- Jangkitan saluran kencing adalah penyakit biasa di kalangan warga emas.
- Jangkitan di mana-mana bahagian saluran kencing dikenali sebagai Jangkitan Saluran Kencing.
- Diagnosa, pencegahan dan rawatan untuk golongan warga emas mungkin susah kerana gejala-gejala jangkitan kurang ketara dan daya pertahanan badan berkurangan dengan peningkatan umur.
- Kebanyakan Jangkitan Saluran Kencing boleh diubati dengan mudah dan berkesan.
Penyebab-penyebab
- Kuman yang menyebabkan Jangkitan Saluran Kencing selalunya berasal dari kulit berhampiran dengan pembukaan saluran kencing keluar badan (uretra).
- Kaum wanita lebih senang dijangkiti oleh Jangkitan Saluran Kencing kerana mereka mempunyai saluran kencing keluar badan (uretra) yang lebih pendek berbanding dengan kaum lelaki. Oleh itu, kuman boleh sampai ke pundi kencing dengan lebih mudah kerana jarak yang pendek.
- Kaum wanita yang lebih tua lebih mudah mendapat Jangkitan Saluran Kencing kerana pengurangan paras hormon (estrogen) selepas putus haid boleh mengakibatkan penipisan dinding saluran kencing keluar badan (uretra) dan melemahkan pertahanannya terhadap jangkitan.
- Untuk kaum lelaki yang lebih tua, kelenjar prostat boleh membengkak (satu keadaan dikenali sebagai Pembengkakan Kelenjar Prostat Bukan Kanser) dan boleh menekan ke atas saluran kencing keluar badan (uretra) dan mengganggu pengaliran air kencing. Kelenjar prostat mungkin juga boleh dijangkiti dan kuman boleh merebak dari kelenjar prostat ke saluran kencing.
- Pengaliran air kencing dari pundi kencing mungkin menjadi luar biasa disebabkan oleh otot pundi kencing yang mengecut dengan lemah atau saraf yang mengawal pundi kencing rosak.
- Prosedur perubatan yang memerlukan tiub dimasukkan ke dalam saluran kencing boleh menambahkan risiko Jangkitan Saluran Kencing.
- Jarang-jarang sekali, kuman dari jangkitan di tempat lain pada badan seseorang boleh menjangkiti buah pinggang melalui darah mengakibatkan jangkitan buah pinggang.
Jenis-jenis kuman
- Escherichia coli adalah kuman yang paling kerap menyebabkan Jangkitan Saluran Kencing.
- Kuman lain seperti Klebsiella, Enterobacter, Proteus, Pseudomonas, Enterococcus dan Staphylococcus juga boleh menyebabkan jangkitan.
- Kulat (seperti Candida) dan virus jarang menjadi punca jangkitan.
Gejala / Tanda
- Sakit semasa kencing, kencing lebih kerap, terutamanya waktu malam (nocturia) dan berasa terdesak ke tandas semasa ingin kencing (urgency).
- Mungkin mengakibatkan kencing terkeluar di luar kawalan disebabkan oleh pesakit berasa terdesak semasa ingin kencing.
- Demam jarang terjadi kecuali jangkitan tersebut telah merebak ke bahagian atas saluran kencing atau merebak ke dalam darah.
- Sakit di bahagian belakang atau tepi badan mungkin disebabkan oleh jangkitan buah pinggang (pyelonephritis).
- Kekeliruan mungkin terjadi terutamanya jika pesakit mempunyai demam yang tinggi.
- Air kencing mungkin berbau busuk atau kelihatan keruh atau berdarah.
- Kadang-kala, tiada sebarang gejala walaupun kuman berada di dalam pundi kencing. Ini dikenali sebagai "asymptomatic bacteriuria".
Diagnosa
- Doktor selalunya mengesyaki Jangkitan Saluran Kencing berdasar kepada gejala sahaja.
- Ujian ke atas air kencing akan mengesahkan diagnosa.
- Sampel air kencing diperolehi selepas kulit di sekeliling saluran kencing keluar badan (uretra) dibersihkan, lalu air kencing dimasukkan ke dalam sebuah bekas yang bersih.
- Air kencing akan diuji dengan kertas ujian untuk mengesan nitrites (sejenis bahan yang dikeluar oleh kuman) dan sel darah putih dalam air kencing.
- Air kencing boleh dihantar ke makmal untuk diperiksa di bawah teropong halus (microscope) untuk mengesan kehadiran sel darah putih dan kuman atau membiak kuman tersebut untuk mengenalpasti jenis kuman (urine culture).
- Ujian darah (Full blood count) boleh dilakukan untuk mengesan kehadiran bilangan sel darah putih yang banyak, mungkin merupakan salah satu tanda jangkitan.
- Ujian darah boleh dilakukan untuk membiak kuman dan mengesan kuman yang telah merebak dari saluran kencing ke saluran darah (blood culture).
- Warga emas dengan Jangkitan Saluran Kencing yang berulang mungkin memerlukan ujian tambahan seperti mengukur saki-baki air kencing di dalam pundi kencing selepas seseorang itu selesai kencing (residual urine).
- Jangkitan Saluran Kencing yang berulang perlu dinilai dengan pemeriksaan ke atas struktur sistem saluran kencing dengan ujian tertentu seperti ultrasound scan.
Klik Sini Untuk Seterusnya
Berita di sunting dari sumber :My Health
No comments:
Post a Comment