Followers

Showing posts with label Gegirl. Show all posts
Showing posts with label Gegirl. Show all posts

Wednesday, 28 August 2013

Merdeka dan Perpaduan

Malaysia akan menyambut 56 tahun kemerdekaan kurang dari tiga hari lagi!! :) Pelbagai acara dan aktiviti yang direncana bagi menyemarakkan lagi suasana sambutan bulan kemerdekaan ini. Mungkin ramai yang sudah terlupa sejarah kemerdekaan kita, jom GEGIRL sorotkan secara ringkas…

Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan secara rasmi tepat jam 9.30 pagi pada 31 Ogos 1957.
Upacara Pemasyhuran Kemerdekaan ini berlangsung di Stadium Merdeka dengan disaksikan lebih 20,000 orang termasuklah Raja-Raja Melayu, tetamu-tetamu khas dari luar negara, anggota-anggota kabinet Kerajaan Persekutuan dan rakyat jelata. 
Pada upacara bersejarah ini wakil Queen Elizabeth II, Duke of Gloucester menyerahkan Watikah Perlembagaan kepada Perdana Menteri menandakan berakhirnya naungan British ke atas Tanah Melayu. 
Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dibacakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra.  Selesai pengisytiharan dibaca, Tunku Abdul Rahman Putra melaungkan ‘MERDEKA’ sebanyak tujuh kali dan disambut oleh ribuan rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka. 
Upacara ini kemudiannya disusuli dengan seruan azan yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara yang baru merdeka, diikuti dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi dengan lagu kebangsaan ‘Negaraku’. 
Sebanyak 101 das tembakan meriam dilepaskan menandakan Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.




                                                                   Sumber: Portal Rasmi Arkib Negara Malaysia



GEGIRL: Kemerdekaan perlu disemat dan disemai sebati di dalam jiwa agar minda kita tidak mudah dijajah dan negara kita tidak tergadai.. :)

Thursday, 4 August 2011

Jalan-jalan Di Bazar Ramadhan


 
♪♫♪♫Tanggal tiga puluh satu,
Bulan lapan lima puluh tujuh,
Hari yang mulia, Hari bahagia
Sambut dengan jiwa yang Merdeka
♪♫♪♫

Assalamualaikum… bila berkumandang lagu Tanggal 31 dendangan arwah  Sudirman, pasti kita akan sama-sama menyanyikannya dengan semangat berkobar-kobar. Oleh itu, mari kita kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga di premis-premis dan kenderaan kita, bukan hanya sempena Kempen Kibarkan Jalur Gemilang tetapi disebabkan kita adalah rakyat Malaysia!! Bangga menjadi rakyat Malaysia..

Dalam kemeriahan sambutan bulan kemerdekaan, bulan Ogos pada tahun ini juga kita menjalani ibadah puasa 1432 Hijrah. Selamat berpuasa GEGIRL ucapkan dan semoga Ramadhan pada tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang lepas…Walaupun berpuasa, GEGIRL tetap meneruskan program Jalan-jalan Cari Makan ini…nak tau di mana??

Ha, baru sehari kita berpuasa GEGIRL telah berkesempatan ‘menziarah’ Bazar Ramadhan Setiawangsa. Bazar pertama dalam bulan puasa pada tahun ini. Apa kelainan bazar ini? Sibuk berjalan sambil berhimpit-himpit dengan umat manusia yang lain, GEGIRL tertarik kepada juadah NASI KUKUS AYAM GOLEK BEREMPAH. Terliur GEGIRL tengok ayam segar diperap dengan rempah ratus, dibakar bergolek-golek(berpusing-pusing), sebab itu namanya ayam golek ya.

Aromanya dapat dihidu dari awal masuk ke bazar..:) Ayam ini akan diperap bersama-sama dengan rempah ratus yang telah dikisar seperti lada hitam, jintan manis, jintan putih, ketumbar, bawang merah dan bawang putih. Ada juga yang mencampurkan serbuk kari sebagai penambah rasa. Kemudian, ayam akan diperap seterusnya baru dibakar. 

 
Bulan puasa, air yang pasti tidak akan GEGIRL buang daripada ‘senarai kemestian membeli’ ialah AIR TEBU. Bukan air tebu kordial ya, yang asli.

 







GEGIRL : Nantikan bazar seterusnya yang dilawat oleh GEGIRL ya.. macam YB pulak..


Monday, 18 July 2011

Makan Nasi Dalam Satu Talam??


GEGIRL kembali…maaf lama sangat menyepikan diri. Johor Darul Takzim kaya dengan tempat-tempat menarik dan kepelbagaian makanannya. Sebelum menjamu selera, GEGIRL mengambil peluang menghayati keindahan flora dan fauna di Taman Negara Endau-Rompin, Taman Negara Gunung Ledang, Taman Negara Tanjung Piai- merupakan tanah paling selatan di benua  Asia, Taman Negara Pulau Kukup, Taman Negara Johor Kepulauan Mersing, Gunung Ledang, Pantai Desaru dan Danga Bay. Cantik kan nikmat alam? Oleh itu, kita sebagai ‘penjaga’ perlu memastikan alam ini sentiasa bersih agar dapat mewariskannya kepada anak-cucu kita… ingat, alam bukanlah milik kita tetapi dipinjamkan sebentar kepada kita..


Makan nasi dalam satu talam? Biar betul… makan beradab pun tak kongsi pinggan kan? Inilah bezanya makanan yang GEGIRL ingin kongsikan pada kali ini. 'NASI AMBENG' ini biasanya dihidangkan semasa kenduri. Waktu makan, para jemputan hanya jamah sedikit sahaja, kemudiannya akan membungkus untuk dibawa pulang. Tuan rumah akan menyediakan daun pisang, kertas surat khabar dan tali setiap seorang. Dalam satu talam, hidangan dibahagi kepada 4 bahagian.

 

Kebiasaannya Nasi Ambeng ini adalah nasi putih dan lauknya pula mesti ayam masak kicap, sambal goreng, serunding kelapa, mi/bihun goreng dan ikan kering bulu ayam. Namun, pada masa kini ada juga yang menggantikan ayam masak kicap dengan ayam masak rendang. Sedap juga!

 






GEGIRL: Nasi Ambeng ini dimakan dalam satu talam tujuannya nak eratkan ikatan silaturahim sesama kita..x percaya? Cubalah! 

Friday, 15 July 2011

Mee Ke Mi?



GEGIRL masih di JOHOR. Makanan yang dipilih pada kali ini berasaskan mi. MI tau, bukan MEE mengikut ejaan di Kamus Dewan Edisi Ke-empat.

Mi apa ya yang menarik di sekitar Johor? Pasti kotak fikiran kita terus berkata Laksa Johor, Mi Bandung dan juga Mi Rebus kan? Namun, pada kali ini GEGIRL hanya akan berkongsi masakan Laksa Johor dan Mi bandung ya. Setiap negeri di Malaysia mempunyai laksanya yang tersendiri. Jika Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis berbangga dengan Laksa Utara, Kelantan dan Terengganu bangga bersama laksamnya, Sarawak dengan Laksa Sarawaknya. Johor juga tidak ketinggalan, gah berdiri bersama Laksa Johornya.


Laksa Johor berasaskan spaghetti dan kuahnya adalah daripada isi ikan yang dicampur dengan santan dan ditumis dengan pelbagai rempah termasuk rempah kari. Laksa Johor dihidang bersama ulam-ulaman seperti bawang, kacang panjang, daun kesum, timun dan juga nanas. Selain itu, sambal belacan sebagai penambah rasa. Sekarang, banyak dijual perencah segera yang memudahkan GEGIRL dan wanita-wanita berkerjaya untuk memasak untuk diri sendiri, rakan-rakan dan keluarga. Betul tak?


Mi Bandung adalah satu masakan dan makanan tradisional yang terkenal yang berasal dari Muar, Johor. Perkataan 'bandung' bererti 'berganda' atau 'berkembar' atau 'berpasangan' di mana sesuatu bergandingan atau bercampuran dengan sesuatu yang lain. Umpamanya seperti 'Sirap Bandung' di mana susu dicampurkan dengan sirap ataupun 'Rumah Berbandung' untuk rumah berkembar (semi-D). Manakala Mi Bandung pula, merupakan gandingan mi dan telur sahaja pada ketika dahulu disebabkan itulah ia digelar Mi Bandung. Namun, kini Mi Bandung mengalami transformasinya apabila kini ditambah dengan bahan tambahan seperti udang, daging, kuih ikan dan sayuran.







GEGIRL: habis diet seimbang GEGIRL..hi

Friday, 17 June 2011

Jalan-Jalan Cari Makan Di Selatan…


Selamat bertemu kembali…Tiba-tiba teringat salah kumpulan JOZAN menggunakan nama GEGIRL dalam persembahan mereka. He. Tapi, GEGIRL bukan ingin berkongsi mengenai lawak mereka. Pada kali ini, GEGIRL jalan-jalan cari makan ke selatan tanah air pula, negeri Johor Darul Takzim menjadi destinasi pilihan GEGIRL. Makanan apa pula ya, ingin dikongsi bersama?

 

Ingat Johor, pasti tidak akan lari daripada makanan trademark, apalagi kalau bukan Nasi Beriani Gam. Nasi Beriani Gam dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu oleh pedagang-pedagang Arab melalui Singapura. Nasi beriani dimasak menggunakan beras panjang bersama rempah ratus yang digoreng sebelum ditanak berasnya. Nasi beriani asal usulnya dari perkataan Parsi 'baria' bermaksud memasak atau merebus makanan. Masakan ini dikatakan berkembang dari Parsi ke Timur Tengah dan mendapat tempat istimewa di India oleh kerajaan Mogul.

Masakan ini istimewa kerana di masak dengan memasukkan ketulan daging yang telah diperap semalaman di dalam periuk bersama 'lapisan' beras. Hasilnya, nasi beriani gam berasa herba rempah, berpati lemak dan 'manis' daging. Nasi briyani gam ayam atau kambing akan dihidang bersama-sama dengan dalca dan jelatah. Tidak dilupakan pasti ada ialah papadomnya. Lagi terangkat, apabila air minuman kita ialah bandung soda.

Nasi beriani gam ini lebih enak dimakan panas-panas, oleh itu makanlah di gerai atau restoran tersebut. Selain dapat mengurangkan penggunaan beg plastik dan bekas polistirena yang membahayakan alam dan boleh mengakibatkan pemanasan global, kita juga dapat menikmati 100% keenakan masakan ini tanpa sedikit pun kurang kualitinya.

 






GEGIRL : GEGIRL menyokong TEKNOLOGI HIJAU dan marilah kita mengurangkan faktor-faktor yang boleh mengakibatkan pemanasan global. Bumi dipinjamkan kepada kita untuk kegunaan warisan seterusnya..:)

Wednesday, 25 May 2011

Mari Make....Kuih Muih Kelate..



♪♫♪♫ makanan pelik-pelik, tahi minyak tahi itik ♪♫♪♫
♪♫♪♫supir mandi badak berendam♪♫♪♫

Lirik lagu ‘Makan’ nyanyian Jalil Hamid ini memang sesuai dengan topik GEGIRL kali ini. GEGIRL masih jalan-jalan cari makan di Kelantan. Kali ini GEGIRL akan berkongsi kuih yang tidak kurang unik namanya iaitu kuih butir nangka dan kuih tahi itik. Unik dan pelik kan namanya?

Kuih butir nangka digelar sedemikian kerana bentuknya yang bulat dan saiznya seperti butir buah nangka. Ia sejenis kuih yang dibuat menggunakan beras pulut, santan dan gula melaka. Secara tradisional, daun pandan dikisar bagi menghasilkan pewarna hijau, tetapi masa kini terdapat kuih butir nangka yang dicampur pewarna merah dan lain-lain agar tampak lebih menarik lagi. Tapi, jangan tersalah antara kuih butir nangka dan kuih puteri mandi ya.


Ha! nama Kuih tahi itik ini membuatkan GEGIRL terpaku sebentar. Terkejut pun ada sebenarnya bila dengar nama kuih ini. Kuih tahi itik ini disediakan dengan menggunakan putih telur yang telah diasingkan dari kuning telur. Selepas itu putih telur yang telah diasingkan itu akan disira dan dimasak dalam air gula pekat dengan dituang sedikit demi sedikit bagi menghasilkan bentuk akhir. Biasanya kuih tahi itik tidak dibentuk dalam bentuk tertentu kerana ia dibentuk bertempek-tempek seperti tahi itik, oleh itu kita boleh mengolahnya mengikut cita rasa kita sendiri.

 







GEGIRL : Kurangkan manis dalam makanan, tambahkan manis dalam senyuman.. 





Wednesday, 11 May 2011

Mari Make..Kuih Muih Kelate..

GEGIRL loni dok cari make di Kelate lagi. Di Kelantan pelbagai kuih muih yang namanya unik dan pelik boleh ditemui di sini namun makanan di Kelantan dan Terengganu tiada perbezaan yang nyata. Seperti yang diketahui kebanyakan kuih muih dan masakan di Kelantan rasanya manis seperti mana tiga jenis kuih ini iaitu akok, suna dan jala mas.

Terdapat beberapa jenis kuih akok yang biasanya dibuat berbentuk bujur, ikut acuan buah ulu dan akok bunga atau dikenali juga akok Kemboja. Akok rasanya manis bertelor. Pada kebiasaannya akok nisan bewarna gelap, sementara akok daun pandan dan akok Kemboja bewarna hijau pucat. Kuih akok menjadi pencuci mulut wajib di setiap bazar Ramadhan bukan hanya di Kelantan tetapi di seluruh Malaysia.

Kuih jala mas merupakan sejenis hidangan kuih tradisional Melayu yang lemak manis yang dihasilkan dengan menggunakan kuning telur yang dimasak dalam air gula, sama seperti kuih mas sejemput, tetapi mempunyai cara penyediaan dan rupa yang berbeza. Kuih jala mas disediakan dengan kuning telur yang diurai ke dalam air gula yang menggelegak. Selepas beberapa lama apabila masak, adunan itu diangkat dan kemudiannya ditompokkan pada bahagian kecil atau juga boleh diletak begitu sahaja dalam bekas. Kuih jala mas mempunyai bentuk yang berjurai seperti mi halus. Ia biasanya hanya disediakan untuk perayaan istimewa seperti peminangan dan perkahwinan. 


Kuih ini dibungkus dengan daun pisang ini dan berbentuk kon dipanggil kuih suna loghat orang Kelantan untuk serunai. Dipanggil kuih suna kerana bentuknya seperti serunai. Kuih ini terbahagi kepada dua iaitu bahagian bawah merupakan adunan tepung beras, manisan, air dan garam. Manakala bahagian atas pula merupakan krim santan yang dibubuh sedikit garam. 












GEGIRL : Banyak lagi makanan tradisi yang GEGIRL  tak pernah tau dan rasa..asyik sangat dengan makanan segera…marilah bersama-sama bangunkan makanan tradisi ini!  

Thursday, 14 April 2011

Mari Make..mace-mace jenis nasi ado di Kelate..



Jalan-jalan cari makan a.k.a jalan-jalan memenuhkan perut GEGIRL diteruskan ke Negeri Cik Siti Wan Kembang iaitu Kelantan. Seperti yang sedia maklum, Kelantan bukan sahaja terkenal dengan keunikan budayanya tetapi juga kepelbagaian makanannya. Namun pada kali ini, GEGIRL hanya  berkongsi hidangan yang berasaskan nasi.

Nasi biru atau nasi kerabu adalah makanan yang popular bukan hanya di negeri Pantai Timur ini, tetapi juga seluruh Malaysia. Nasi kerabu dihidangkan dengan pelbagai ulam seperti daun salom, daun kesum, bunga kantan, kacang panjang  dan tauge. Lebih umpphh lagi, dihidangkan bersama dengan budu sama ada mentah atau dimasak. Daging bakar, ikan goreng tepung, telur masin dan tentunya solok lada penambah rasa pada masakan ini.

Nama masakan di Kelantan juga unik seperti nama nasi ini, iaitu nasi tumpang yang berbentuk kon seperti roti tisu yang boleh didapati di kedai mamak. Nasinya mampat seperti nasi kapit. Lauknya diletak pada tapak (base) kon. Nasi yang digunakan agak lembik dan dibungkus bersama dengan lauk-pauk seperti ikan, udang, telur dadar dan sambal. Pada masa dahulu nasi tumpang ini disediakan sebagai bekalan kepada nelayan yang akan turun ke laut.

Setakat dua dulu masakan yang akan GEGIRL kongsi bersama pembaca, kita jumpa lagi dalam keluaran yang akan datang.







GEGIRL : Terima kasih tidak terhingga kepada Siti Dewi yang banyak berkongsi makanan tradisi negeri Kelate.

Thursday, 24 March 2011

Moh Kita Makan?

♫♪♫Ooo kome dorian dah berbunga,
Moh kita pinang anak dara… ♫♪♫

Lirik lagu dendangan Os di atas memang sesuai dengan topik Gegirl pada kali ini. Masih di Perak, kali ini Gegirl akan berkongsi mengenai keenakan tempoyak terutama sekali sekarang musim durian sudah bermula. Tempoyak bukan hanya popular di Perak tetapi juga di Pahang, namun Gegirl akan berkongsi dulu masakan di Perak Darul Ridzuan ini.

Tempoyak diperbuat daripada isi durian. Isi durian ini diasingkan daripada bijinya dan disimpan di dalam bekas tertutup untuk beberapa hari sebelum dimakan. Bagi anda yang tidak biasa dengan tempoyak atau tidak sukakannya mungkin tidak dapat membayangkan bagaimana sedap dan keenakan tempoyak yang bukan sahaja boleh dimakan begitu sahaja tetapi juga bila ia dimasak gulai. 

Di Perak, ada yang menggantikan sambal belacan dengan sambal tempoyak. Caranya mudah, cili api atau cili merah ditumbuk dan digaulkan bersama tempoyak. Boleh dimakan bersama dengan ulam-ulaman seperti daun selom, ulam raja, petai, jering mahupun timun. Selain itu, tempoyak juga enak dimasak bersama sambal ikan bilis, gulai lemak tempoyak dengan pucuk ubi, dan juga gulai tempoyak ikan terubuk. Kebiasaannya, timun ladang iaitu sejenis timun besar berkulit coklat muda dicampur ke dalam gulai. Gulai pula dimasak di dalam periuk tanah supaya rasanya lebih asli.




GEGIRL : Makan sampai mak mertua lalu pun kita 
tak akan perasan bila melayan keenakan gulai tempoyak..:)


Wednesday, 9 March 2011

Moh Kite Makan?

Setiap negeri di Malaysia mempunyai makanan tradisionalnya sendiri. Kali ini, Gegirl memilih negeri yang terkenal bukan setakat kehalusan pembuatan Labu Sayongnya, tetapi juga terkenal dengan pelbagai makanan tradisi. Gegirl telah menjelajah ke Negeri Perak dan pada kali ini, makanan tradisi yang dipilih ialah Rendang Tok

Hidangan ini dikatakan dibawa secara turun temurun sejak zaman dahulu dan merupakan masakan istana. Ia merupakan hidangan Melayu tradisional yang mempunyai cita rasa dan kelazatan yang tersendiri tanpa dicampur bahan pengawet dan perasa tiruan. Masakan Rendang Tok ini lebih sedap jika disediakan menggunakan cara tradisional iaitu di atas dapur kayu. Baru ‘rasa’ keinginan untuk merasai hidangan meluap-luap!


 



GEGIRL : Makan untuk hidup..bukan hidup untuk makan.:)  Selamat mencuba & menjamu selera..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...