anda, antara kesannya ke atas individu itu sendiri. Antara kesan yang paling ketara ialah:
  • Individu akan dipandang hina oleh masyarakat sekeliling. Disebabkan oleh perbuatan mereka, masyarakat tidak lagi menyanjung akhlak dan keperibadian individu berkenaan. Masyarakat akan sering memperkatakan tentang perbuatan yang telah dilakukan oleh beliau.
  • Hilangnya pegangan dan kepercayaan terhadap agama. Disebabkan oleh perbuatan yang dilakukan oleh individidu berkenaan, pegangan agamanya akan semakin menipis. Kepercayaan terhadap illahi serta ketakutan dalam melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah akan semakin menipis. Tiada lagi wujud perasaan takut terhadap balasan yang akan diterima atas perbuatan yang dilakukan dan kemurkaan Allah disebabkan terhadap perbuatan berkenaan.
  • Masyarakat akan sentiasa berprasangaka buruk terhadap individu berkenaan. Tidak wujud lagi kepercayaan dalam masyarakat terhadap individu berkenaan.  Ke mana saja serta apa yang dilakukan oleh individu berkenaan akan sentiasa dicurigai dan wujudnya satu prasangka yang buruk terhadap individu berkenaan.
  • Wujudnya tekanan perasaan dan emosi yang tinggi keatas perbuatan yang telah dilakukan. Individu yang melakukan zina contohnya akan sentiasa mengalami tekanan perasaan dan emosi dan pastinya tidak wujud kedamaian didalam hati mereka. Emosi mereka akan sentiasa berada dalam keadaan yang tidak stabil dan tekanan pastinya wujud terutamanya dari keluarga dan masyarakat.
  • Pelbagai penyakit juga pasti akan wujud dan menular kiranya remaja pada hari ini tidak tahu menjaga akhlak mereka. Penyakit berjangkit dan merbahaya serti AIDS, Hepetetis B, Kanser dan sebagainya akan mudah merebak. Mereka yang terlibat dalam gejala ddaah pasti akan mudah mendapat penyakit HIV, dan begitu juga mereka yang mengamalkan perbuatan homoseksual dan meminum arak akan mengundang pelbagai penyakit yang merbahaya.



 Hbbjutawan: Ikut kesan-kesan yang lain pada edisi akan datang.. 

Tuesday, 19 July 2011

Vandalisme




Vandalisme merupakan satu aktiviti yang melibatkan perbuatan merosakkan sesuatu benda yang merupakan hak peribadi mahupun hak awam sehingga menyebabkan kerosakan fizikal yang kekal terhadap benda tersebut. Dewasa kini, didapati gejala vandalisme ini begitu berleluasa sehinggakan pihak berkuasa terpaksa mengadakan berbagai-bagai langkah pencegahan dan kempen-kempen kesedaran bagi mengelakkan gejala tidak bermoral ini berterusan dan menyebabkan negara mengalami kerugian berjuta-juta ringgit. Aktiviti menconteng dinding dan papan-papan iklan, merosakkan telefon awam, menyalahguna tandas awam , dan sebagainya sering kali dapat kita saksikan di sekeliling kita. Saban tahun, gejala ini begitu merunsingkan akibat tiadanya kesedaran terhadap semangat kekitaan terhadap harta benda awam yang disediakan oleh pihak berkuasa. 

Selain menyusahkan pengguna-pengguna lain, vandalisme terhadap harta benda awam juga akan menyebabkan persepsi negatif terhadap pelancong-pelancong asing yang berkunjung ke negara ini. Antara kempen kesedaran yang dilakukan di negara kita contohnya adalah seperti kempen yang bertemakan `Bandar Selamat, Rakyat Sejahtera' sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia di Malaysia dalam usaha melahirkan persekitaran bandar atau pekan yang moden dan selamat untuk didiami, bekerja dan melakukan kegiatan harian untuk semua orang.Ia menunjukkan langkah pihak berkuasa meningkatkan kesedaran awam dalam mencegah masalah salah laku vandalisme dan jenayah yang semakin meruncing dan serius. Dalam usaha mengurangkan jumlah jenayah dan mengatasinya daripada terus berleluasa, perancang bandar perlu sedar kepentingan inovasi dalam penyediaan susun atur perumahan dan bangunan daripada aspek keselamatan dan jenayah.

Thursday, 7 July 2011

Isu Pembuangan Bayi


Masalah pembuangan bayi bukanlah merupakan satu perkara yang baru berlaku di negara ini.. Sejak di zaman Arab Jahiliyah lagi kita dapati gejala tidak beretika ini telah dilakukan khususnya terhadap bayi serta nak-anak perempuan di atas faktor keagamaan masyarakat pada masa itu. Khalifah Umar Al-Khattab juga pernah melakukannya semasa beliau belum menganut agama Islam. Akan tetapi, gejala pembuangan bayi kini begitu berbeza senarionya memandangkan pembuangan bayi ini dilakukan atas desakan hawa nafsu manusia itu sendiri yang terlibat dengan aktiviti penzinaan hasil daripada pergaulan bebas masyarakat pada hari ini. Malu, sedih, buntu setelah terlanjur dan mengandung anak di luar nikah, maka pengguguran serta pembuangan bayi menjadi langkah mujarab dalam menutup segala keaiban yang telah dilakukan oleh manusia itu sendiri. Kini gejala buang bayi diperkatakan semula berikutan semakin ramai bayi yang ditemui sama ada dalam keadaan hidup atau mati di merata tempat.

Kalau sebelum ini, kita dikejutkan dengan penemuan bayi di dalam tong sampah, longkang, pintu pagar masjid, bawah pokok, kaki lima, tandas dan depan rumah orang. Tetapi kini cara membuang bayi jauh lebih ekstrem dan tidak masuk dek akal.

Ada yang kejam membuang bayi daripada atas sebuah flat, dtinggalkan dalam beg plastik yang diikat rapat dan lebih menyayatkan hati lagi apabila seorang pelajar melahirkan anak di sekolah dan memasukkan bayi yang baru lahir itu ke dalam beg sekolahnya. Bayi-bayi itu yang dibuang dan sesetengahnya dibiarkan mati hasil daripada keterlanjuran yang dilakukan oleh ibu mereka yang kebanyakannya masih muda remaja. Bayi yang dilahirkan itu hasil daripada perhubungan seks bebas yang dilakukan secara haram dan pergaulan bebas yang sudah menjadi trend bagi masyarakat kita.

Gejala buang bayi adalah bukti yang paling nyata bahawa masyarakat kita sedang dilanda oleh masalah keruntuhan moral yang serius. Kebejatan sosial yang sedang berlaku itu menandakan bahawa masyarakat kita sedang sakit. Sekaligus menunjukkan betapa proses pembangunan yang dilaksanakan dalam negara kita berada pada kedudukan yang tidak seimbang. Terdapat sesuatu yang tidak kena pada program pembangunan sosial negara. Begitu juga dengan sistem pendidikan yang telah gagal membendung pelbagai gejala dan kegiatan tidak sihat di kalangan pelajar-pelajar sekolah.

Di samping itu, pengaruh daripada rakan sebaya terutamanya di kalangan remaja lelaki juga merupakan faktor penyebab mengapa remaja terdorong melakukan hubungan seks tanpa tahu risikonya. Namun seperti kata pakar psikologi kanak-kanak dan remaja UKM, Dr. Khaidzir Ismail, remaja yang terjebak dalam gejala sosial sebegini adalah individu normal tetapi mereka mempunyai tingkah laku tidak normal atau psikopat - iaitu melakukan kesalahan tanpa rasa kesal. Dalam pada itu, pengaruh persekitaran yang begitu kondusif turut menggalakkan perlakuan seksual seperti itu. Kehidupan anak-anak yang terlalu terkongkong atau tidak rapat dengan ibu bapa atau keluarga, boleh menyebabkan anak-anak ingin meneroka sesuatu yang negatif.

Selain itu kurangnya didikan agama juga menjadi punca utama mengapa mereka tidak dapat menahan diri daripada terjebak dalam kancah maksiat seperti ini. Halijah berkata, antara kesan-kesan mengamalkan seks bebas ialah kehamilan.

Di Amerika Syarikat misalnya, lebih kurang 40 peratus daripada remajanya hamil luar nikah. Akibat kehamilan luar jangkaan ini ramai remaja perempuan bertindak menggugurkan kandungan mereka yang akhirnya menimbulkan komplikasi kesihatan dan kematian. Statistik yang diperoleh oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati 4.4 juta remaja dunia pernah menggugurkan kandungan.

Justeru, saya menyeru kepada semua remaja di luar sana, bukalah mata, hati dan minda anda agar jangan mudah terjebak dalam gejala sosial yang negatif hingga merosakkan diri. Kenangilah jasa dan pengorbanan ayah dan ibu yang membesarkan kita selagi hayat dikandung badan. 

Hbbjutawan: Jagalah diri, hiasi peribadi. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...