Followers

Showing posts with label Ajegendela. Show all posts
Showing posts with label Ajegendela. Show all posts

Friday, 29 July 2011

Aku dan Perjalanan


Aku mula menjejak kaki di Kuala Lumpur (KL) lebih 20 tahun yang lalu. Muda betul aku masa tu. Walaupun pernah ke KL, tapi kali ini berbeza kerana aku terpaksa bersendiri. Bukan lagi bercuti bersama keluarga seperti sebelumnya. Perasaan takut dan macam-macam lagi memang aku rasa. Tapi itulah perjalanan yang pernah aku lalui.


Di KL, Puduraya dan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur merupakan antara destinasi pertama aku diperkenalkan. Maklumlah, medium pengangkutan untuk pulang bercuti adalah bas dan kereta api. Kalau bas,  naik Ekspres Nasional, kalau kereta api mestilah naik Ekspres Rakyat/Senandung Malam. Sesekali balik bercuti serupa macam rombongan Cik Kiah. Masa dulu kalau naik bas ambil masa lebih 8 jam. Maklumlah lebuh raya pun belum siap. Bas akan melalui jalan lama. Kawasan rehat pun belum ada kawasan rehat dan rawat (R&R) macam sekarang. Seingat aku destinasi rehat yang pernah aku singgah adalah di Slim River dan Tanjung Malim. Kawasan ini juga menyediakan gerai makanan, tandas dan surau. Cuma tidak sehebat yang ada sekarang. 

 
Kalau naik kereta api pula kadang-kadang perjalanan mengambil masa sampai 12 jam. Ekspres Rakyat/Senandung Malam akan berhenti di setiap stesen. Koc pula sentiasa penuh. Ada yang dapat duduk di kerusi, duduk di lantai,  ada yang berdiri. Ada yang pasang buai. Yang duduk macam berkelah pun ada. Pernah juga aku berpeluang berkenalan dengan pelancong dari luar negara yang mengambil peluang menaiki Ekspres Rakyat/Senandung Malam. Macam-macamlah masa tu. Bertuah sebenarnya kerana aku pernah melaluinya. 

 

Pada masa sekarang mungkin anak muda kita dah tak melalui semua ini. Zaman kian berubah, teknologi dah semakin maju. Kita pula perlu bergerak seiring dengan peredaran waktu dalam mengejar kemajuan. Perjalanan menaiki bas juga dah semakin singkat. Belum lima jam, dah sampai ke destinasi. (bagi perjalanan  KL ke Butterworth). Bagi yang menaiki kereta api pula, tiada lagi yang berdiri atau duduk di koridor. Tiada lagi tingkap yang boleh dibuka. Semuanya dah ada penyaman udara. Untuk aku yang tinggal Cuma kenangan. InsyaALLAH entri akan bersambung lagi … sampai jumpa lagi.


 










Jegen ingat: Kenangan itu indah. 

Tuesday, 10 May 2011

Jejantas Oh Jejantas …..

Stesen seterusnya, Sultan Ismail. Stesen Sultan Ismail.


Wah dah sampai. Nasib baik aku terjaga. Macam mana la keadaan aku tidur tadi agaknya.  Jam dah hampir 8 pagi. Alamak, terpaksalah aku bergegas keluar LRT. Masukkan tiket dan berlari-lari anak menuju pejabat. Kalau lambat nanti bertukar pulak kad aku menjadi hijau. Memang hakikatnya aku suka hijau. Tapi tak naklah dapat kad hijau. Sebelum sampai pejabat aku akan melintas satu jejantas yang tinggi dan cantik. Memang cantik pun. Pernah aku memuji cantik dan uniknya rekaan jejantas ini ketika melaluinya satu masa dulu. (Dah lama aku tinggal di Kuala Lumpur ni, tak sangka pulak aku akan berkerja di kawasan ni masa tu.)

Sebenarnya ramai juga yang tak mahu menggunakan jejantas ni. Tapi aku tak berani. Memang tiada langsung tindakan pihak berkuasa. Sebab itulah agaknya semakin hari semakin ramai yang berani melintas tanpa jejantas di kawasan ini.

Jejantas oh jejantas. Itulah yang terpaksa aku lalui samada waktu pagi atau petang. Jejantas yang tinggi dan mendatar ni amat mencabar fizikal aku. Maklumlah dengan keadaan aku yang comel ni. Pada mula-mula aku berjinak-jinak dengan jejantas ni memang amat terasa penatnya.  Tapi lama-kelamaan aku dah terbiasa. Aku mengambil kira perjalanan pergi dan balik aku menaiki dan menuruni  jejantas sebagai satu riadah. Maklumlah aku kurang beriadah. Sekurang-kurangnya dengan perjalanan seharian aku menggunakan pengangkutan awam ini dapat juga dapat juga aku beriadah.

 







JEGEN : betullah apa yang diperkatakan, di sebalik setiap kepayahan itu ada hikmahnya.


Thursday, 31 March 2011

Memandu atau Naik LRT?


“Status FB”
...bila hujan & jln jem, I'm happy to announce that I'm using LRT everyday! hahaha...

Hujan, hujan, hujan … Status FB di atas dipinjam dari seorang teman (credit to Zarra Si Permaisuri).  Sejak seminggu lalu memang hampir setiap hari hujan. Bila petang langit pun dah mula gelap, guruh berdentam- dentum. Bersyukur kepada ALLAH atas nikmat hujan yang diberikan.

Tapi macam biasalah setiap kali hujan, KL mulalah jem. Kekadang sampai pelik dibuatnya. Hujan tak seberapa tapi  jemnya … Jadi , buat yang memandu, penat jugalah melayan jem. Yang seronoknya bagi yang naik LRT. Alhamdulillah, dah sampai lebih separuh jalan. Jalan yang separuh lagi dah dekat kawasan rumah.  Memandu sendiri dan menaiki kenderaan awam ni ada kebaikan dan keburukan yang tersendiri. Jadi renung-renungkan.

 






JEGEN fikir: Tapi macam mana pulak dengan
kawasan yang jauh dari kemudahan sebegini.  
Kena drive jugaklah nampaknya.


Tuesday, 22 March 2011

Cuba cerita, Cuba cerita .....


“Aduh, hilang seri aku pagi ni kak?” teriak seorang teman kapada aku sejurus masuk ke pejabat. 
“Hai..solekan dah cantik, rambut pun bersikat elok, baju pun macam nak sambut raya, seri je aku tengok” balas aku dengan selamba.
“Penat tau aku sembur minyak wangi pagi ni, suku botol, masuk je tren (komuter) saya berdiri bawah ketiak bangla. Maklum la saya ni kan spesis comel” balasnya sambil tertawa kecil.

Itu antara peristiwa pagi, pengangkutan awam, aku dan  rakan-rakanku. Maklumlah orang macam aku ni memang  pengguna tegar pengangkutan awam. Ada lesen pun aku tak memandu. Perjalanan jauh, kereta pun satu, jadi mahu tak mahu terpaksa juga menyelesakan diri dengan apa juga medium pengangkutan awam yang tersedia. Aku redha.

Komuter ni memang dah sedia maklum perihal kesesakannya. Kalau nak balik ke arah Seremban tu, bersedialah dengan gelombang manusia yang bakal menjadi penghuni seketika tren komuter. Kalau naik awal tak apa. Tapi kalau dah naik selepas stesen Bank Negara, hmmmm…bersedialah. Apa-apa pun itu hakikat yang terpaksa kita terima. Mungkin itu sahaja medium pengangkutan terbaik buat kita yang tersedia.

Bajet demi bajet dah kita dengar, semuanya pasti tak lupa dengan idea dan peruntukan untuk meningkatkan pengangkutan awam sedia ada. Lawatan demi lawatan dan serba-serbi cuba disedia. Mungkin kita akan nampak perubahannya nanti. Perubahan bukan boleh berlaku sekelip mata. Jadi bersabar dan bersedialah. Kita lihat apa yang bakal berubah nanti…

 







JEGEN dengar:  Katanya Komuter nak tambah lagi tren (30) dijangka penghujung tahun ini. Harapnya betullah khabar tu. Tak delah nak bersesak-sesak lagi.

Wednesday, 16 March 2011

Hari ATM …..


Pada 3 hingga 5 Mac yang lalu berlangsung Hari ATM di Dataran Merdeka. Kebetulan aku ada tugasan di sana. Cuaca sangat panas. Penat betul hari tu. Tapi entah kenapa aku rasa penat hari ni sangat berbaloi. Sambutan Hari ATM di Dataran Merdeka amat mengujakan. Walaupun bertugas di hari cuti umum aku terima faedahnya. Canggih betul pasukan angkatan tentera kita. Memang selama ini tak nampak di mata.

Sambutan sebegini  buat aku memang yang pertama kali. Peluang bergambar dengan kenderaan yang canggih yang bernilai jutaan ringgit tak aku lepaskan. Hebat Mat Terap kita rupanya.

Untuk ke Dataran Merdeka aku menaiki LRT.  Bukan apa lebih mudah. Dengan perarakan besar-besaran dan sambutan luar biasa dari orang ramai, yang pastinya jalan sangat sesak. Sambutan memang mengejutkan aku sendiri. Bagai sambutan Hari Kemerdekaan. Gerai pameran kami pun dipenuhi orang ramai. Penat tapi teruja. Panas tapi berbangga.

Jadi jika lain kali berhajat untuk hadir memeriahkan sambutan sebegini. Gunakan kenderaan awam. Jalan pun akan lebih lengang. Semua ini untuk keselesaan bersama.

 







JEGEN rasa: InsyaAllah jika hadir majlis sebegini teruja akan mengatasi penat kita.

Tuesday, 8 March 2011

Aku Jengah Di Jendela.....

Salam 1Malaysia.

Asyik kita dengan Salam 1Malaysia ni sampai kadang-kadang terlupa kita memberi salam.

Assalamualaikum pembuka bicara,
Buat semua di luar sana,
Bertemu kita di alam maya,
Semoga ria dan tiada duka.

Salam perkenalan buat pengunjung Rakan 1Klik semua. Aku Ajegendela (Jegen). Dah  sebulan Rakan 1Klik bersiaran di alam maya ini. Coretan aku juga yang tak kunjung tiba. Bukan tak suka nak bersua, tapi dah tak ada idea. Jadi lambatlah berkongsi cerita. Sedikit rasa teruja. Mana tidaknya , aku yang bukan seorang penulis ini diberi peluang berkongsi idea dan cerita.

Sedikit tentang aku.  Ajegendela nama panggilan aku sewaktu kecil. (a name given by my cousin. She used to call me by that name. Never know and never ask, how, what, where and why … I kind of like the name though).  Sukakan hijau (my dolly is green, thanks to the creativity of the artist, I love it). Mungkin itu saja tentang aku buat masa ni.

Ajegendela. Satu “nickname” yang seseorang seperti aku boleh terima. Bukan semua orang dapat terima nama panggilan yang diberikan kepada mereka. Terutama kalau ianya ada kena mengena dengan diri atau keadaan mereka. Jadi kita perlu belajar mengenali seseorang.  Tak kira siapa kita atau di mana kedudukan kita. Jangan sesekali menyakitkan hati orang lain dengan nama-nama gelaran yang mungkin boleh mengguris hati penerimanya. Cukuplah nama panggilan yang indah dan diketahui  memang dapat diterimanya. Betul tak? Betul…………








JEGEN Tanya:  hmmm… agaknya kalau orang tu dipanggil “Teruna kacak” atau si “gadis ayu”, dia marah tak ? ….
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...