Sesungguhnya
dalam kita meniti pembangunan negara yang tercinta ini, sesekali jangan kita
lupa peranan pejuang silam yang telah meletakkan asas kepada perjuangan dan
pembangunan negara hari ini. Tanpa mereka sudah tentu apa yang kita kecapi
tidak akan dapat dinikmati oleh generasi kini. Justeru kerana pengorbanan yang
tidak ternilai inilah generasi pewaris wajar mengambil iktibar dan pengajaran
serta teladan di atas semangat juang pejuang-pejuang terdahulu dalam
melaksanakan misi dan visi untuk mempertahankan negara kita daripada terus dijajah.
Oleh itu jangan sesekali kita cuba untuk meruntuhkan tembok keamanan yang kita
kecapi pada hari ini. Bajailah keamanan yang kita kecapi ini dengan perpaduan,
toleransi dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Jangan sekali terjebak dengan
propaganda yang dicanangkan oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan
memporakporandakan negara kita ini.
Pengorbanan yang mereka lakukan sesungguhnya tidak
ternilai, ia menuntut kepada generasi hari ini agar merenung dan berfikir
bahawa keamanan, keselamatan, kesejahteraan hidup di bumi merdeka lagi
berdaulat ini adalah hasil pengorbanan hidup sekelompok manusia yang bergelar
perwira negara, yang berjuang mencapai kemerdekaan dari belenggu penjajah dan
seterusnya mempertahankan kemerdekaan. Jasa-jasa pahlawan silam yang
menumpahkan keringat dan airmata, kepayahan dan keperitan diri, keluarga,
terseksa dan tercedera, bahkan nyawa menjadi taruhannya, terlalu bernilai buat
mereka dengan tertegaknya negara Malaysia tercinta.
Harga pengorbanan pahlawan silam terbalas dengan
kelahiran Malaysia berdaulat, disemai dengan benih keamanan, disirami dek baja
pembangunan berwawasan dan dipagari oleh perpaduan yang mesra dan
bertoleransi. Namun harus diingat, benih keamanan dan kesejahteraan
melalui percikan darah para pahlawan akan hilang nilaian dan maknanya, bahkan
hanya menjadi sia-sia apabila keamanan dan kesejahteraan bumi Malaysia
tercinta diperjudikan. Justeru sebagai rakyat yang cintakan negara, hargailah
keamanan dan kesejahteraan yang kita kecapi kini.
Dalam pada itu kita juga mahu memastikan bahawa
kita menyerahkan negara ini kepada generasi penerus di kalangan anak cucu kita
sebagaimana kesinambungan kepimpinan yang pernah kita warisi dahulu. Biar
mereka terus berbangga dengan negara Malaysia. Maka kita harus bangun dari
tidur yang lena atau di dalam jaga tapi penuh alpa, mengatur perpaduan bangsa,
membangun kecemerlangan negara berlandaskan Gagasan
1Malaysia, yang diasaskan oleh Perdana Menteri kita yang dikasihi Dato’ Seri
Najib Tun Razak.
Sedarlah, dalam keadaan negara yang aman damai ini,
sewajarnya kita tahu, di ketenangan kita melangkah ke pejabat, dalam hilai tawa
dan kemeriahan anak-anak kita belajar di sekolah, dalam keheningan kita tidur
nyenyak diulit mimpi, sesungguhnya mungkin tanpa kita sedari, bahawa sebahagian
daripada kita terpaksa bersengkang mata, jauh dari keasyikan dan keseronokan
hidup, sedangkan mereka seperti manusia lain, punya keluarga, anak pinak dan
ingin merasai segala kenikmatan yang dirasai sewajarnya oleh manusia, namun
lantaran tugas dan tanggungjawab yang sentiasa menggamit, mereka akur kepada
panggilan pertiwi, demi pertahanan dan keselamatan negara yang tercinta ini.
Untuk itu, kepada insan di luar sana yang cuba untuk
memporakporandakan keamanan dan kemakmuran negara yang kita kecapi sekarang ini
harus sedar dan insaf bahawa seandai nikmat yang kita kecapi sekarang ini
dinodai tak mungkin lagi kita akan dapat merasainya. Wahai kawan-kawan
dan insan semua! Marilah kita sama jalinkan kekuatan, bina kombinasi mapan,
sempurnakan amanah dan peranan, persiapkan jiwa dengan keimanan, hiaskan diri
dengan kesopanan, tingkatkan pengorbanan dan kesiapsiagaan demi mempertahankan
maruah negara. Negara kita adalah hak kita jangan biarkan ianya dijajah untuk
kali yang kedua dan kita sebagai rakyat negara Malaysia yang berdaulat WAJIB
mempertahankannya.
No comments:
Post a Comment