Followers

Monday, 9 July 2012

Burung Enggang di Pangkor?



Burung enggang merupakan salah satu spesies burung yang unik dengan  paruh dan saiz yang besar serta warna  menarik yang terdapat padanya. Burung Enggang ini juga terdapat banyak di sekitar negeri Sarawak dan menjadi salah satu daya tarikan  pelancong untuk melihat keunikan burung enggang yang banyak terdapat disana. Oleh sebab banyaknya burung enggang di sana menyebabkan negeri Sarawak di kenali dengan nama “Bumi Kenyalang’. 


 Dalam percutian singkat bersama seorang rakan ke Pulau Pangkor  pertengahan bulan yang lalu, saya telah berpeluang untuk melihat  sendiri burung enggang yang dikatakan kebiasaannya  banyak terdapat di Sarawak. Siapa sangka di Pulau Pangkor juga terdapat banyak burung daripada spesies enggang ini. Antara waktu yang sesuai untuk melihat burung enggang ini di pangkor adalah pada waktu pagi di mana burung ini keluar mencari makan dengan memakan sisa makanan yang di tinggalkan oleh pengunjung. Burung enggang di sini  sudah biasa dengan kehadiran pengunjung jadi tidak hairan jika burung ini jinak dan dapat dilihat dalam jarak kira-kira satu meter daripada pandangan kita.

Seperti yang kita ketahui burung ini adalah salah satu spesies burung yang di lindungi di Malaysia. Oleh itu, bagi pengunjung yang bercuti ke Pulau Pangkor jangan lupa untuk pergi ke pantai Teluk Nipah yang sememangnya mempunyai pemandangan yang cantik dan menenteramkan ditambah pula melihat gelagat burung enggang yang banyak terdapat di sekitar pantai tersebut.


Rashid: Pantai Teluk Nipah sememangnya tempat yang menarik untuk dikunjungi dan pemandangannya sangat mendamaikan jiwa. Bagi yang berminat untuk ke sana, rakan saya sedia menawarkan perkhidmatan sebagai pemandu pelancong di sana. ;-). 

10 comments:

Anonymous said...

Bila agak-agak sdr nak ke sana lagi? Kalau ada kesempatan, saya pun nak buat lawatan ulangan untuk berjumpa kawan-kawan di sana. Selain dapat makan hasil laut yang segar, pemandangan sewaktu matahari hampir terbenam di Pangkor juga sungguh mengasyikkan.

Mengenai enggang yang sdr ceritakan tu, saya sempat cuba-cuba menulis serangkap pantun ketika melihat sepasang burung itu bertandang di beranda tempat saya menginap ketika berada di Teluk Nipah bulan lepas. Begini pantunnya, tapi maaf, tak sedap sebab baru nak belajar menulis:

Jinak enggang di teluk tenang
terbang merbah membawa diri
Kasih yang hilang jangan dikenang
Kelak menambah luka di hati

-- Balanglama

Rashid said...

insyallah jika ada kesempatan waktu dan dipanjangkan usia pasti ingin kesana untuk melihat suasana matahari terbenam lagi.....sungguh indah pantun yg saudara coretkan...

dari pangkor singgah ke Klang
singgah ke Taqwa makan capati
kasih yang lama masih terkenang
agar dapat bersua nanti

Rashid said...

Terima Kasih kepada saudara Balang Lama...insyallah jika ada kesempatan masa ingin lagi saya kesana melihat matahari terbenam...fenomena yang sangat menakjubkan...Seiring pantun saudara, saya coretkan pantun yang mgkin tidak seelok mana...Kes belajar belum tamat ni...

Dari pangkor singgah ke Klang
Singgah di kedai makan capati
Kekasih jauh kian terkenang
Kelak dapat bersua nanti

Rakan 1Klik said...

terima kasih saudara

Rakan 1Klik said...

balanglama tak nak hantar artikel lagi ke?ada followers yang tanya. dan rindu hasil mata pena balanglama

Anonymous said...

Terima kasih Rakan 1Klik kerana masih mengingati saya. Terima kasih juga atas pelawaan agar saya menulis untuk laman ni. Tapi, oleh kerana saya dah jadi orang luar, tak wajarlah rasanya saya menghantar artikel untuk laman ni. Sekadar menghantar komen sekali-sekala tu bolehlah, berdasarkan kedudukan saya sebagai pengikut laman ni. Lagipun, tulisan saya dulu-dulu tu sekadar memenuhi arahan dan tuntutan tugas. Tak ada kualiti pun kerana tak pernah mengikuti pengajian dalam bidang penulisan. Saya malu pada pembaca dan rakan-rakan di PDN yang lebih berkelayakan dalam bidang penulisan.

-- Balanglama

panggilan pulau said...

Tapi saya rasa Balang Lama kalau dapat sumbangkan penulisan beliau pun satu penghargaan kepada kami pembaca setia blog 1klik ini....Saya salah seorang yang suka membaca tulisan yang dihasilkan oleh saudara Balang Lama....Harap adalah penulisan yang disumbangkan oleh saudara

Kakba said...

Pantun yg tak seumpamnya ini didedikasikan kepada Balang lama..

malam dihias si kuang-kunang
lautan dalam dipenuhi karang
kekasih lama sudah bertunang
sudah menjadi miliknya orang

Rakan 1Klik said...

cik taring : wah! pasal burung enggang je banyak coment ye..salam ukhwah dr cik taring,,,heheh

Anonymous said...

Terima kasih Kakba.

Sebenarnya, saya tulis pantun tu untuk suka-suka saja. Tak ada kena-mengena dengan kisah diri saya. Pantun fiksyen le katakan. Lagipun, saya tak perasan yang mana satu dah bertunang tu, maklumlah banyak kan!

Tapi, tak elok pulak rasanya kalau tak dibalas pantun yang ditujukan kepada saya tu. Begini bunyinya:

Lautan dalam dipenuhi karang
tempat mencuci pisau belati
walau dah jadi miliknya orang
cinta yang suci bawa ke mati

Bunga melati daunnya jarang
pohon ketapang tepi seroja
buah hati tunangan orang
saya menumpang gembira saja

-- Balanglama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...