Buasir adalah salur darah vena yang membesar di bahagian bawah rektum dan dubur. Ia akan membawa masalah apabila ianya menjadi radang atau bengkak. Buasir boleh diklasifikasikan kepada dua bergantung kepada lokasinya iaitu buasir luaran atau buasir dalaman. Kedua-dua ini mempunyai simptom dan masalah yang berbeza.
Merupakan salur darah vena yang bengkak di lapisan dalam rektum. Pesakit akan mengadu terdapat pendarahan selepas membuang najis tanpa kesakitan. Ada juga pesakit yang akan terasa seperti unjuran yang terkeluar dari dubur selepas membuang air besar. Unjuran ini mungkin hilang sendiri atau ada juga yang perlu menolak balik unjuran ini ke dalam.
Merupakan salur darah vena di bahagian bawah kulit luar dari dubur. Pesakit akan mengadu sakit, berdarah, gatal atau bengkak semasa membuang air besar. Kesakitan yang dirasai seseorang itu mungkin berbeza. Ada orang yang mungkin merasa sedikit tidak selesa, tetapi ada juga yang merasa panas atau amat pedih. Sakit yang kuat mungkin berlaku akibat salur darah yang tersumbat oleh darah beku.
· Buasir dalaman
· Buasir luaran
Mengapa buasir terjadi?
Buasir adalah penyakit yang sering berlaku. Ia boleh terjadi kepada mana-mana individu tanpa mengira umur tetapi selalunya dilihat pada orang dewasa 30 tahun ke atas dan wanita mengandung. Ia sering dikaitkan dengan meneran semasa membuang air besar dan sembelit. Wanita mengandung mungkin mengalami buasir kerana pembesaran janin menyebabkan tekanan ke bahagian dubur dan juga akibat perubahan hormon. Selain itu, orang yang berlebihan berat badan, berdiri dalam jangka waktu yang lama setiap hari atau selalu mengangkat benda berat mungkin menghidapi masalah ini. Kesemua keadaan tersebut menyebabkan penambahan tekanan kepada salur vena di rektum dan dubur dan menyebabkan pembengkakan dan pembesaran.
Perlukah saya berjumpa dengan doktor?
Dapatkan nasihat dari doktor sekiranya anda mengalami pendarahan semasa atau selepas membuang air besar. Doktor perlu memastikan bahawa pendarahan tersebut berpunca dari buasir dan bukannya dari penyakit serius yang lain seperti kanser usus. Pemeriksaan untuk kanser usus perlu dibuat bagi mereka yang:
- Berumur 40 tahun ke atas.
- Mempunyai sejarah perubatan kanser usus atau ahli keluarga/ saudara yang mengalami kanser usus.
- Mengalami sakit atau ketidakselesaan perut.
- Mengalami pembuangan najis tidak menentu seperti selalu cirit-birit dan/atau sembelit.
- Kurang berat badan tanpa sebab tertentu.
Klik Sini Untuk Seterusnya
Berita di sunting dari sumber :My Health
No comments:
Post a Comment