Followers

Showing posts with label Cikgu Bedah. Show all posts
Showing posts with label Cikgu Bedah. Show all posts

Thursday, 15 August 2013

BERSAMA SEMARAKKAN KIBAR JALUR GEMILANG

Sempena menyambut hari kemerdekaan yang sudah tidak lama lagi, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah mempunyai semangat kebangsaan dan patriotik terhadap cintakan negara. Pelbagai program yang dirangka oleh pihak kerajaan antaranya program Kibar Jalur Gemilang yang diadakan di Dataran Zero, Sungai Petani, Kedah pada 16 Ogos 2013 dilihat satu usaha murni untuk menerapkan semangat cintakan negara sempena program tersebut.

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu ada semangat cintakan negara kerana dengan penghayatan yang tinggi oleh segenap lapisan masyarakat akan membawa kita kepada perjuangan pemimpin yang terdahulu dalam mencapai kemerdekaan Malaysia. Justeru itu, kita akan menjadi rakyat atau individu yang hormat kepada pemimpin dan menghargai jasa dan pengorbanan yang telah disumbangkan sehingga apa yang ada pada hari ini dapat kita kecapi iaitu nikmat keamanan dan kestabilan politik.

Setiap tahun kerajaan akan memberikan slogan sempena menyambut hari kemerdekaan. Bagi tahun 2013  slogannya ialah Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku. Maksud slogan ini perlulah dilihat dari perspektif yang positif di mana kita sebagai rakyat Malaysia perlu bersatu hati walau berbeza fahaman politik dan agama, namun, demi mengekalkan kedaulatan negara kita sanggup berkorban nyawa mempertahankannya.

Tujuan slogan ini bertujuan mengembalikan semangat patriotisme rakyat Malaysia agar cintakan tanah air dan keamanan negara selain mempertahankan negara daripada campur tangan anasir-anasir luar.

Kemerdekaan ini mempunyai makna yang sangat besar yang harus di fahami, dihayati dan dikenang dalam diri setiap rakyat negara ini supaya semangat cintakan negara dan bangga sebagai rakyat Malaysia ini hadir dan dapat ditonjolkan  imej patriotik tersebut. Dalam bulan kemerdekaan ini, setiap rakyat haruslah mengibarkan Jalur Gemilang iatu Bendera Malaysia sebagai simbolik terhadap penghormatan hari Kemerdekaan negara.

Oleh demikian,kita sebagai rakyat Malaysia yang bijak dan mampu berfikir dengan baik perlu menerapkan nilai patriotik dan semangat kebangsaan cintakan tanah air ini sebagai perkara asas dalam hidup sebagai rakyat Malaysia. Justeru ini marilah kita sama-sama menyemarakkan sambutan hari kemerdekaan yang ke-56 bagi Malaysia supaya apa yang telah kita kecapi hari ini dapat dikekalkan demi kelangsungan generasi akan datang.



Tuesday, 11 December 2012

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia


Assalammualaikum semua.



Lama benar Cikgu Bedah tak menulis di ruangan blog Rakan 1KLIK ini. Selamat bersua kembali. MAklum sahajalah hujung-hujung tahun , banyak urusan yang perlu diselesaikan sebelum menjelmanya tahun baru. Tapi, Cikgu Bedah tak lupa juga melihat perkembangan semasa yang berlaku di negara kita lebih-lebih lagi berkenaan pendidikan negara.

Baru-baru ini, pada 11 September 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.
          
Cikgu Bedah nak berkongsi lah sedikit perkara yang dipaparkan dalam Pelan ini.

Laporan awal pelan itu yang memaparkan visi sistem pendidikan dan pelajar yang Malaysia perlu dan berhak miliki, memperincikan anjakan yang diperlukan untuk mencapai objektif tersebut.

Menurut dokumen itu, Kementerian Pelajaran berharap usaha tersebut akan memperjelaskan kepada masyarakat usaha mengubah sistem pendidikan negara dan akan mendapatkan maklum balas daripada komuniti mengenai laporan awal berkenaan sebelum pelan dimuktamadkan pada Disember ini.

Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksana dalam tempoh 13 tahun dengan Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha memperbaiki sistem dengan memberi sokongan guru dan tumpuan kepada kemahiran asas; Gelombang 2 (2016-2020) pula mempercepatkan penambahbaikan sistem; dan Gelombang 3 (2021-2025) ke arah kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel.

Pelan itu menyasarkan hasil pada lima aspek iaitu akses, kualiti, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan. 

Pelan turut menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.

Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:

1. Menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard
antarabangsa;

2. Memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris;

3. Membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni;

4. Menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan;

5. Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah;

6. Memperkasakan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan
sekolah untuk menyelesaikan isu mengikut keperluan;

7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat untuk meningkatkan kualiti
pembelajaran di seluruh Malaysia;

8. Menambah baik keupayaan penyampaian dan kapasiti kementerian;

9. Bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta; 

10. Memaksimumkan kemenjadian pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanja;

11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban umum.

Laporan itu juga menyatakan Kementerian Pelajaran melancarkan semakan menyeluruh sistem pendidikan pada Oktober 2011 bagi membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan baharu tersebut.

Menurut laporan itu, keputusan tersebut dibuat dalam konteks peningkatan standard pendidikan antarabangsa, aspirasi kerajaan untuk mempersiapkan kanak-kanak di Malaysia dalam menghadapi abad ke-21 serta harapan menggunung masyarakat serta ibu bapa terhadap dasar pendidikan.

Dalam tempoh setahun, lebih 50,000 pegawai kementerian, guru, pengetua, ibu bapa, pelajar dan orang ramai dilibatkan dalam pelbagai bentuk perbincangan. Kementerian juga melantik panel 12 pakar tempatan dan sebuah panel empat pakar antarabangsa bagi memberi input mengenai hasil semakan.






Cikgu Bedah: Nak tahu lebih lanjt, jangan lupa muat turun pdf Pelan ini.   






Thursday, 30 August 2012

Hayati Kemerdekaan, Jadikannya Ia Kekal

Salam 1Malaysia,

Lama sudah Cikgu Bedah tak menulis di blog ini,kan. Rasanya masih belum terlambat Cikgu Bedah nak ucapkan Selamat hari raya maaf zahir batin kepada semua pembaca setia blog ini. Tup tap tup tap..tak sangka dah nak sambut Hari Kemerdekaan negara pula,kan. Esok dah 31 Ogos. Esok, genaplah 55 tahun negara kita merdeka. Jadi, Cikgu Bedah nak ceritalah sikit tentang penghayatan kemerdekaan ni terutama kepada para pendidik dan pelajar.

Cikgu Bedah nak sangat para pelajar menghayati dan memahami erti kemerdekaan dengan penuh keinsafan agar mereka mampu menggalas tanggungjawab dalam menjadikan kemerdekaan milik selama-lamanya.

Bukan sahaja para pelajar, warga pendidik juga perlu bersatu hati serta berusaha mengekalkan kemerdekaan demi kemakmuran dan kegemilangan negara, tanpa mengira kaum dan warna kulit dan dengan semangat perpaduan jitu.Kita perlu tahu, perjuangan dan pengorbanan tokoh serta pemimpin terdahulu seperti Panglima Rentap, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan wajar dihargai dan dihayati.

Sumber gambar: iiumfm.blogspot.com

Jadi, keberanian dan kecekalan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan itu wajar dihayati dan dihargai kerana sifat kepahlawanan mereka telah membawa kebebasan hari ini untuk mencorakkan masa depan negara tercinta. Warga pendidik dan para pelajar harus bersyukur kerana negara tidak lagi dijajah sebagaimana dahulu dan berupaya menentukan pentadbiran negara sendiri.

Cikgu Bedah amat mengharapkan agar murid-murid selaku bakal pemimpin di masa hadapan dapat terus bersatu padu demi menjaga warisan kemerdekaan negara ini.

Selain itu, gagasan 1Malaysia yang digerakkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan satu usaha bersepadu bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan latar belakang.

Sejarah telah membuktikan bahawa perpaduan amat penting dalam usaha mengekalkan keamanan kerana apabila tidak ada semangat bersatu padu, bukan sahaja negara, bahkan tamadun hebat turut musnah sebagaimana terjadi kepada tamadun Islam Uthmaniah di Turki dan Dinasti Ming di China.

Cikgu Bedah berharap sangat, kita semua bersama-sama bergabung tenaga dan bersatu  hati mempertahankan kedaulatan tanah air kita ini dengan sebaik mungkin agar anak-anak dan generasi seterusnya akan turut dapat mengecapi kebebasan seperti mana yang kita miliki sekarang.

Sempena esok sambutan kemerdekaan negara, Cikgu Bedah nak ingatkan dan jemput juga rakan-rakan hadir ke Dataran Merdeka di sebelah pagi untuk sama-sama melihat sambutan kemerdekaan negara secara dekat dan di Stadium Bukit Jalil pula di sebelah petang.

Cikgu Bedah dah dapat poskad cabutan bertuah sempena sambutan di Bukit Jalil tu. Manalah tahu, untung adan, dapat bawa balik kereta ataupun tiket percutian ke,kan. Kalau tak dapat pun ipad dan telefon bimbit pun syok juga. Berharap benar Cikgu Bedah ni. hahaha. Apa pun kita gegarkan Stadium Bukit Jalil malam esok dan datang dengan semangat patriotik tanda sayangkan negara. Bawalah kaum keluarga juga,ya. Pasti meriah!




Cikgu Bedah: Pertahankanlah kemerdekaan yang kita telah nikmati 55 tahun ini. Jangan lupa temu janji kita di Stadium Bukit Jalil. Jumpa anda di sana!!

Tuesday, 24 July 2012

Jangan Salah Langkah Urus Pendidikan

Salam 1Malaysia,

sumber: sayacomel.com


Lama Cikgu Bedah tak menulis. Maklumlah sibuk semenjak dua menjak ni. Tapi, Cikgu Bedah tak lupa nak post artikel bila terbaca artikel-artikel ‘hot’ di media berkaitan isu pendidikan negara ni. Salah satunya, Cikgu Bedah nak kongsi dengan anda semua hari ini ialah Pengumuman Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai rancangan ‘merombak secara besar-besaran Dasar Pendidikan Negara’ dan saranan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB). Bagi Cikgu Bedah, saya setuju dengan penulisan penulis ini yang dikeluarkan dalam Berita Harian 24 Julai 2012. Mungkin anda juga setuju dengan Cikgu Bedah? Boleh lah share atau komen-komen yang membina untuk kebaikan kita bersama. Cikgu Bedah postkan artikel yang dibaca tu, untuk tatapan semua.


Artikel ini dipetik dari Berita Harian:

Pengumuman Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai rancangan ‘merombak secara besar-besaran Dasar Pendidikan Negara’ dan saranan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) supaya sekolah diberikan kuasa autonomi, mendorong saya menulis lagi mengenai isu pendidikan. Kedua-dua cadangan ini amat penting dan pasti akan banyak sekali mengubah sistem pendidikan kita yang sudah berjalan sejak Penyata Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960).

Persoalan yang timbul, apakah kesan kepada masa depan anak kita. Mereka akan jadi insan jenis apa dan apakah kesannya kepada cita-cita pembentukan satu bangsa Malaysia?

Di samping transformasi politik, pendidikanlah yang akan menentukan wajah, semangat dan sikap generasi akan datang. Inilah cabaran paling utama terhadap Dasar dan Sistem Pendidikan Negara kita.

Untuk menangani tuntutan parti politik, pertubuhan kaum dan juga perubahan sosial-politik-ekonomi, sistem pendidikan kita sudah mengalami banyak sekali perubahan yang positif dan juga negatif. Ada antara perubahan itu bertentangan dengan semangat dan matlamat yang termaktub dalam Penyata Razak dan tergelincir daripada landasan. Inilah sebabnya kita sudah gagal memenuhi hajat Tun Abdul Razak Hussein hendak meletakkan anak kita di bawah satu bumbung sekolah yang menggunakan bahasa pengantar Bahasa Melayu. Gagasan Sekolah Wawasan pun tak tercapai.

Menurut laporan akhbar: “Dasar Pendidikan Negara bakal dirombak semula mulai tahun depan bagi mewujudkan sistem lebih berkualiti serta mampu melahirkan modal insan yang dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi seiring dengan usaha ke arah menuju negara berpendapatan tinggi.”

Nyatalah matlamat Dasar dan Sistem Pendidikan kita yang baru, adalah untuk melahirkan rakyat yang dapat menyumbang kepada ‘perkembangan ekonomi’ supaya matlamat akhir ‘negara berpendapatan tinggi’ dapat dicapai.

Tidak ada matlamat untuk melahirkan warga negara yang menjunjung tinggi Perlembagaan dan Rukun Negara. Tiada juga matlamat untuk mewujudkan kestabilan sosial-politik dan ekonomi dan perpaduan nasional. Ini bermakna pendidikan kewarganegaraan tidak mendapat tempat dalam dasar dan sistem yang baru nanti. Kita tidak seharusnya terpengaruh kepada mentaliti komersial sehingga melihat insan sebagai ‘modal’ semata. Istilah dan konsep ‘modal’ adalah istilah komersial – bukan istilah pendidikan.

Ramai yang berpendapat, kita perlu menimbang semula cadangan ‘pelan pembangunan dan pelan strategik pendidikan’ yang akan ‘mengambil kira pandangan UNESCO, Bank Dunia, hasil kajian panel bebas dan panel antarabangsa yang dilantik’.

Baguskah pendapat Bank Dunia, panel bebas dan panel antarabangsa dibawa masuk untuk merumuskan dasar dan sistem pendidikan kita? Siapakah anggota panel bebas dan panel antarabangsa itu? Di manakah mereka berdiri?

Selepas 55 tahun merdeka dan dengan kemajuan yang disanjung oleh dunia, kita tentulah tidak kekurangan ahli dalam pelbagai bidang untuk menyusun suatu dasar dan sistem pendidikan yang wajar untuk kita sendiri. Hanya bangsa kita sendiri yang betul-betul tahu akan masalah dan keperluan kita dan dapat menghayati aspirasi Perlembagaan dan Rukun Negara kita. Jika bangsa kita tidak mampu bagaimana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) boleh diberikan status autonomi.

Guru sering merungut kerana tugas mereka bertambah-tambah, di samping tuntutan mengajar yang semakin rumit. Bayangkan apa yang akan terjadi apabila sekolah diberi kuasa dan tugas menguruskan kewangan dan bangunan. Apa pula yang dimaksudkan dengan tugas ‘memilih kemasukan pelajar’? Ditambah pula dengan tugas ‘mengurus sendiri disiplin dan kebajikan pelajar’. Inilah autonomi cadangan KGMBB.

Sekolah kita akan jadi seperti sebuah syarikat yang di dalamnya ada macam-macam pegawai dan fungsi. Akan jadi ‘sekolah swasta’ yang dibiayai oleh kerajaan. Mudah-mudahan kita tidak tersalah langkah.

Kita mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang meneruskan usaha ayahandanya mengangkat taraf hidup rakyat miskin tidak bertanah dan membawa FELDA ke persada dunia antarabangsa akan meneruskan semangat dan cita-cita ayahandanya yang tersurat dan tersirat dalam Penyata Razak.

– (Sebarang maklum balas amat dihargai penulis)









Cikgu Bedah: E-mel ke Anda boleh berkongsi pendapat di rencanabh@bharian.com.my 

Tuesday, 12 June 2012

Transformasi Teknik Dan Vokasional

Salam 1Malaysia semua.


Wah, lama betul Cikgu Bedah tak menulis di ruangan Rakan 1KLIK ni ya. Hari ni, Cikgu Bedah ada baca info ini, terus terfikir nak share dengan kawan-kawan semua. Mungkin ada yang dah tahu, tapi, apa yang Cikgu Bedah nak sentuh, usaha dan inisiatif kerajaan inilah yang berjaya membuatkan negara kita dipandang tinggi dalam bidang pendidikan negara. Transformasi sekolah teknik dan vokasional ni pula salah satu daripada cabang transformasi pendidikan negara yang Cikgu Bedah rasa satu pengiktirafan kepada semua sekolah ini agar pencapaian sekolah dan pelajarnya lebih cemerlang dan gemilang.

Cikgu Bedah pun turut tersenyum lebor, maklum la Cikgu Bedah sendiri pernah menuntut di Sekolah teknik di pantai timur tanah air. Dah banyak betul perubahan yang Cikgu Bedah lihat sekarang ni berbanding sewaktu Cikgu Bedah belajar di sana. Terima kepada kerajaan yang prihatin J
Ok la. Sedikit info yang Cikgu Bedah nak tuliskan berkaitan transformasi teknik dan vokasional.
  • Sekolah teknik dan vokasional di seluruh negara digantikan dengan kolej vokasional bukan sahaja dari segi nama malah turut melibatkan perubahan kurikulum, penilaian serta persijilan.
  • Transformasi ini melibatkan kurikulum teknik dan vokasional, tempoh pengajian, pengiktirafan persijilan, tenaga pengajar, infrastruktur dan yang paling utama penjenamaan semula sekolah-sekolah menengah vokasional kepada Kolej Vokasional.
  • BPTV menganjurkan Jelajah Kolej Vokasional 1Malaysia untuk mempromosi, menerangkan, membuat pameran, memberi taklimat dan apa jua yang berbentuk outreach kepada masyarakat serta golongan sasar bagi memberikan mereka input yang terkini, jelas dan tepat.
  • Konvoi melalui sembilan negeri bermula di Johor dan kemudiannya ke Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan berakhir semula di Johor.
  • Pendekatan yang dilakukan ini diharap dapat mencapai objektif utama program iaitu untuk menjadikan kolej vokasional sebagai pilihan utama para pelajar.






Cikgu Bedah: Diharap lepas ni, para pelajar menjadikan kolej vokasional sebagai pilihan utama anda. 

Tuesday, 20 September 2011

Tips-tip Cemerlang dalam Peperiksaan


Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia semua.

Baru-baru ni, peperiksaan UPSR baru je tamat. Cikgu Bedah ucapkan tahniah buat para pelajar yang dedikasi dan tekun menjawab soalan. Mudah-mudahan anda berjaya menjawab dengan betul.


Hari ni, Cikgu Bedah nak berkongsi dengan rakan-rakan beberapa tip dalam peperiksaan. Peperiksaan adalah ibarat satu medan peperangan untuk menguji kemampuan, strategi, ilmu pengetahuan dan ketangkasan yang dimiliki oleh seseorang calon. Bukan itu sahaja, ia juga menjadi kayu pengukur kepada kecemerlangan seseorang dalam bidang akademik yang diceburinya, tak kira di peringkat rendah atau universiti, malah di alam pekerjaan juga. 

Cikgu Bedah ingin berkongsi bersama rakan-rakan semua beberapa tips sebelum peperiksaan
  •  Niatkan dalam hati, aku duduki peperiksaan untuk mencari Redha Allah
  • Kenali kehendak peperiksaan dan dapatkan gambaran format kertas peperiksaan yang akan diduduki secara tepat dan spesifik. (sama ada ia berbentuk subjektif atau objektif, bilangan soalan, variasi soalan, bentuk-bentuk soalan (struktur, isi tempat kosong, atau sebagainya) yang akan dikemukakan nanti
  • Kelaskan peperiksaan berdasarkan kesusahan soalan yang akan dikemukakan
  • Sebaik-baiknya buat perancangan ulangkaji strategik sepanjang sesi pengajian dan beri  fokus pada subjek dalam lingkungan sebulan atau tiga minggu sebelum peperiksaan bermula.
  •  Setkan markah atau CGPA untuk sesuatu subjek yang hendak dicapai, letakkan markah setinggi yang boleh untuk semua subjek sebagai pendorong, contoh ; A untuk semua subjek/ CGP 4.0 untuk subjek2 di Universiti.
  • Lakarkan dan tulis matlamat yang hendak dicapai cantik-cantik dan tampal di hadapan meja belajar atau di tempat tidur agar diri kita terkesan untuk mencapainya. Contoh keputusan A dalam semua subjek dalam SPM 2011
  • Buat study group untuk subjek-subjek kritikal dengan sahabat-sahabat yang mantap dalam subjek tersebut, selalu merujuk kepadanya, berkongsi dan bertukar-tukar nota dan soalan dengan student dari sekolah, universiti lain
  • Bagi yang arif dalam sesuatu subjek, panjangkan ilmu anda kepada rakan-rakan yang lain. Jangan kedekut ilmu bila ajar orang lain akan membuatkan kita berlipat kali ganda mudah ingat dari membaca
  • Selalu merujuk kepada guru/pensyarah jika kurang faham dalam sesuatu subjek yang diajari sama ada direct dalam kelas atau selepas waktu pembelajaran
  • Kumpulkan sebanyak yang boleh contoh-contoh soalan yang lepas-lepas untuk dibuat analisis dan latih tubi, pada kebiasannya soalan tidak lari dari 5 tahun ke belakang jika format tidak berubah. Perhatikan rentak (bentuk) soalan yang dibuat guru/pensyarah dan tackle cara nak menjawabnya.
  •  Bersihkan diri dari sifat buruk sangka, merendah-rendahkan orang, membesarkan diri,  riak, bermusuh-musuhan, menderhakai ibu bapa atau guru. 
  • Jaga solat lima waktu sehari semalam dengan sempurna, amalkan wirid-wirid selepas solat agar disucikan dan dikuatkan jiwa menghadapi hari-hari peperiksaan nanti
  • Minta ibu dan ayah doakan kejayaan kita selalu
  • ·       Bermunajat kepada Allah dalam sujud ketika solat di sepertiga malam.
  • Kenalpasti kelemahan kita dalam sesuatu subjek dan minta ulasan dari guru/pensyarah bagaimana untuk meningkatkan pencapaian kita dalam subjek tersebut
  • Pastikan kita sukai kesemua subjek yang diambil, kalau ada yang tak berapa minat atau susah, paksakan diri sukakan subjek tersebut kerana ianya satu amanah ilmiah bukan hiburan, cari pendekatan yang membuatkan kita tertarik dan minat untuk mendalami subjek tersebut,








Cikgu Bedah: Sekian, selamat maju jaya!!! 

Monday, 22 August 2011

Tokoh Akademik Britain Iktiraf Kualiti Pendidikan Di Malaysia


Salam 1Malaysia,


Baru-baru ini, Cikgu Bedah ada terbaca satu berita yang amat mengujakan biarpun tatkala ini ramai yang beranggapan institusi pendidikan di Malaysia ini masih jauh ketinggalan ke belakang. Walhal, saban tahun, banyak kemajuan yang dikecapi oleh golongan pendidik dan para pelajar di Malaysia pada masa kini.

Tak hairanlah, jika Cikgu Bedah terbaca artikel ini dan meleret senyum hingga ke pipi. Bangga juga bila orang luar memuji kehebatan dan mengiktiraf kualiti pendidikan negara kita. Tentu anda nak tahu, apa artikel yang Cikgu Bedah baca tu,kan.

Berita umum di BERNAMA, pada 18 Ogos lepas, menurut Naib Canselor Antarabangsa University of East London (UEL) Prof John Shaw, tokoh akademik  Britain pendidikan itu, bidang pendidikan yang berkualiti tinggi di Malaysia telah berjaya menarik minat ramai pelajar asing untuk melanjutkan pengajian di negara ini. Malaysia telah mencapai tahap sebagai hab pendidikan yang berkualiti tinggi dan hakikat ini dapat dilihat apabila begitu ramai pelajar dari seluruh dunia seperti China, Nigeria dan Kazakhstan melanjutkan pengajian di universiti dan kolej universiti di Malaysia.

Sebab itulah, Britain tak putus-putus beri sepenuh sokongan padu dan komitmen untuk terus melabur dalam bidang pendidikan dan yakin kerjasama rapat antara Malaysia mampu melonjakkan kemajuan bidang pendidikan kedua-dua negara ke tahap lebih tinggi.

Justeru, Cikgu Bedah berharap kita semua perlu berbangga dengan pencapaian dan usaha yang telah dilaksanakan kerajaan pada masa kini untuk kesenangan dan menjamin kualiti hidup rakyat.









 Cikgu Bedah: Teruja setiap kali orang luar melihat kehebatan 1Malaysia!



Tuesday, 9 August 2011

Sekolah Dalam Hospital




Assalammualaikum dan salam sejahtera semua.

Cikgu Bedah berbesar hati dengan program Sekolah Dalam Hospital (SDH) yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Yayasan Nurul Yaqeen dan Kementerian Kesihatan.

Pada Cikgu Bedah, usaha ini merupakan satu usaha yang sangat murni dan baik serta perlu dilaksanakan sejak dulu lagi. Alhamdulillah, ia terlaksana juga. Melalui SDH, pelajar dan kanak-kanak yang menerima rawatan di hospital terutama bagi tempoh yang lama boleh juga mendapat pendidikan secara formal seperti di sekolah. Jadi, ibu bapa tak perlu risau tentang pelajaran anak-anak ketika mendapat rawatan di hospital.

Menerusi pendekatan pembelajaran yang agak berbeza daripada sekolah biasa, Sekolah Dalam Hospital adalah berorientasikan pendekatan didik hibur (fun learning) dan fleksibel dalam persekitaran yang kondusif, sekaligus membantu menghilangkan rasa bosan pelajar apabila perlu mendapat rawatan dalam tempoh yang lama di hospital.

Sekolah Dalam Hospital dilaksanakan secara projek rintis di tiga buah hospital iaitu Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang dan Hospital Ampang dan dijangka akan diperluaskan ke hospital Kementerian Kesihatan Malaysia yang lain.

Tahniah, Cikgu Bedah ucapkan kepada 16 orang guru yang telah menyahut cabaran dan hasrat murni kerajaan untuk mendidik anak bangsa demi kelangsungan masa depan anak-anak. Semoga guru-guru lain juga akan mengikut langkah.

Untuk pengetahuan, projek SDH ni,  adalah ilham isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang merupakan penaung projek Hati Nurani.

Semoga, apa yang dilaksanakan ini memberi inspirasi buat para pendidik di luar sana untuk terus menabur bakti tidak kira walau di mana anda berada. Buat anak-anak pula, teruskan belajar walau keadaan tidak sihat kerana, ia bukan halangan buat kalian untuk terus maju dalam pelajaran. Cikgu Bedah doakan yang terbaik buat semua.

Cikgu Bedah: Semoga usaha murni ini, membuka mata ‘sesetengah pihak’ yang asyik ‘ menghentam’ sahaja… 

Monday, 8 August 2011

Janganlah Mengharapkan Ganjaran Semata-Mata


Salam 1Malaysia semua.

Di kesempatan ini, Cikgu Bedah ingin mengucapkan Selamat Berpuasa buat rakan-rakan 1Klik yang mengikuti Blog ini. Terima kasih lah atas sokongan anda semua yang tak henti-henti memberi komen yang membina dan jenguk-jenguk jugalah blog ini walaupun dah takde peraduan.

Bercakap fasal peraduan, Cikgu Bedah bukan apa, nak tegur sikit, ye lah kan, dalam pada kita ni berbuat sesuatu perkara, kadang-kadang mesti terfikirkan nak hadiah la, nak ada bonus la, tip la kononnya tanda penghargaan kepada apa yang kita buat tu. Tapi, sebenarnya, amalan ni, tak elok dipraktikkan. Itu sudah dikira tidak ikhlas. Tuhan marah, pahala pun tak dapat. Elok-elok dapat 100% dah tak dapat apa-apa langsung. Haa, siapa yang rugi? Diri sendiri juga, tuan-tuan. Jadi, eloklah, kita buat apa pun biarlah niatnya ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa balasan sekalipun. Kalau ada ‘pun’, rezeki namanya. Alhamdulillah.

Samalah juga kalau kita berblog ni. Mungkin sebab nak masuk contest, nak dapat hadiah, banyak la orang berlumba-lumba beri komen dengan harapan menang. Bila peraduan dah tamat, tak perlulah nak teruskan usaha tu. Haish, perkara macam ni lah yang Cikgu Bedah pantang. Lagi-lagi pada murid-murid yang gemar lakukan sesuatu sebab nak kejar hadiah dan ganjaran. Bila takde ganjaran, tak nak buat kerja tu. Itu yang tak eloknya. Janganlah begitu ya kawan-kawan. Kalau amalkan sebegitu, alamatnya kat dunia ni takde apa lagi lah yang boleh dibuat melainkan kalau ada ganjaran. Takde lah lagi, bangunan pencakar langit, kerja-kerja kosong, guru-guru yang nak mengajar di sekolah lagi. Dah, semuanya kalau nak buat mesti ada ganjaran, macam mana,kan?

Jadi, bimbinglah diri kita, agar sentiasa menjadi insan yang setia dan ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara tanpa mengharapkan ganjaran dan balasan. Kepada semua murid-murid di luar sana, kalau nak lulus peperiksaan, janganlah sebab nak duit ke, nak handphone ke dan sebagainya, Tanamkan sifat ikhlas dalam diri kita. Kepada rakan-rakan 1KLIK pula, kalau takde peraduan pun takpe lah. Kekalkan sokongan anda dan sentiasa beri komen yang membina,ok! Jumpa lagi di lain hari.

 







Cikgu Bedah: Jaga Diri Hiasi Peribadi 

Thursday, 9 June 2011

Pemanasan Global dan Kesannya


Salam 1Malaysia semua.


Sempena kempen  ‘Pemanasan Global’ pada masa kini, Cikgu Bedah ingin menyentuh tentang apa yang dikatakan pemanasan global dan kesannya kepada kita semua. Untuk pengetahuan semua, pemanasan global ialah keadaan alam sekitar yang mengalami peningkatan suhu yang tinggi berbanding suhu normal.

Pemanasan berlaku di seluruh dunia sebenarnya berpunca dari aktiviti manusia seperti penebangan hutan, kegiatan perkilangan dan industri, permotoran, penerokaan hutan, dan pengautan khazanah-khazanah alam sama ada di atas atau di dalam perut bumi.

Kesan yang dirasai oleh kita semua antaranya, kesan saintifik pemanasan global ialah tahap pencairan salji di Kutub Utara semakin tinggi, paras air laut meningkat dan keluasan saiz daratan semakin mengecil. Kesan material pula, itulah yang menyebabkan kejadian bencana alam seperti kemarau, banjir dan kebakaran dan kesan kemanusiaan termasuklah hilang nyawa dan kecederaan.

Sebelum ni, kita pernah menyalahkan negara jiran kononnya menjadi punca keadaan jerebu dan pemanasan kawasan hampir seluruh negara, sebab aktiviti pembakaran hutan di negara tersebut.

Tapi, jika dikaji semula, sebenarnya tak banyak berlaku perubahan pemanasan alam sekitar sama ada semasa jerebu atau tak. Nak tahu kenapa ia berlaku? Ahli-ahli sains dan geografi sependapat mengatakan punca utama pemanasan global ialah nipisnya lapisan ozon yang diakibatkan oleh pelepasan gas khususnya klorofluorokarbon (CFC).

Jika kita prihatin dan sedar, tahun 2005 adalah musim berlakunya ribut taufan yang sangat aktif. Difahamkan sebanyak 26 kejadian ribut dan 14 kejadian puting beliung telah berlaku. Buat pertama kali, taufan ganas iaitu Katrina, Rita dan Wilma terjadi dalam satu musim. Kejadian ribut taufan ini bukan sahaja melanda Benua Amerika, malahan menyerang juga negara China, Korea, dan pantai sekitar Laut China Utara.

Jadi, beringatlah dari sekarang. Kalau kita tak bersama-sama menangani masalah pemanasan global ni,tak mustahil bumi kita akan tenggelam satu hari nanti. Apa yang boleh kita lakukan? Cikgu Bedah sarankan, kita tanam pokok di kawasan rumah sekurang-kurangnya 7 pokok. Selain itu, jangan amalkan pembakaran terbuka. Kalau ada jiran tetangga yang buat perkara tu, silalah tegur-tegur,kan. Untuk kebaikan bersama…










 Cikgu Bedah: Sama-sama kita banteras aktiviti pemanasan global

Sunday, 15 May 2011

Selamat Hari Guru!!

Salam 1Malaysia buat semua.

                                                                                                    Sumber foto: izoblog.com

Masih belum terlambat Cikgu Bedah mengucapkan Selamat Hari Guru buat semua para pendidik di luar sana. Ucapan terima kasih yang tak terhingga kerana mendidikku menjadi insan berguna. Sempena Sambutan Hari Guru 2011 ini, Cikgu Bedah ingin berkongsi dengan anda semua, sajak nukilan sasterawan negara yang ulung, Dato’ (Dr) Usman Awang judul Guru O Guru [1979] sebagai tatapan bersama. 

Guru O Guru

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.








Cikgu Bedah: Terima kasih Cikgu….Jasamu sentiasa dikenang, malah aku sentiasa berdoa…Semoga cikgu bahagia dan dirahmati Allah SWT selalu.  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...