Dalam menjalani kehidupan ini kita seharusnya bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Nikmat yang kita perolehi meliputi dari hujung rambut ke hujung kaki. Kita menganggap berjalan menggunakan kedua-dua belah kaki kita adalah perkara biasa sedangkan ramai manusia yang tidak mempunyai kaki. Adakah anda tidak merasai nikmat memejamkan mata dan tidur lena sedang masih ramai yang tidak tidur kerana menanggung kesakitan? Tidakkah anda merasai nikmat rumah yang selesa sedang ramai yang bergelandangan di tepi-tepi jalan? Ramai yang tidak dapat merasa nikmat makanan yang enak-enak kerana penyakit yang mereka deritai.
Perhatikan tubuh anda dan panca indera yang diberikan kepada anda. Bayangkan sekiranya anda tidak mempunyai telinga untuk mendengar, tidak ada mata untuk melihat dan tidak ada lidah untuk berkata-kata. Adakah anda akan merasa bahagia sekiranya tidak mempunyai otak yang sihat? Anda terhindar daripada dipanggil orang gila kerana dikurniakan akal yang sihat. Adakah anda sanggup menukar penglihatan dengan wang jutaan ringgit, menggantikan pendengaran anda dengan timbunan emas dan perak, menjual lidah anda dengan istana menjulang tinggi atau menggantikan tangan dan kaki anda dengan kilauan berlian tapi kaki dan tangan anda kudung.? Betapa besar nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita, tapi kita seolah-olah tidak menyedarinya.
AZMU: Renungkanlah dan bersuyukurlah dengan nikmat yang dikurniakan.
