Followers

Tuesday, 29 December 2015

Bahana Makan Makanan Dalam Surat Khabar

Malaysia adalah negara yang dikategorikan sebagai “negara syurga makanan”. Pelbagai jenis makanan lazat sama ada tradisional, Timur atau Barat semuanya boleh dinikmati dengan mudah di negara ini sama ada di gerai, restoran sehingga restoran bertaraf lima bintang. Sering kali juga kita melihat ramai peniaga menggunakan kertas surat khabar untuk membungkus makanan. Adakala juga ia digunakan bagi menyerap minyak makanan bergoreng seperti pisang goreng, ubi goreng, donut dan sebagainya. Membungkus makanan dengan surat khabar adalah tindakan membahayakan dan ada kebimbangan ini boleh menimbulkan kesan yang serius pada kesihatan, tetapi, adakah kita ambil serius mengenainya?



Penyelidik dari Eropah banyak melaporkan bahawa kimia dari dakwat surat khabar mengandungi bahan yang boleh memberi pelbagai kesan negatif pada tubuh badan. Menurut kajian saintifik mereka, kertas surat khabar mengandungi bahan kimia berbahaya iaitu karsinogenik pada bahagian dakwatnya yang boleh menjejaskan sistem penghadaman seseorang selain meningkatkan kandungan toksik dalam badan manusia yang menjadi punca kanser.


Banyak surat khabar menggunakan dakwat berkualiti rendah yang sangat toksik. Surat khabar lama adalah tempat sangat kondusif untuk pembiakan bakteria. Ia boleh menyebabkan keracunan makanan jika digunakan.

Baru-baru ini juga, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan seseorang pengendali makanan hendaklah mengendalikan makanan dan menggunakan perkakas dan bekas makanan tanpa bersentuhan secara langsung dengan apa-apa benda atau bahan yang boleh mencemarkan makanan. Perkara ini telah tertakluk di bawah Peraturan 35, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.




Oleh kerana kita tidak tahu dakwat yang digunakan oleh pencetak itu toksik atau tidak, adalah lebih baik mengambil sikap berhati-hati dengan memastikan kita tidak menggunakan kertas surat khabar bagi membungkus makanan dan menggunanya sebagai alas untuk menyerap minyak.


AveiroPJ - Tepuk dada, Tanya lah selera, Yang penting, Kesihatan haruslah dijaga.

Monday, 14 December 2015

Vitamin C Di Awal Pagi

Vitamin C merupakan salah satu jenis vitamin yang larut dalam air. Vitamin ini berperanan sangat penting dalam meningkatkan sistem kekebalan tubuh dan membuang radikal bebas dalam tubuh kita. Istilah Vitamin C sering merujuk kepada oren yang merupakan sumber Vitamin C paling tinggi, namun adakah anda tahu bahawa buah lain juga seperti jambu, betik, lemon dan buah kiwi mengandungi Vitamin C lebih banyak berbanding oren?

Pengambilan Vitamin C pada waktu pagi memang memberi impak dan kesan yang bagus kepada imunisasi dan tubuh kita secara keseluruhan. Vitamin C, seperti yang kita ketahui, sangat membantu dalam penghasilan kolagen, mencantikkan kulit dan memelihara sistem utama badan. Satu lagi peranan yang mungkin ramai daripada kita terlepas pandang adalah fungsinya dalam membantu penurunan berat badan secara efektif

Ini kerana, Vitamin C cenderung mengoksidakan lemak sebanyak 30 peratus lebih dari biasa ketika kita bersenam. Oleh itu , pengambilan Vitamin C atau makanan yang kaya dengan Vitamin C pada waktu pagi sebelum anda makan boleh menjadikan kita aktif serta boleh meningkatkan pembakaran lemak.

Walaupun tanpa rutin latihan berstruktur pada waktu pagi, kita lebih cenderung untuk menjadi lebih aktif dan melakukan lebih kerja  pada waktu siang berbanding pada waktu malam . Tidak semestinya dengan senaman berat, jadi hanya ambil Vitamin C pada waktu pagi dan pasti kan anda kekal aktif bagi menjamin pembakaran lemak.

Gejala kekurangan Vitamin C boleh dikenal pasti dengan simptom kehilangan selera makan, kejang otot, kulit kering, rambut bercabang, gusi berdarah, anemia, jangkitan, penyembuhan lambat. Tetapi, jika badan terlebih vitamin juga boleh memudaratkan kita. Simptom seperti cirit-birit dan peningkatan asid dalam badan adalah salah satu kesannya, dan bila pemakanan vitamin berlebihan terjadi dalam waktu cukup panjang, boleh menimbulkan kesakitan ketika buang air kecil kerana Vitamin C keluar dalam bentuk kristal.

Kesimpulannya, pengambilan Vitamin C amat penting bagi yang amat menitik beratkan kecantikan dalaman dan luaran, tetapi pengambilan nya haruslah berada di tahap optimum supaya ia dapat menjaga badan kita, bukan memudaratkan. Tidakkah ia berbaloi dengan manfaat yang begitu banyak, hanya untuk kebaikan kita?

AveiroPJ - Prevention Is Better Than Cure =)

Tuesday, 1 December 2015

Persediaan Menjelang 2016

Salah satu kunci kejayaan adalah persiapan dan persediaan, kerana kita tidak pernah tahu apa dan bila detik/situasi/perkara itu akan datang, namun jika kita boleh mempersiapkan diri, hal tersebut akan ditangani dengan baik.

Mempersiapkan diri untuk mengakhiri tahun 2015 dengan gemilang dan memasuki tahun 2016 dengan keyakinan adalah salah satunya yang perlu kita semua fikirkan. Salah satu yang perlu difikirkan dan dipersiapkan adalah segala permasalahan kewangan supaya kita dapat memasuki 2016 dengan perasaan lega.

Jadi jangan terus menunda lagi, kerana kita tidak akan terasa bulan Disember ini akan berlalu pergi. Berikut adalah beberapa cadangan berkaitan kewangan dan pelaburan yang perlu anda persiapkan:

1. Mengurus Bajet Akhir Tahun Menjelang Cuti Krismas dan Tahun Baru


Seperti biasa, pabila menjelang akhir tahun, sambutan Krismas adalah sambutan “all-out”, di mana segala jualan murah akan berlaku sebelum Krismas. Jika anda tidak membuat anggaran perbelanjaan, kita akan menghadapi masalah. Jadi, persiapkan senarai barangan yang dirasakan perlu untuk dibeli dan boleh dibeli jika ada sedikit wang tambahan, jika tiada, maka cukuplah dengan perbelanjaan untuk senarai yang perlu. Jika anda berkeluarga, pasti kan anggaran untuk perbelanjaan anak-anak sekolah diutamakan dan berbelanja lah dengan cermat.

2. Mengurus Peruntukan Pelaburan


Menjelang akhir tahun, anda perlu melakukan penilaian atas portfolio pelaburan anda. Jika anda melakukan pelaburan di ASB, emas, saham atau bon,  anda perlu mengimbangkan pelaburan dan risikonya. Selain mengimbangi portfolio, anda juga perlu mula mempelajari instrumen pelaburan yang baru untuk tahun 2016, dan membuat penilaian awalan supaya kita tahu hasil awalannya jika kita berminat untuk membelinya kelak.

3. Semak Simpanan Persaraan


Meningkatkan jumlah simpanan persaraan atau simpanan hari tua sangat penting untuk menjamin masa depan anda. Biasakan kita akan meletakkan ‘target’ berapa jumlah yang anda mahu setiap tahunnya. Jika anda belum mempunyai, maka sekarang adalah masa terbaik untuk memulakannya. Pisahkan akaun untuk simpanan hari tua dengan akaun pelaburan anda. Pasti kan anda tidak memggunakan simpanan hari tua untuk melabur, kerana hal tersebut sangat berisiko.


 4. Membayar hutang

Periksa keadaan kewangan anda, terutama hutang. Jika boleh dilunaskan sebelum akhir tahun, lunaskan dengan segera. Namun, jika kewangan anda tidak begitu baik, maka, senaraikan hutang-hutang yang perlu dibayar segera dahulu seperti kad kredit atau kereta dan langsaikan hutang-hutang lainnya dalam masa yang sesuai. Maklumkan kepada pihak berkenaan jika tunggakan atau hutang itu tidak dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Selain hutang, juga jangan lupa untuk membayar cukai. Baik cukai pendapatan atau perniagaan. Membayar cukai juga harus menjadi keutamaan anda supaya menjelang awal tahun depan, segala tunggakan ini tidak perlu difikirkan lagi.


5. Insurans Kesihatan


Jika anda mendapatkan insurans daripada syarikat, maka anda patut bersyukur. Namun ada baiknya jika anda mempunyai cadangan untuk mengambil insurans peribadi dan keluarga agar kesihatan dan perawatan untuk semua isi rumah terjamin.

6. Lakukan Pemeriksaan Kesihatan


Salah satu yang jarang dilakukan oleh sebahagian besar masyarakat Malaysia adalah melakukan pemeriksaan kesihatan atau ‘medical check up’. Ia sangat penting kerana anda boleh mengenal pasti dan mengelakkan pelbagai penyakit dengan melakukan pengesanan awal. Bukankah lebih baik mencegah daripada mengubati? Jadi pasti kan anda menyediakan peruntukan dan waktu untuk melakukan pemeriksaan kesihatan. Ingatlah, kesihatan anda adalah pelaburan dan harta terbesar anda, kerana jika tubuh sihat maka anda boleh melakukan pelbagai perkara. Sebaliknya, jika sakit maka harta sebesar mana pun yang anda miliki, boleh habis dalam sekejap.


AveiroPJ - Gagal merancang bererti kita telah bersedia untuk merancang kegagalan. 

Friday, 27 November 2015

Evolusi Telekomunikasi Dalam Kehidupan Manusia

Manusia pada takdir dan dasarnya adalah makhluk sosial yang tidak boleh menjalani hidupnya tanpa adanya komunikasi antara manusia lain. Dalam perkembangan manusia, sudah mengalami beberapa perubahan cara dan gaya berkomunikasi jarak jauh, bermula dengan cara bergantung kepada makhluk ciptaan tuhan (Burung Merpati) sehinggalah alat ciptaan manusia itu sendiri.

Mulai dari pertama kali manusia diciptakan, perkembangan telekomunikasi sudah mula difikirkan agar komunikasi jarak jauh lebih praktikal dan berkesan. Berbagai-bagai cara dilakukan oleh para manusia di setiap zaman di mana sedikit demi sedikit perubahan dilakukan sehingga terus berkembang menjadi sebuah evolusi telekomunikasi seperti yang kita nikmati hari ini.

Perkembangan tidaklah berjalan sesingkat seperti revolusi ataupun reformasi sesuatu pemerintahan. Ia bergantung kepada tahap cara berfikir di setiap zaman, semakin zaman itu berkembang semakin meningkatlah kecerdasan manusia. Berikut adalah sorotan era demi era dan bagaimana kaedah telekomunikasi itu berkembang:

 1. Era Telekomunikasi Dengan Burung Merpati
Menyedari Burung Merpati mempunyai daya naluri navigasi yang semula jadi, ia membuatkan manusia mencipta sebuah inovasi telekomunikasi yang pertama kali dimanfaatkan di Parsi oleh Sultan Baghdad pada tahun 1456. Sultan Baghdad mula memberikan mesej maklumat pada kerajaan-kerajaan di sekitarnya dengan menggunakan Burung Merpati yang sudah dilatih.
Burung Merpati juga digunakan oleh orang Yunani untuk memberikan maklumat para pemenang Olimpik. Kemudian pada tahun 1914-1918 Merpati digunakan oleh para tentera Amerika yang sedang menjalani perang dunia pertama.


 2. Era Telegraf
Pada akhir tahun 1837, manusia berjaya mencipta alat komunikasi untuk pertama kalinya yang dicipta oleh Samuel F.B. Morse. Mesej-mesej yang dikarang dihantar oleh pembekal dengan menggunakan laluan-laluan morse atau lebih dikenali sebagai “kod morse”. Namun penemuan ini masih kurang berkesan kerana yang boleh menggunakan alat ini hanyalah orang-orang yang mengerti mengenai kod dan laluan-laluan morse.



3. Era Telefon
Pada sekitar tahun 1876, Alexander Graham Bell berjaya mencipta inovasi telekomunikasi yang lebih sempurna, iaitu ia mencipta telefon. Inovasi baru ini berjaya mencipta cara telekomunikasi yang lebih efektif dan praktikal kerana tidak perlu lagi menggunakan kod morse yang tidak semua orang faham. Inovasi baru ini boleh digunakan untuk menghantar dan menerima suara antara pemberi dan penerima mesej.


4 Era Telegram
Pada tahun 1920, telegram telah menjadi sebuah teknologi yang menggabungkan sistem telegraf. Telegram mempunyai fungsi menghantar kod yang dihantar oleh telegraf. Penggunaan Telegram lebih murah berbanding menggunakan telefon dan kadarnya berdasarkan seberapa banyak watak dan tanda baca yang digunakan.

5 Era Pager
Era pager muncul pada tahun 1956 yang dipelopori oleh MultiTone Electronic di Hospital St. Thomas, London. Pada saat itu pager digunakan oleh para doktor sahaja, dan selepas itu teknologi itu mula digunakan meluas oleh masyarakat.

6 Era Internet
Pada tahun 1969, Internet muncul yang merupakan kata singkatan dari “Interconnected-Networking”. Sistem ini dipelopori oleh United States of Defense Advance Reasearch Projects Agency (ARPA). Kemudian pada tahun 1983, ARPANET menukar protokol rangkaian pusatnya dari NCP ke TCP / IP, kemudian kekal menjadi Internet seperti yang kita dapati sehingga kini.



7 Era Telefon & Telefon Bimbit
Pada tahun 1973, Martin Cooper dari Motoro
la mencipta alat teknologi yang lebih sempurna dan praktikal, tanpa menggunakan sebarang kabel atau wayar (wireless) untuk berhubung. Ia mudah digunakan untuk bertelekomunikasi jarak jauh dan menghantar mesej ringkas atau SMS (Short Message Service).



8. Era Instant Message & Mobile Chat Messenger
Apabila Internet digunakan secara besar-besaran, muncul sebuah perkembangan penghantaran mesej secara “real-time” atau boleh menghantar mesej-mesej ringkas secara santai dan bebas. Teknologi ini dipopularkan oleh America Online (AOL). Selepas inovasi ini muncul, Yahoo, Google dan Microsoft juga mengeluarkan perkhidmatan yang lebih kurang sama dengan nama Yahoo Massangger, Google+ dan Live Mesengger.



Penggunaan teknologi ini lebih praktikal, berkesan, dan relatif lebih murah dibandingkan SMS. 

Kita juga boleh membuat ‘group chat’ yang memudahkan ahli-ahli dalam ‘group chat’ untuk saling menghantar mesej secara serentak dengan lebih daripada dua orang pengguna perkhidmatan tersebut.

Kesimpulannya, setelah dilihat dari sejarahnya, ia jelas menunjukkan manusia sangat memerlukan alat untuk berkomunikasi yang semakin canggih, kerana semakin keperluan manusia meningkat, semakin tinggi lah keperluan mereka akan maklumat yang cepat,
pantas dan mudah. Namun di sebalik perkembangan teknologi yang semakin canggih, ada juga perspektif negatif di mana terkadang mesej yang disampaikan sering mengalami perbezaan tafsiran oleh si penerima mesej kerana komunikasi yang dilakukan antara penyampai tidak mempunyai intonasi bahasa yang sesuai atau betul. 

AveiroPJ - Sebagai masyarakat yang berhemah, kita seharusnya mengembangkan teknologi dan memanfaatkan kesan positifnya, dan mengelak serta meninggalkan kesan buruknya. Dengan begitu, sinergi dalam berkomunikasi boleh berjalan dengan harmoni.

Wednesday, 25 November 2015

Faedah Seni Mempertahankan Diri

Dalam era globalisasi ini, isu-isu tentang seni mempertahankan diri sudah menjadi 'buah mulut' orang ramai. Ramai orang terutamanya golongan ibu bapa amat menggalakkan anak-anak mereka mempelajari seni mempertahankan diri. Terdapat banyak jenis seni mempertahankan diri, antaranya ialah Silat, Wushu, Taekwando, Karate, dan sebagainya. Persoalannya, apakah faedah-faedah seni mempertahankan diri ini?


Mungkin sesetengah masyarakat berfikir bahawa jika anak-anak didedahkan kepada seni mempertahankan diri, mereka akan menjadi keras, brutal, dan suka menggunakannya untuk kepentingan diri sendiri. Perkara ini mungkin akan terjadi, tetapi jika difikirkan pada perspektif yang positif, ia lebih memberi manfaat daripada memberi kesan yang tidak baik atau negatif. Berikut adalah kesan-kesan positif yang mereka dapat jika mempelajari seni mempertahankan diri:

1. Kecergasan Fizikal
Latihan dan program intensif dapat membantu meningkatkan pengembangan kardiovaskular anak, dapat menguatkan otot, di samping dapat menyihatkan tubuh badan kita. Gerakan-gerakan yang dilakukan semasa mempelajari seni mempertahankan diri juga sebenarnya adalah senaman yang dapat membantu menguatkan otot-otot dan anggota badan kita. Bila badan kita cergas secara tidak langsung otak juga akan cerdas bak kata pepatah 'badan sihat otak cerdas'. Badan yang sihat dapat membantu mengurangkan risiko dihinggapi penyakit kerana dengan bersenam akan dapat meningkatkan kadar nadi dan mencegah pengerasan arteri, serta dapat mengurangkan tekanan darah tinggi. Arteri yang keras merupakan penyebab utama berlakunya tekanan darah tinggi yang boleh membawa penyakit jantung dan angin ahmar.



2. Disiplin
Definisi 'disiplin' dalam konteks ini adalah bermaksud: "melakukan apa yang harus dilakukan walaupun tiada keinginan melakukannya”. Melalui seni mempertahankan diri, ia mengajar anak-anak untuk berdisiplin, lebih mengawal diri dan konsentrasi. Banyak aliran mempertahankan diri yang mengajarkan teknik khusus dengan pelatih profesional untuk memberi 'fokus' pada penguasaan teknik dan pengawalan pergerakan. Kemungkinan teknik baru agak sukar pada awalnya. Namun stimulus untuk menciptakan keinginan mencapai peringkat yang lebih tinggi membuat mereka disiplin.

3. Menghormati
Kebanyakan seni mempertahankan diri mengajarkan untuk menghormati orang dari pelbagai peringkat usia, pangkat, keahlian, dan pengalaman. Peringkat yang lebih tinggi menunjukkan keahlian yang tinggi dan apabila mereka mencapai peringkat tertentu, mereka boleh menurunkan pengetahuan mereka kepada orang lain. Dengan demikian, anak-anak akan belajar bagaimana memperlakukan orang dengan hormat, di dalam aktiviti mahupun di luar tempat latihan.

4. Keseimbangan
Latihan seni mempertahankan diri dapat membantu mereka memberikan keseimbangan jasmani dan rohani dan juga dapat mempelajari teknik-teknik tentang bagaimana mencegah kecederaan.



5. Menghilangkan Stress
Beberapa aliran seni mempertahankan diri mengajarkan teknik 'meditasi' sejak awal mulai latihan. Dengan latihan dan rutin yang terancang, anak-anak dapat melepaskan tenaga negatif dari badan. Dengan cara ini, mereka dapat meredakan kemarahan, dan sentiasa tenang.

Menyertai seni mempertahankan diri juga adalah satu wadah yang paling baik untuk menambah kenalan dan bersosial. Di samping berlatih, kita juga boleh berinteraksi dengan rakan-rakan lain. Secara tidak langsung kita boleh berkongsi pengalaman dan juga menambah pengetahuan melalui perbualan dan perbincangan bersama-sama rakan sepelatih. Kita boleh bertukar-tukar pengetahuan bukan sahaja mengenai seni pertahan diri, tetapi boleh juga bertukar-tukar pendapat mengenai isu semasa dan juga kerja sekolah. Dengan ini, pengetahuan kita akan bertambah luas dan ilmu kita akan bertambah banyak.


Konklusinya, seni mempertahankan diri memang banyak mendatangkan faedah kepada kita. Semua pihak perlu berganding bahu, bersama-sama mengembangkan seni mempertahankan diri di dalam masyarakat. Ibu bapa perlu memberikan galakan sepenuhnya sekiranya anak mereka ingin mempelajari seni mempertahankan diri. Selain dari dapat mempertahankan diri sendiri, seni mempertahankan diri juga mampu membentuk akhlak dan pekerti yang murni, meningkatkan keyakinan dan jati diri, dan juga menyemai ikatan persaudaraan di kalangan ahlinya dan seterusnya kepada masyarakat. Di samping itu juga, seni mempertahankan diri juga mampu membentuk sahsiah yang tinggi dan melahirkan masyarakat yang mempunyai kesetiaan dan kecintaan terhadap negara.

AveiroPJ - jika sudah belajar, jangan tunjuk gengster pulak..sebaliknya gunakanlah sebaik-baik ilmu itu.. =)

Tuesday, 24 November 2015

Budaya Bertindik Bagi Lelaki Melayu

Agama, adat dan budaya adalah satu istilah yang berlainan. Di zaman yang semakin canggih ini, manusia sudah mula meminggirkan agama dalam hidupnya. Adat pula semakin jauh ditinggalkan, manakala budaya yang ada sering berubah-ubah mengikut peredaran zaman dan trend semasa. 

Secara ringkasnya, satu budaya yang kini mula menular di kalangan masyarakat lelaki berbangsa Melayu yang sinonim dengan agama Islam telah mula berani mempamerkan budaya-budaya yang jelas bercanggah dengan hukum hakam syariat Islam

Amalan bertindik merupakan satu amalan yang mula menjadi trend remaja masa kini. Kebiasaan masyarakat Melayu di Malaysia sejak dahulu mengenali amalan bertindik ini hanya terbatas di bahagian telinga. Namun, masa merubah segala dengan perkembangan teknologi dan pengaruh budaya luar membuatkan semakin ramai yang bertindik di bahagian selain dari telinga, seperti di pusat, lidah, bibir dan kening. Malah ia sudah mula melarat kepada golongan lelaki.


Berdasarkan kepada hadis Nabi SAW riwayat Al-Bukhari dari Ibnu Abbas mengatakan:“Nabi SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki. “Pendapat ini juga disokong oleh Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami di dalam kitab karangan beliau Tuhfatul Muhtaj yang mana beliau mengharuskan tindik itu bagi perempuan dan haram bagi lelaki.

Jika lelaki berbangsa Cina ataupun India memakai tindik telinga tersebut adalah tidak menghairankan kerana ada yang mengatakan itu adat dan kepercayaan agama mereka. Tetapi pemakaian tindik telinga di kalangan lelaki Melayu yang beragama Islam jelas melanggar hukum syarak. Walaupun ada yang mengatakan pakai hanya suka-suka, namun ia tetap haram dan berdosa.


Dalam perspektif dan konteks isu ini, seharusnya pihak majlis fatwa dan JAKIM perlu tegas mewartakan fatwa pemakaian tindik telinga di kalangan lelaki Islam dengan seberapa segera. Begitu juga dengan para-para Ulama sewajarnya peka dalam mengemukakan pendirian yang tegas dalam isu-isu yang melibatkan soal akhlak dan akidah umat Islam.

Semoga Allah menjauhkan kita dan ahli keluarga kita daripada budaya ikut-ikutan yang hanya akan membawa kita ke neraka jahannam. Amin ya Rabbal alamin..

AveiroPJ - Jangan nanti bila budaya tersebut kian membarah dan bernanah, barulah masing2 bergegas untuk mengambil bermacam-macam tindakan yang akhirnya tiada kesudahan...renung-renungkan =)


Monday, 23 November 2015

Steroid Di Kalangan Remaja

Penggunaan steroid di kalangan atlet profesional adalah fakta yang terkenal. Namun, banyak orang yang tidak menyedari bahawa penggunaan steroid telah mula menjadi masalah di sekolah menengah, terutama di kalangan mereka yang terlibat dalam sukan. Tidak menjadi perkara mengejutkan apabila remaja mula menggunakan steroid, dan mengalami kesan sampingan negatif daripada penggunaan nya itu.
Apabila ditanya mengapa menggunakan steroid pada waktu umur yang muda, alasan mahukan otot-otot tubuh yang tegap dan maskulin menjadi alasan utama para remaja lelaki untuk membina otot, tetapi sayangnya dengan cara yang salah.


Kajian yang dilakukan terhadap 2,800 pelajar di Amerika Syarikat baru-baru ini juga menunjukkan satu dari nisbah 3 (1:3) remaja lelaki satu dari nisbah lima (1:5) remaja perempuan secara rutin mengambil serbuk protein atau ‘protein shake’ dan pembina otot non-steroid seperti’ Kreatin’.

Steroid anabolik juga sering dikaitkan dengan pembina badan dan atlet, tetapi ramai orang muda mula mengambil steroid haram untuk meningkatkan saiz mereka, kekuatan, atau jisim otot mereka.
Para ibu bapa seharusnya mengambil langkah berwaspada dengan trend ini kerana kesan sampingan penggunaan steroid cukup berat.

Steroid boleh merosakkan organ utama, termasuk jantung, buah pinggang, dan hati. Steroid juga boleh mengganggu perkembangan hormon, mengganggu perilaku sehingga membuat emosi anak menjadi tidak stabil. Penggunaan steroid boleh membuat pertumbuhan tulang berhenti sebelum waktunya. Ini bermakna anak tidak boleh mencapai ketinggian dewasa yang sepatutnya.

Oleh itu, untuk panduan ibu bapa,  jika anak menunjukkan perilaku yang berbeza, seperti menjadi lebih agresif, taksub pada bentuk tubuh sendiri, atau mempunyai perubahan nafsu makan yang dramatik, lakukan pemeriksaan contoh air kencing dan sampel darah secara berkala supaya anak boleh dikenal pasti sama ada mereka menggunakan steroid atau tidak.



AveiroPJ - dah macam ayam pulak manusia sekarang nie..cucuk-cucuk.. =)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...