Hidup hari ini memerlukan plastik. Malah “plastik” dalam dunia komunikasi sosial biasanya melambangkan sesuatu yang tiruan. Maka timbullah istilah “umpama bunga plastik” dan “cinta plastik.”
Pada hakikatnya hidup dalam dunia moden memerlukan plastik. Plastik digemari kerana ia lebih ringan, mudah dibawa dan tahan lasak. Ia mungkin beg plastik, komponen-komponen plastik dalam barangan yang kita guna pakai termasuk perabot, kenderaan, peralatan pejabat, perhiasan diri dan rumah dan senarai kegunaannya memang panjang.
Tahukah kita bahawa sekeping beg plastik mengambil masa 1000 tahun untuk menjadi hancur? Sedangkan sebanyak sejuta beg plastik digunakan setiap minit di seluruh dunia iaitu 700 keping beg plastik digunakan secara purata bagi setiap isi rumah setahun. Malah hampir sejuta burung dan mamalia laut mati akibat termakan bahan plastik yang dicampak ke laut.
Itu belum masuk lagi bahan styrofom atau polisterin yang penggunaannya boleh memberi kesan kepada kesihatan manusia termasuk sistem saraf, kelenjar tiroid dan kanser. Langkah mengadakan Kempen Hari Tanpa Plastik terutama di pusat-pusat membeli belah dan pasar raya amat baik dan patut disokong oleh semua. Mudah-mudahan kita menjadi pengguna yang bijak dan menyayangi alam sekitar.
Hikano: Kalau duit plastik RM5 jangan buang ya..walaupun ia diperbuat daripada plastik polimer, ia tetap ada nilai.


