Berkhatan adalah istilah yang digunakan untuk pembedahan kecil di mana sebahagian dari kulit yang berlebihan pada hujung zakar (preputial skin) dibuang. Ia juga dikenali dengan sunat atau dalam bahasa Inggeris dinamakan 'circumcision'.
Indikasi
Secara lazimnya kebanyakan prosedur khatan yang dilakukan di Malaysia dilakukan kerana tuntutan agama ataupun dinamakan ' ritual circumcision' di mana prosedur khatan itu dilakukan pada zakar yang normal. Sebab-sebab perubatan yang mungkin memerlukan khatan adalah keadaan yang dipanggil 'phimosis' di mana pembukaan kulit pada hujung terlalu sempit dan menghalang aliran kencing atau paraphimosis akibat kulit hujung zakar tersekat di belakang glans.
Terdapat juga beberapa kes di mana khatan dilakukan atas sebab-sebab perubatan di mana terdapat kelainan pada kulit zakar atau khatan dilakukan untuk memudahkan memasukan tiub dalam saluran kencing bagi pesakit yang perlu melakukan 'clean self catheterization'. Keadaan seperti pundi kencing yang tidak dapat berfungsi dengan baik juga dapat mendedahkan pesakit untuk mendapat jangkitan saluran kencing, keadaan ini memerlukan kencing dikeluarkan dari pundi kencing dengan memasukan tiub ke dalam saluran kencing, untuk memudahkan pesakit memasukkan tiub dalam saluran kencing, maka kulit yang berlebihan di hujung zakar dibuang dengan prosedur khatan. Terdapat juga kes di mana khatan perlu dilakukan kerana kecederaan pada kulit di hujung seperti apabila kulit pada zakar tersepit dengan zip.
Teknik Berkhatan
Secara lazimnya terdapat dua peringkat usia utama di mana khatan dilakukan, iaitu semasa bayi baru lahir ataupun dipanggil 'neonatal circumcission' dan juga semasa umur kanak-kanak mencecah sekitar umur 7 - 12 tahun. Khatan juga dilakukan sebagai prosedur sampingan semasa melakukan pembedahan seperti pembedahan hernia.
1 comment:
TERIMA KASIH;-) TERUS BERKUNJUNG KE SINI YE
Post a Comment