Followers

Showing posts with label Mama Manis. Show all posts
Showing posts with label Mama Manis. Show all posts

Thursday, 16 June 2011

Pinggan Pakai Buang Ubi Kayu

Dua minggu ni kita diminta untuk memperkatakan mengenai Teknologi Hijau. Semua kenalah menyokong kempen tersebut.  Di sini Mama nak cakap mengenai pinggan pakai buang yang selalu digunakan oleh kita terutama dalam sesuatu majlis apatah lagi, hari raya puasa pun tidak lama lagi. Tentu ramai yang buat rumah terbuka. Masa inilah pinggan pakai buang akan digunakan. Senang sebab tidak perlu basuh pinggan, terus buang saja. Tetapi semua mungkin sudah tahu pinggan pakai buang dari pada polisterin sebenarnya tidak bagus kerana ia membahayakan kesihatan dan berisiko merangsang sel barah  di samping sukar dilupuskan.

Sekarang ini dah ada orang mencipta pinggan pakai buang yang diperbuat daripada ubi kayu. Kan bagus boleh makan terus…. Kalau dibuang pun dalam masa 28 hari ia dah lupus dalam tanah. Walau pun tak popular lagi kita patut puji Naturers Harmony Industries Sdn Bhd kerana cipta pinggan seperti itu.Ini yang di namakan pinggan pakai buang mesra alam kerana diperbuat daripada bahan tanaman. Apatah lagi, ubi kayukan sedap sama ada direbus,  digoreng atau di buat kuih dan sekarang jadi pinggan pakai buang pula. Hebat betul orang Malaysia.

Macam Universiti Sains Malaysia (USM)  pula, sudah berjaya menghasilkan inovasi baru daripada sisa buah-buahan dikenali sebagai Fruitplast bagi menggantikan plastik. Walaupun belum lagi dikomersialkan tapi kita sudah ada alternatifnya bagi menggantikan polisterin atau plastik. Wah…bagusnya penyelidik-penyelidik di Malaysia. Semuanya inovatif belaka.






Mama Manis: Mama harap banyak lagi inovasi baru dari penyelidik-penyelidik kita dengan membuat kajian bagi menggantikan polisterin  yang membahayakan kesihatan. Agaknya macam mana kalau pinggan pakai buang atau polisterin yang diperbuat daripada buah-buahan  yang berbau seperti durian. Tak mustahilkan?

Tuesday, 7 June 2011

Jayakan Kempen Teknologi Hijau


Bercakap mengenai teknologi hijau ini  tak semua orang yang faham. Bagi yang prihatin akan bertanya apa yang perlu kita buat. Teknologi hijau ni kan merujuk pembangunan dan aplikasi, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan sumber semula jadi dan mengurang kesan negatif daripada aktiviti manusia. Ini yang kita dengar ceramah….

Jadi Mama nak cerita  tentang kempen ni.  Satu mengenai penggunaan beg plastik dan  satu lagi tentang tanam pokok bunga.  Kita kan sudah diwar-warkan pada setiap hari Sabtu semua pasaraya tak bagi beg plastik.   Ada yang prihatin tu dah siap-siap bawa beg dari rumah.  Seelok-eloknya beg kain. Bagi yang tak bawa beg dan belanja banyak pulak tu, jawabnya kena susun barang yang dibeli dalam kereta.  Sampai rumah barulah ambil beg atau bekas untuk  isi barang. Mama lihat ada yang beli sikit tu, bungkusan dipeluk atau letak dalam baju. Kan menyusahkan namanya. Sebab tu kena  sentiasa letak beg  dalam kereta.

Satu lagi tentang tanam pokok. Orang kata  walau duduk di bandar, di rumah teres atau di flat, sedikit sebanyak kenalah tanam pokok sama ada pokok bunga  atau pokok cili. Dalam pasu pun sudah memadai. Ialah untuk menampakkan kehijauan. Sekurang-kurangnya sejuk sikit persekitaran kita. Sahutlah seruan kerajaan  jaga alam sekitar supaya bersih dan  segar.


Tapi ada sesetengah orang  dah terlebih pulak  pokok di sekeliling  rumahnya. Rumput  yang tumbuh, tak dijaga hingga semak samun. Kadang kala menjalar hingga  ke jiran sebelah. Ini pun tak elok. Ingat tu……jangan sampai jiran bermasam muka dengan kita.

 








Pesan Mama Manis : Jayakan kempen-kempen seperti itu kerana yang dapat faedahnya kita jua.

Friday, 6 May 2011

Kenanglah Jasa Ibu bapa kita



Betapa sayangnya ibu kepada kita. Ketika masih dalam kandungan hinggalah kita lahir, ibu sentiasa menjaga kita dengan belaian kasih sayang. Hingga kita dewasa ibu lah  yang mengajar erti kehidupan, ajar mengaji, memasak, menghias diri hinggalah kita bertemu jodoh dan seterusnya mendirikan rumahtangga. Pesan ibu, pilih suami isteri yang ada didikan agama dan boleh menjamin kebahagian hidup sekeluarga. Berbakul-bakullah pesanan ibu, nasihat, petua dan macam-macam lagi. Itu kalau kita ni anak perempuan.

Kalau anak lelaki sama juga, sayang yang tidak berbelah bagi.  Bila dah besar, dah bekerja dan ingin mendirikan rumahtangga, ibu pasti pesan supaya pilih isteri tu yang tau mengaji, berpendidikan agama, hormat orang tua dan ada paras rupa. Bila ibu dah tiada,  kenangan manis bersama ibu sangat terasa…….


Jasa bapa kita juga jangan dilupa. Bapalah yang memberi kita makan minum, pakaian, apatah lagi pelajaran hingga kita berjaya. Sebagai anak, inilah masanya kita menabur bakti kepada orang tua.

Bagi Mama yang telah ketiadaan ibu,  bapalah tempat kita mencurah kasih sayang selain suami dan anak-anak.

 






Pesan Mama Manis: Kalau kita hormat dan berbakti kepada ibu bapa kita, anak-anak kita pula akan menghormati kita dan sayangggg kat kita.
Selamat Menyambut Hari Ibu


Tuesday, 3 May 2011

Baik Buruknya Guna Kad Kredit


Sesetengah orang  banyak kad kredit. Macam macam jenis. Kadang kala tu berbangga dan tunjuk kat orang  terutama bila nak membayar di kaunter selepas membeli barang. Guna kad kredit ni ada baik dan ada buruknya. Kalau kita ada tugas luar senang nak bayar hotel, tak perlu pakai wang tunai, guna kad kredit saja. Jalan jauh pun tak perlu bawa duit banyak. Tetapi perlu diingat, guna kad kredit hendaklah berpada-pada. Jangan asyik nak berbelanja saja. Cukup bulan teruk nak membayarnya. 

Takut duit gaji tak dapat nak menampung bayar kad kredit. Itu yang menyebabkan ramai di kalangan masyarakat kita diisytiharkan bankrap sebab tak bayar hutang kad kredit.

Bagi Mama, kalau rasa tidak mampu jangan guna kad kredit atau pun kalau nak guna hanya untuk perkara-perkara yang penting atau perlu sahaja.   Lebih baik bayar pakai wang tunai. Di sini barulah kita dapat menilai susahnya untuk mencari duit. Tapi sesetengah orang beranggapan, mereka yang tidak ada kad kredit tu, tak ikut peredaran zaman, tak nampak gah macam orang-orang kaya. Tak apa kalau ada orang yang kata begitu kerana yang nak membayar hutang tu kita dan yang menanggung beban tu pun kita juga. Jadi, beringatlah ye…






Pesan Mama Manis: Janganlah kita ketawakan orang  kerana suatu hari nanti orang pula ketawakan kita…    




Thursday, 28 April 2011

Guna Tangan Kiri Atau Tangan Kanan Tiada Bezanya



Masa kecil-kecil dulu mak selalu tegur kalau kita buat sesuatu guna tangan kiri. Terutama sekali bila kita mula mula belajar menulis baru lah emak perasan anaknya menulis guna tangan kiri. Kidal lah tu…. Emak suruh juga tulis guna tangan kanan. Walaupun pandai menulis guna tangan kanan tapi, buat kerja-kerja lain masih guna tangan kiri seperti membaling ketika bermain, memotong, mengambil makanan, menggunting dan sebagainya. Kalau dah dilahirkan kidal, kekuatan tu ada di tangan kiri. Kenapa mesti orang kata, “tak elok buat kerja guna tangan kiri, kena guna tangan kanan.”
 

Pendapat Mama lah, kalau anak-anak kita sejak dilahirkan kidal, biarlah, jangan dimarah atau dipaksa guna tangan kanan juga.   Kadangkala orang kidal ni ada kelebihannya. Bila dah besar, dua belah tangan kiri kanan boleh guna. Misalnya memotong, menggunting, menjahit boleh guna tangan kiri kanan. Apa pun, kita tetap bersyukur kerana Allah dah bagi kita cukup sifat. Guna tangan kiri atau kanan sama aje…..tak ada bezanya. Cuma kalau nak mencuci selepas buang air kenalah guna tangan kiri ye!..

Tangan  yang dikurniakan oleh Allah hendaklah digunakan untuk membuat kerja-kerja yang baik, berfaedah. Jangan gunakan tangan kita untuk kerja-kerja yang tidak baik seperti mencuri, memukul atau mencubit anak-anak kecil kita.



 








Pesan Mama Manis: Ingat tangan yang menghayun buaian suatu hari nanti boleh menggoncangkan dunia. Tak kira tangan kiri ke kanan ye.




Friday, 22 April 2011

Antara Makan Di Luar Dengan Masak Sendiri


Kalau cerita pasal makan, semua orang suka makanan yang sedap-sedap, tak kira sama ada  makan di luar, ‘beli bungkus’ untuk bawa balik atau masak sendiri. Pendapat orang memang berlainan.  Ada orang suka makan di luar terutamanya yang banyak duit tentu makan di restoran-restoran, tapi  kurang mampu sikit tu makanlah di warung-warung. Setengahnya memang malas masak atau pun tak pandai masak atau barang kali  si suami yang suka  ajak keluarga makan di luar. Ada juga yang pandai masak tapi  tak sempat nak masak  atau anak pula  suka makan di luar, terpaksalah ikut….

 Makan di luar ni belanjanya besar. Biasanya bagi suami isteri  yang bekerja, waktu malamlah mereka sekeluarga  keluar makan. Sekali makan  kadangkala  mencecah RM100 hingga RM200. Kalau tiap-tiap malam parah juga dibuatnya….

Tetapi ada juga yang suka ‘ beli bungkus’. Beli lauk,  masak nasi di rumah. Yang ini kurang sikit belanjanya.  Tapi beli lauk ni, ada kalanya  sedap, ada kalanya tak sedap.  Nasib tak baik  kena lauk basi !....

Sesetengah orang pula suka masak sendiri.  Cara ini  agak jimat, puas hati, sedap walaupun masak  ringkas sahaja.  Ada suami yang suka isterinya masak. Makan panas-panas , tambah selera tu….. Bukanlah bermakna  asyik masak aje di rumah, sesekali tu  beli bungkus atau  juga makan di luar.

Bagi Mama, tentunya suka masak sendiri di rumah. Lebih puas hati dan ikut cita rasa kita dan selera keluarga. Sebab tu  awal  pagi dah kena bangun,  buat sarapan pagi dan  masak lauk sekali gus untuk hidangan  tengah hari  keluarga  di rumah. Tak susah sangat pun. Yang penting seronok dan puas hati.








Pesan Mama Manis:  Masaklah makanan yang disukai   keluarga terutama suami dan anak-anak dengan  rasa seronok dan ikhlas. Baru ada kepuasan.

Wednesday, 20 April 2011

Berbelanja Ikut Kemampuan


Semua orang  mahu hidup senang. Ada rumah besar, kereta besar, perabot yang mahal-mahal, alat perhiasan rumah  yang mewah, pakaian yang cantik dan  macam-macam lagi. Tetapi adakah kita mampu menperolehi semua kemewahan tersebut?  Itulah sebabnya kita kena lihat diri kita, sekeliling kita, jangan suka  irihati... Berbelanjalah ikut kemampuan kita. Gaji yang kita  dapat perlu utamakan dulu  untuk perkara-perkara yang lebih berfaedah seperti perbelanjaan pelajaran anak-anak ataupun disimpan untuk kegunaan kita apabila kita susah. Kalau ada lebih barulah boleh berbelanja setakat yang termampu.
Tidak dinafikan ada di kalangan sesetengah masyarakat kita  yang suka berlumba-lumba atau  menunjuk-nunjuk hingga sanggup bergolok gadai dan berhutang untuk semua itu. Kalau kawan atau jiran  beli kereta baru, mulalah sibuk nak tukar kereta baru. Yang wanita pula, kalau kawan pakai barang kemas atau berlian, dia pun nak  juga. Kadang kala tu paksa suami suruh beli atau sanggup berhutang hingga tak mampu bayar. Bukanlah  tidak boleh berbelanja tu, tetapi berpada-padalah ye…
 Mama harap  kita jauhi sikap seperti itu. Kalau kita mampu sekalipun, biarlah sederhana.  Kesederhanaan itu  kan  sifat yang mulia.  Hati kita senang, hidup pun aman damai, tak dikelilingi hutang piutang…

 







Pesan Mama Manis: Biarlah kita ukur baju  di diri kita sendiri.  Jangan ukur di baju orang lain….

Monday, 18 April 2011

Jangan Abaikan Orang Sakit


 Semua orang   pasti pernah mengalami sakit. Paling tidak pun kena demam, batuk atau selsema. Tetapi sakit seperti ini hanya dua hingga tiga hari, paling lama seminggu.  Dugaan yang paling besar apabila kita atau kalangan keluarga kita yang mengalami sakit teruk, berpanjangan kadangkala keluar masuk hospital seperti sakit jantung, kencing manis, darah tinggi juga sakit  ‘yang tak nampak’ melibatkan emosi, perasaan takut, tidak boleh tidur malam  yang orang kata ‘kena gangguan’.

Kalau ayah, ibu, anak atau suami kita kena sakit yang sebegitu, kita kena sabar, layan, bantu sebaik-baik dan seikhlasnya. Maklumlah orang sakit macam-macam kerenah, kadangkala marah-marah, merungut dan tak mahu makan. Kalau si anak kecil asyik menangis sahaja.  Di sinilah Allah nak uji kita sama ada kita sabar atau tidak.

Mama harap sesiapa jua  yang pernah mengalaminya janganlah rasa itu suatu bebanan tetapi anggaplah ia merupakan ujian Allah dan ada hikmah di sebalik nya. Kalau kita ikhlas adalah ganjarannya kelak.


 








Pesan Mama Manis:  Kalau kita  bantu orang  sakit sama ada keluarga atau tidak, suatu hari orang akan bantu kita jika kita menghadapi situasi sedemikian. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Friday, 1 April 2011

Beratnya Tanggungjawab Wanita Bekerja




Wanita  yang bekerja biasanya mula sibuk sejak bangun tidur lagi.  Apa tah lagi jika sudah berkeluarga, ada anak kecil  dan tidak mempunyai pembantu rumah. Se awal pagi dah kena  siapkan keperluan anak untuk dihantar ke  rumah jiran atau Taski. Yang rajin tu  buat sarapan untuk suami. Itu pun kalau nak jadi isteri solehah.  Lepas tu kelam kabut ke pejabat, nak kejar punch card supaya jangan merah. Yalah, peraturan pejabat juga perlu dipatuhi.  Di pejabat biasalah dengan kesibukan kerja-kerja pejabat. Bila petang mulalah bekerja nak ambil anak. Selagi belum tidur  pada malamnya ada saja kerja yang nak dibuatnya,  menyiapkan makan malam, membasuh kain dan sebagainya.

Bagi Mama Manis, itulah rutin kehidupan kita sebagai wanita yang bekerja. Walaupun tanggungjawab tersebut adalah berat, tetapi kita kena ikhlas, gembira, jangan merungut, bertolak ansur dengan keluarga  terutama  dengan suami dan anak-anak.  Barulah mencerminkan keluarga bahagia.  Mempunyai anak-anak yang soleh, taat dan  cemerlang dalam pelajaran, pastinya  datang  dari keluarga yang bahagia dan didikan kita sendiri.





Pesan Mama Manis: Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jadi untuk  mendidik anak biarlah  sejak anak itu kecil dan masih bayi lagi.  

Thursday, 3 March 2011

Keluarga Bahagia



Alangkah bahagianya hidup berkeluarga. Ada suami ada anak yang sama-sama dapat mengharungi suka duka, pahit manis kehidupan dan sentiasa memahami antara satu sama lain. Kasih sayang adalah yang paling penting dalam sebuah keluarga bahagia. Kalau kita berharta tetapi tiada ada kasih sayang, hidup kita tidak akan sempurna . Oleh itu pupuk ah semangat sayangkan keluarga agar anak-anak kita menjadi anak yang taat pada suruhan Allah, taat kepada ibu bapa dan menjadi insan yang cemerlang.

Kita juga kena redha dengan ketentuan Allah. Ada kalanya tadi diduga, kesihatan tidak menentu, tapi kita kena bersyukur. Apa pun, jadikan hidup ini ceria dan manis..selalu.


 



Pesan Mama Manis: jaga kesihatan,
jangan minum air terlalu manis nanti kencing manis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...