Followers

Showing posts with label Uchee. Show all posts
Showing posts with label Uchee. Show all posts

Tuesday, 30 July 2013

REMAJA DAN ERTI KEMERDEKAAN

Setiap tahun pada 31 Ogos negara menyambut hari kemerdekaan. Hari yang disambut setiap tahun dengan pelbagai acara dan sambutan yang meriah tentunya saban tahun tarikh ini pasti tidak akan dilupakan oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia.

Tahun ini, bulan kemerdekaan jatuh pada bulan syawal. Walaupun kita menyambut aidilfitri tetapi kita tetap tidak melupakan hari kemerdekaan yang kita sambut setiap tahun.
 
Memperkatakan tentang kemerdekaan kita hendaklah mengetahui makna kemerdekaan dan penghayatan kemerdekaan itu sendiri. Seluruh warga negara, khususnya para remaja dan generasi muda kini amat perlu memahami makna sebenar kemerdekaan.
 
Perutusan Hari Kemerdekaan, Perdana Menteri mengungkapkan “Segala yang kita capai, segala apa yang kita bina dan segala apa yang kita hargai boleh hancur berkecai dan musnah dalam sekelip mata. Oleh itu, kita perlu menghargai keamanan, keharmonian dan kestabilan yang ada”.
 
Apakah generasi masa kini benar-benar mengerti makna kemerdekaan itu sebenarnya? Apakah mereka benar-benar tahu susah payah generasi silam memperjuangkan kemerdekaan yang kita nikmati hari ini?
 
Sejak kebelakangan ini ada suara yang mengatakan bahawa semangat patriotik di jiwa remaja dan generasi masa kini semakin menipis. Generasi masa kini tidak kuat semangat cintakan negara dan bangsa sendiri.
 
‘Remaja hari ini adalah pemimpin masa hadapan’. Jika remaja hari ini tidak mempunyai jati diri yang teguh, kukuh dan ampuh, bayangkan apa akan terjadi kepada bangsa dan tanah air kita 25 tahun akan datang?
 
Remaja hari ini hendaklah lebih banyak didedahkan kepada sejarah tanah air dan bangsa sendiri. Malah didedahkan dengan susur galur sejarah bangsa yang menjadi teras perjuangan dalam menuntut kemerdekaan negara. Jka sejarah tidak disuburkan dan dititikberatkan, mana mungkin semangat patriotic dapat dipupuk dan disebarluaskan di kalangan generasi muda kita.
 
Benarlah kata pendapat, sejarah itu amat penting dalam membentuk jati diri dan perpaduan bagi melahirkan masyarakat sejahtera dan sayangkan negara. Jika sejarah disisihkan daripada diajar dari dipelajari, percayalah jiwa generasi muda sukar dibentuk untuk sayangkan bangsa dan negara. padahnya warga akan hilang rasa patriotik.

Uchee: 56 tahun sudah Malaysia merdeka..

Thursday, 17 May 2012

Kerabu Bronok Hanya Di Langkawi



Mendengarkan namanya jer kita semua sudah pelik, apatah lagi dengan melihatkan bentuknya. Tentu kita tertanya apakah haiwan ini? 

Bronok ini adalah sejenis makanan laut yang boleh ditemui di Pulau Langkawi sahaja. Di Langkawi mereka mengatakan bronok ini adalah sejenis haiwan dan ada juga yang mengatakan bronok ini adalah gamat laut. Manakala ada juga yang berpendapat bronok ini adalah ulat sagu berbogel.

Bronok ini boleh didapati di tepi pantai yang berlumpur. Bronok ini boleh dimakan mentah ataupun dibuat kerabu kerana bronok ini tidak boleh dimasak kerana ia akan cair apabila dimasak. Bronok ini akan dicuci terlebih dahulu sebelum dimakan, mereka akan membuang tahi dan isi bronok ini dan kemudian mengocak-ngocaknya di dalam air bersih dan terus dimakan.

Manakala untuk dibuat kerabu bronok ini akan dihiris-hiris terlebih dahulu sebelum dijadikan kerabu kemudian digaul dengan bahan-bahan seperti kerisik, bawang dan sebagainya untuk dijadikan kerabu. Bronok ini rasanya sedikit masin.

 Bronok yang baru ditangkap dari laut


Bronok yang sudah dijadikan kerabu

Uchee: Tak pernah makan bronok. Tapi makcik kata, sedap macam sotong tu. 

Tuesday, 15 November 2011

Kerajaan Ambil Berat Perkhidmatan Kesihatan Rakyat

Salam 1Malaysia..



Uchee nak berkongsi sedikit mengenai bajet 2012 yang dibentangkan baru-baru ini. Uchee percaya semua kita menunggu Bajet 2010 ini. Kita semua sedia maklum yang Kerajaan sentiasa menitik beratkan kesihatan rakyat. Oleh sebab keprihatinan yang begitu tinggi terhadap kesihatan, melalui bajet 2012 ini kerajaan telah memberi peruntukkan untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan. Kerajaan akan sentiasa memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik, terutamanya rawatan yang lebih berkualiti. 

Di dalam bajet 2012 ini untuk sektor perkhidmatan kesihatan ini akan diperuntukkan sebanyak 15 bilion ringgit untuk perbelanjaan mengurus dan juga 1.8 bilion ringgit untuk perbelanjaan pembangunan. Peruntukkan ini akan melibatkan pembinaan dan juga menaik taraf hospital. Selain itu, kerajaan juga akan menambah baik 81 buah klinik kesihatan luar bandar di seluruh negara dan membuka 50 lagi klinik 1Malaysia. Klinik 1Malaysia ini dapat membantu menjaga kesihatan rakyat, khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan juga miskin bandar.

Demi menjaga keselesaan rakyat, Hospital Kuala Lumpur yang sentiasa dikunjungi seramai 3,000 pesakit luar hampir setiap hari ini akan dinaiktaraf supaya dilengkapi dengan peralatan canggih dengan peruntukkan 300 juta ringgit. HKL merupakan hospital yang berusia 141 tahun dan juga merupakan hospital tertua di Malaysia. Selain itu 50 juta ringgit lagi akan digunakan untuk membina sebuah sayap bagi Hospital Kuala Lumpur (HKL) khusus untuk rawatan pesakit luar.

Selain peruntukkan bagi pembangunan, kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan elaun on-call semalaman antara 30 hingga 80 ringgit. Keprihatinan kerajaan terhadap beban kerja pegawai perubatan ini kerana bertugas melebihi 45 hingga 120 jam seminggu demi memastikan kesejahteraan rakyat. Oleh itu, kerajaan telah memperkenalkan jadual kerja luwes atau fleksi, di mana waktu kerja di jadual semula kepada purata 60 jam seminggu dan memperkenalkan elaun khas Waktu bekerja Fleksi sebanyak 600 ringgit sebulan berkuat kuasa 1 September 2011.






Uchee: Banyak jasa Kerajaan dalam menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Oleh itu, kita ni kenalah sentiasa bersyukur dengan ape yang kita miliki hari ini.

Tuesday, 13 September 2011

Duit raya, Tradisi atau Bermegah?

Selamat Hari Raya, rasanya tak terlambat lagi Uchee buat ucapan raya ni. Bulan September, kita masih lagi dalam bulan raya. Maklumlah puasa sebulan, raya pun mestilah sebulan kan. Mana meriah kalau raya tak sebulan. Bulan raya ni yang seronoknya tentulah kanak-kanak kerana sibuk dengan duit raya, kitalah yang pokai sebab kena bagi duit raya. Kanak-kanak ni asyik mengira duit raya siapa yang paling banyak dapat. Pemberian Duit raya yang diberi semasa sambutan hari raya Aidilfitri atau Angpau yang diberi semasa tahun baru Cina kini menjadi trend masyarakat kita di negara ini. Pemberian duit raya yang wajib diberi setiap kali munculnya sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah merupakan sesuatu yang amat ditunggu terutamanya kanak-kanak. Persoalannya adakah pemberian itu adalah untuk bermegah atau ikhlas?

Pemberian duit raya kini terpulang kepada niat individu tersebut. Sama ada niat individu tersebut untuk menunjuk-nunjuk ataupun lebih kepada keikhlasan itu diri individu itu sahaja yang lebih tahu. Sebenarnya, nilai pemberian adalah tidak penting. Biarpun RM1 pemberian duit raya dengan ikhlas pasti mendapat pahala sedekah daripada Allah. Malah, nilai duit raya tidak sama dengan nilai keikhlasan hati. Segala pemberian itu haruslah disulami dengan niat yang suci. 

Ada setengah orang yang berpendapat duit raya yang diberi dianggap sedekah jika pemberian itu bersulamkan keikhlasan, dan ia akan dianggap bermegah jika ada niat untuk menunjuk-nunjuk semasa memberi. Kita juga tidak elok riak atau bermegah semasa memberi.  Uchee setuju kalau kita niat bersedekah kepada kanak-kanak ini. Sebenarnya pemberian duit raya ini hendaklah diberi mengikut kemampuan kita, jangan ingat kita ni gaji besar nak bagi duit raya pun nak bagi banyak je, last-last kita gak yang akan rasa bila duit dah habis. Masa tu diri sendiri yang merana. Sebenarnya pemberian duit raya ni, dapat memupuk budaya menyimpan atau menabung di kalangan kanak-kanak. Ajar dan tanamkan sifat menabung bermula dari kecil. 

Beritahu mereka duit yang mereka dapat itu hendaklah disimpan dan bukan untuk dibelanjakan. Dan adalah penting untuk kita juga mengajar anak-anak kita tidak meminta-minta. Sekarang ni Uchee tengok anak-anak sekarang ni, jika berkunjung ke rumah mesti minta duit semasa nak balik. Cara kanak-kanak ni minta duit tu menjerit pula tu. Ibu bapa kena memberi nasihat kepada mereka ini.


 






Uchee: Kalau nak bagi biarlah ikhlas…

Thursday, 4 August 2011

Ramadhan Bulan Yang Baik

Ramadhan datang lagi. Alhamdulillah, panjang usia kita dan dapat kita berpuasa lagi pada tahun ini. Setiap tahun kita berdoa agar kita boleh berjumpa dengan bulan yang baik dan mulia ini iaitu ulan Ramadhan. Seperti mana yang kita semua sedia maklum berpuasa adalah diwajibkan ke atas tiap-tiap orang. Puasa yang diwajibkan Allah.

 “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (surah al-Baqarah :183). 


Puasa ertinya menahan diri dari lapar dan juga dahaga dan juga dari perbuatan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa. Berpuasa merupakan tugas yang tidak ternilai faedahnya bagi umat islam kerana di bulan ini Allah melipat kali gandakan amalan yang dibuat oleh cucu-cucu adam ini. Puasa adalah medan latihan bagi kesabaran, kejujuran dan bertolak ansur sesama sendiri. Ini secara tidak langsung puasa mengajar seseorang sikap yang baik dan berbudi. Nabi Muhammad s.a.w juga memperincikan Ramadhan ini seperti berikut :
           
“Hai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang mulia, bulan rahmat… di mana bulan ini mewajibkan kamu berpuasa di siang hari dan sukarela bersolat pada malamnya. Barang siapa yang mendekati Allah dengan melakukan segala amalan sunat di bulan ini akan menerima ganjaran seperti melakukan amalan wajib di lain hari. Ini merupakan bulan kesabaran dan kesabaran itu imbuhannya syurga. Ini juga bulan sedekah dan bulan di mana rezeki orang beriman bertambah.. “ (diriwayatkan Ibn Khuzaymah)

 Bulan ini adalah bulan yang bukan sahaja kita semua menahan diri daripada lapar, tetapi juga menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah. Seperti bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah, membuat perkara yang dilarang oleh Allah, berdusta dan juga mengumpat. Semua itu hendaklah dielakkan supaya kita tidak menjadikan bulan ini adalah bulan yang sia-sia.  Bulan ini juga mengajar kita lebih bersabar, bersabar dalam melakukan semua perkara, kerana dengan adanya sifat sabar dalam diri kita membuatkan kita menjadi orang yang lebih baik. Dalam bulan Ramadhan ini juga kita disarankan agar memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti membaca al-quran, menghadiri majlis-majlis ilmu, solat tarawikh, solat malam dan juga memperbanyakkan sedekah di bulan yang mulia ini. Di bulan ini juga kita hendaklah banyak mengingati Allah. Nabi Muhammad s.a.w akan selalu bertafakur, membaca quran, melihat kebesaran Allah , berzikir dan sebagainya. 

Selain daripada itu, puasa ini juga memberi kita kebaikan dari segi fizikal iaitu apabila kita berpuasa kita boleh menjadikan tubuh badan kita lebih sihat. Melalui berpuasa tubuh badan kita mengalami proses detoksifikasi iaitu proses pembuangan toksik atau racun dari badan kita. ini kerana, organ dalaman tidak terlalu beban untuk memproses makanan yang kita makan selalu pada ketika bukan berpuasa. Emosi kita juga akan menjadi lebih tenang ketika menjalani ibadah berpuasa ini. Kita akan selalu memikirkan dan membuat perkara-perkara yang baik iaitu perkara yang boleh mendatangkan pahala di bulan yang baik ini.


 





Uchee: Jangan jadikan puasa itu satu yang membebankan, just enjoy jer… 




Monday, 25 July 2011

Senyuman

‘Senyum seindah suria, yang membawa cahaya, senyum lah dari hati, dunia mu berseri’.. kita mesti biasa dengar lirik lagu ni kan. Mulakan lah hari dengan senyuman bukan sahaja menceriakan hidup anda tetapi banyak memberi kebaikan kepada kesihatan. Menurut kajian yang dijalankan senyuman bukan sahaja reaksi gerak muka tetapi juga ada kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi. Senyuman juga mampu membuatkan orang lain juga senang dengan kita. Kenapa kita susah untuk melemparkan senyuman sedangkan senyuman itu merupakan perkara paling senang untuk kita lakukan, selain itu juga ia menunjukkan sifat peribadi kita walaupun orang itu tidak mengenali kita. 

Cukuplah dengan senyuman kita mampu menyatakan sifat kita sendiri seperti sifat yang menyenangkan orang lain. Jika kita sentiasa mengerutkan wajah kita, kerutan itu menunjukkan bahawa kita mempunyai masalah yang tersendiri. Senyum juga dapat menghilangkan stress. Kita dapat melupakan “stress” yang kita hadapi  dengan hanya senyuman dan juga ketawa. Kajian menyatakan kanak-kanak lebih banyak ketawa dari orang dewasa, kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun ketawa 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali sehari di kalangan orang dewasa. Justeru itu tidak hairan lah orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta banyak mengalami masalah kemurungan dan juga tekanan perasaan. 

Senyuman itu adalah anugerah yang terindah yang Allah kurniakan, ia adalah sebahagian keindahan yang diberikan untuk setiap manusia. Kita hendaklah menghargainya. Dari segi penyembuhan penyakit, senyuman boleh merendahkan tekanan darah dan juga menambahkan kemasukan oksigen dalam darah, ini adalah secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan yang tinggi. Selain itu ia juga merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, artiritis dan ulser. 

Senyuman yang diakhiri dengan ketawa adalah senaman yang baik sekali gus dapat memperbaiki fungsi usus. Ini bermakna tiada lah tekanan untuk kita membuang air besar. Selain memberi kebaikan terhadap sistem tubuh dalam Islam sendiri menyatakan senyuman itu adalah satu sedekah, senyum itu tidak memerlukan modal yang banyak hanya dengan sedikit rasa ikhlas tentunya senyuman yang dilahirkan itu adalah senyuman yang sangat manis. Senyuman juga mampu menyejukkan hati yang sedang marah dan mampu memulakan ikatan yang baru.

 







Uchee: Senyuman yang manis lahir dari hati yang ikhlas…

Monday, 18 July 2011

Jalan-jalan di Jonker Walk

Hujung minggu lepas Uchee dan keluarga telah pergi bercuti ke Melaka. Kami bermalam di Melaka selama 2 hari 1 malam. Perjalanan yang mengambil masa selama 1 ½ jam dari Kuala Lumpur dengan melalui lebuh raya Plus adalah perjalanan yang tidak mengambil masa yang begitu lama. Di Melaka kami menginap di ‘Home Stay’ yang berhampiran dengan bandar Melaka iaitu Bandar Hilir. Melaka diberi gelaran bandar raya bersejarah kerana ia merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sejarah. Seperti yang kita ketahui sejarah Melaka bermula dengan kesultanan Melaka bermula dengan kedatangan Parameswara iaitu seorang Raja Srivijaya dari Palembang yang memerintah pada tahun 1400 hingga 1424. Melaka mendapat nama sempena nama pohon tempat di mana Parameswara berteduh. Pada ketika itu, satu perkara ganjil telah berlaku di mana anjing-anjing diraja telah ditendang oleh seekor kancil putih. Melihatkan perkara itu Parameswara merasa kagum dan memerintahkan agar tempat tersebut dibuka dan diberi nama Melaka.

Bukan sejarah yang uchee ingin kongsikan tetapi tempat membeli belah di waktu malam yang dikenali dengan Jonker Walk yang ingin Uchee kongsikan. Tempat ‘shopping’ waktu malam ini dikenali dengan Jonker Walk yang terletak di tengah bandar Melaka dan terletak di jalan Hang Jebat. Kalau di KL ni, Jonker Walk lebih kurang macam Petaling Street. Di Jonker Walk barang yang dijual adalah lebih kepada barang-barang yang lebih santai seperti baju, perhiasan wanita, beg, kasut, barangan kraf tangan yang unik dan juga berbagai-bagai barangan perhiasan yang lain. 

Pertama kali Uchee samapi di Jonker Walk ni, rambang mata juga lah tengok barang yang dijual di sini. Harga bagi barangan yang dijual di sini adalah berpatutan sesuai dengan jenis barang yang dijual. Dibuka hanya pada malam minggu iaitu hari Jumaat malam dan juga hari Sabtu malam dan  mula beroperasi pada jam 6 petang hingga 12 tengah malam. Dibuka pada malam minggu adalah salah satu tarikan utama untuk pengunjung yang berada luar dari Melaka. Selain itu, ia juga memberi peluang kepada orang ramai lebih bersantai membeli belah di waktu malam kerana  keesokan hari adalah hari cuti. Pada pendapat Uchee bagus diadakan tempat shopping pada waktu malam kerana malam cuaca tidak panas, untuk membeli belah kita lebih santai. 
 






Uchee: Seronok bercuti! 

Monday, 23 May 2011

Senggangkan Masa Anda



Berapa ramai je dari kita yang bersenam dengan cara yang konsisten? Uchee rasa ramai di antara kita yang melakukan senaman tapi bukan dengan cara yang konsisten. Kebanyakan dari kita juga tidak melakukan senaman, alasan yang biasa diberi adalah tiada masa kerana sibuk bekerja, menguruskan keluarga dan anak-anak yang masih kecil serta banyak alasan lain lagi. 

Kita disarankan agar melakukan senaman 3 kali seminggu, dilakukan 30 minit setiap kali. Bila bercakap fasal senaman orang mesti terfikirkan jogging, dan juga aktiviti yang melibatkan luar rumah. Sebenarnya apabila kita berjalan dan lakukan aktiviti yang mudah, ia dianggap senaman jika kita konsisten dan dapat menyihatkan badan dan mengeluarkan peluh. 

Sebenarnya, jika kita tiada masa untuk melakukan aktiviti senaman di luar rumah, kita sebenarnya digalakkan juga untuk melakukan aktiviti di dalam rumah. Uchee rasa aktiviti ini baik untuk wanita yang betul-betul sibuk menguruskan keluarga. Naik turun tangga, skipping, sit up, semua ni boleh kita lakukan di rumah. Kita sepatutnya tidak boleh mengabaikan senaman hanya kerana kesibukan bekerja dan menguruskan keluarga. Senaman yang dilakukan di rumah tidak melibatkan kos yang tinggi, senaman yang dilakukan di rumah boleh dilakukan dengan panduan cakera padat yang berupa lagu, kita boleh mengikut rentak lagu tersebut. Selain itu, kita juga boleh menggunakan botol air sebagai ganti untuk dumbell. Kita tidak perlu menggunakan peralatan yang canggih untuk bersenam, yang penting kita konsisten melakukan senaman tersebut. Seharusnya kita semua tidak patut memandang senaman ini sebagai suatu benda yang ringan.
 





Uchee: Biar badan ringan dengan senaman, jangan memandang ringan dengan tidak melakukan senaman.

Monday, 25 April 2011

Hargailah Ibu Bapa Anda



Uchee nak kongsikan dengan semua pembaca. Uchee sekarang ni tinggal dengan adik-beradik Uchee jer.. dah seminggu lebih mak dan abah uchee pergi menunaikan umrah. Pada masa ni kan baru Uchee sedar dan terasa bila keduanya tiada, mereka hanyalah pergi menunaikan umrah jer, tapi terasa sangat kehilangan mereka. Saat ini Uchee boleh bayangkan dan rasakan bagaimana mereka yang betul-betul telah kehilangan kedua-dua ibu bapa mereka… mereka lagi terasa kehilangan orang tua mereka kan.. 
 
Uchee ingin beritahu pada semua yang kita sebagai seorang anak hendaklah menghormati mereka, banyakkan berdoa buat mereka, tidak menyakiti hati mereka dan juga membalas jasa mereka selagi mereka masih ada. Jika diikutkan, kita sebagai anak memang tidak mampu untuk membayar balik walaupun dengan wang ringgit, jasa dan pengorbanan yang mak dan abah kita telah berikan kepada kita.. tak terbalas oleh kita semua. Oleh itu, kita sebagai anak buatlah apa yang kita rasa kita boleh lakukan sebagai seorang anak kepada kedua-dua ibu bapa kita. Andai kata, suatu masa nanti bila mereka telah tiada dan waktu itu kita baru nak menghargai jasa mereka, masa tu sudah terlambat untuk kita. Bila tiba dan sampai saat tu jangan ada rasa kesal di hati kita.
 






Uchee: Hargai lah setiap detik dan peluang yang ada bersama mereka..

Monday, 11 April 2011

Bahayanya ‘beg plastik’




Minggu lepas Uchee baru sahaja pergi membeli barang keperluan di sebuah pasar raya. Sekarang ni kalau kita lihat di pasar raya kerajaan sedang mengadakan kempen ‘kurangkan penggunaan beg plastik’ terutamanya yang membeli belah pada hari minggu. Setiap kali pergi membeli barang hari minggu Uchee tak lupa bawa beg sendiri. Bukan apa, ini adalah cara kita semua cuba menyelamatkan bumi kita. Selain tu, boleh membantu membendung masalah pencemaran. Di samping dapat juga menjimatkan kos terhadap beg plastik sebab beg plastik yang digunakan ada bayarannya.  Kita semua tentu sedar bumi ini sudah terlalu tua untuk kita semua. 

Oleh itu, tanggungjawab kita semua untuk menjaga bumi ini. Bumi kita hanya ada satu. Tapi yang Uchee tengok kempen ini hanya dijalankan di Pasar raya Besar sahaja tetapi kedai runcit dan peniaga kecil-kecilan masih lagi menggunakan beg plastik. Kan bagus kalau kita semua selaraskan kempen ni, tidak kira di mana pun kita membeli belah. Kita semua kena sedar yang penggunaan beg plastik di seluruh dunia lebih kurang 1 trillion. Seperti yang kita semua tahu beg plastik adalah bahan buangan yang tidak mudah mereput dah tidak mudah dihapuskan. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya membakar beg plastik ini, kerana asap yang dihasilkan boleh menyebabkan pencemaran. Jika kita tanam beg plastik ini, bahan toksin plastik tersebut akan masuk dlm sumber air kita pula, juga merosakkan kesuburan tanah. Bak kata bos Uchee “nanti anak kita nak tanam pokok, gali-gali ader plastik”... kurangkanlah penggunaan beg plastik.
 







Uchee: Jom sama-sama jaga bumi kita…   



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...