Followers

Showing posts with label Cik Sally. Show all posts
Showing posts with label Cik Sally. Show all posts

Wednesday, 10 August 2011

Bubur Pedas Menu Istimewa Ramadhan



Menapak kaki di bulan Ramadhan membuatkan Cik Sally begitu teruja. Apatah lagi berpeluang menjalani ibadah puasa bersama keluarga selepas bertahun di negeri orang. Hasilnya setiap kali berbuka, meja penuh dengan juadah dan Alhamdulillah setiap hidangan pasti licin. Almaklum makan ramai-ramai memang berselera.

Apa yang Cik Sally ingin kongsikan adalah menu istimewa ramadhan bagi masyarakat Melayu Sarawak iaitu Bubur Pedas. Sedap tau… nak cuba? Lan (jom) datang sitok (sini).

Bubur pedas sememangnya sangat sinonim kepada masyarakat Sarawak semasa bulan puasa. Kelazatannya usah dipertikai. Bubur pedas ni, mengandungi pelbagai campuran antaranya daging/ udang/ ayam, santan, kulit lembu (yang telah diproses), pebagai sayuran hutan seperti rebung, daun kunyit, mengkudu dan lain-lain (mengikut citarasa). Yang paling penting, perencah bubur pedas atau “bumbu bubur pedas”. Tanpa bumbu maka bubur pedas tidak akan menjadi.

Bumbu ini pulak diperbuat daripada beras, kunyit, lengkuas, dan macam-macam lagi rempah ratus tambahan yang Cik Sally pun kurang arif (selalu dapat yang dah siap dari makcik). Bahan-bahan ini diproses sehingga berbentuk serbuk atau di sebut bumbu. Ia tahan selama beberapa bulan bergantung dengan cara menyimpan.

Mesti kalian tertanya-tanya kenapa di sebut bubur pedas? Hidangan ini sedikit sebanyak menyerupai bubur sebab bahan-bahan campurannya dipotong kecil dan setelah masak ia kelihatan hancur serta pekat. Warnanya yang kekuningan dan bau sahaja sudah cukup membangkitkan selera di bulan puasa. Bubur pedas ni sedap dimakan begitu sahaja ataupun di hidangkan bersama nasi.

Apa pun ia antara masakan tradisional masyarakat Melayu di Sarawak dan turut digemari oleh pelbagai kaum. Inilah nikmatnya bumi Malaysia yang berpaksikan 1Malaysia. Saling berkongsi dan menghormati sesama kita.


Sally: Seronok berbuka bersama keluarga dengan juadah bubur pedas. Cubalah!

Friday, 5 August 2011

“LAN” (JOM) Pergi Serikin


Assalamualaikum…
Hai semua… sudah lama rasanya kita tidak bersua di ruangan 1-Klik ini. Bukan main rindunya, Cik Sally terhadap teman-teman semua.Jadi, untuk mengurangkan kerinduan di hati, Cik Sally mencuri sedikit waktu yang sentiasa berganjak ke depan ni untuk bersama kalian.
Kali ini, Cik Sally ingin mengajak semua untuk membeli-belah di Pasar Serikin yang terletak dalam Daerah Bau. Perjalanan dari Pekan Bau ke Serikin hanya mengambil masa dalam 15 ke 20 minit sahaja. Serikin ini merupakan perkampungan Bidayuh yang terletak di sempadan Sarawak dan Kalimantan Indonesia.
Setiap hari Sabtu danAhad, Kampung ini akan meriah dengan beraneka jenis barangan jualan. Ia beroperasi seawal jam 6.00 pagi lagi. Majoriti peniaga di sini terdiri daripada orang Indonesia dan sebahagian kecilnya rakyat tempatan. Barang jualan pula kebanyakannya buatan Indonesia. Murah dan menarik. Malahbagi yang bijak dalam bab tawar menawar ni pasti akan tersenyum lebar.
Serikin sememangnya begitu popular di kalangan kaki “shopping” bukan sahaja masyarakat tempatan tapi rakan-rakan dari Semenanjung dan Sabah. Biasanya jadual lawatan rakan-rakan kita ini tidak akan lengkap tanpa menjengah Pasar Serikin terlebih dahulu.
Lebih – lebih lagi menjelang raya ni pasti Pasar Serikin akan jadi lebih sesak dan padat dengan pengunjung yang berhajat membuat persiapan raya. Ada yang datang khusus untuk membeli oven untuk bakar biskut dan kek, telekung baru, selipar, bag tangan, kain sarong, langsir dan macam-macam lagilah. Pendek kata tak cukup tangan mejinjing bag plastik. Malah, ada juga yang datang dengan lori semata-mata nak beli perabot rotan. Semangatkan!
Apa pun Cik Sally nak mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua dan berbelanja tu biarlah berhemah. Bak kata orang “Kalah Membeli Menang Memakai”.


Cik Sally:  Sally tertarik kepada satu gerai yang menjual minuman…usaha sama anak-beranak katanya. Jadi nantikan Sally di keluaran akan datang.

Friday, 1 April 2011

Tasik Biru….Seindah Nama.



Seorang teman yang akan ke Kuching bertanyakan Sally, apa yang menarik di bumi kelahiran ku? Banyak yang menarik wahai teman…tapi, sebelum Sally berganjak kawasan lain, ada baiknya Sally ceritakan dulu tempat menarik di daerah Sally yek.

Kali ini Sally suka nak berkongsi keindahan Tasik Biru yang terdapat di Bau, Sarawak. Dulu masa Sally kecik-kecik, kat sinilah bapa Sally bawak kita orang adik-beradik beriadah. Kebiruan air dan keindahan panoramanya suatu ketika dahulu terlalu sukar untuk diterjemahkan. Pendek kata, setiap orang yang bertandang ke Kuching pasti akan singgah ke Bau semata-mata  untuk menikmati keindahan Tasik Biru.

Masa kecik-kecik dahulu, iaitu tahun 1980an, macam-macam aktiviti yang dibuat di tasik ini. Segar lagi di ingatan Sally keriuhan dan kegirangan pengunjung yang berkelah bersama keluarga, berkayak, bermandi manda dan tidak kurang yang mencuba ‘jong’ untuk penyertaan pertandingan Jong Regatta. Sebenarnya, Tasik Biru ni, merupakan kawasan bekas lombong emas yang di usahakan oleh Borneo Company bermula tahun 1898 sehinggalah kejadian banjir besar pada tahun 1921. Dulu ianya dikenali dengan Tai Parit Lake namun, nama tersebut ditukarkan kepada Tasik Biru pada tahun 1970an.

Keindahan Tasik Biru tergugat selepas kemalangan yang berlaku ke atas bas sekolah yang terjatuh ke dalam tasik ini. Kemalangan tersebut telah mengorbankan pelajar sekolah seramai 28 orang dan 2 orang guru pelatih pada akhir tahun 1980an. Selepas daripada kejadian tersebut, Tasik Biru di tutup dan kegiatan melombong emas dijalankan semula sehinggalah awal tahun 2000. Kini Tasik ini dihidupkan semula dengan menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti tandas, kedai makan, taman rekreasi dan sebagainya.





Sally: Jadi pada teman-teman yang bertandang ke Serikin tu…singgah-singgahlah ke Tasik Biru..yang mana namanya seindah panorama kebiruan airnya..

Monday, 28 March 2011

Pekan Emas Sarawak atau “Gold Town of Sarawak”



Assalamualaikum. 

Bersua kembali kita di ruangan 1klik. Seperti yang dijanjikan, kali ini Sally akan berkongsi cerita mengenai kampung halaman Sally. Bukan apa, sekadar mengubat kerinduan.Kampung Sally ni terletak dalam Daerah Bau yang begitu sinonim dengan hasil buminya iaitu emas sejak tahun 1850an lagi. Pada ketika itu, pencari emas terdiri daripada orang Cina yang berasal dari Sambas, Indonesia dengan dibantu oleh orang tempatan.

Menurut cerita yang Sally perolehi, penduduk Cina di Daerah Bau telah menyerang Rajah Brooke bagi menghalang pengambilalihan lombong emas. Namun begitu, usaha tersebut menemui kegagalan dan kerajaan Brooke mula membuka lombong emas pada tahun 1899 di atas nama syarikat yang dikenali sebagai Borneo Company. Pada masa itu, lombong tersebut di kenali sebagai Tai Parit Gold Mine dan Bidi Gold Mine.

Khazanah alam inilah yang membuatkan Daerah Bau begitu sinonim dengan gelaran Pekan Emas Sarawak atau Gold Town of Sarawak sehingga hari ini.

Untuk makluman teman-teman, Daerah Bau ni hanya 38km jer daripada Bandar Raya Kuching. Di daerah ini juga terdapat tempat-tempat menarik yang semestinya menjadi tarikan pelancong dan penduduk tempatan sendiri. Tempat-tempat tu, biarlah Sally simpan dulu untuk keluaran akan datang yer….sampai jumpa lagi…..






Sally: Ermmm entah-entah kat tapak rumah Sally pun ada emas kot…

Friday, 4 March 2011

Di situ Hatiku Bermukim…


Bila diberi tugasan ini…yang mengabdikan ruang untuk ku berceloteh berkongsi pengetahuan, pengalaman dan nasihat bersama teman-teman, hati ini melonjak gembira. Sukanya tidak terkira. Bersendirian di rantau orang. Berkelana demi mencari rezeki, demi pengalaman yang mematangkan diri dan yang penting demi jabatan yang tercinta. 


Walau jauh beribu batu terpisah dengan lautan China Selatan…namun Pulau Borneo terasa amat dekat di hati sanubari. Tidak pernah lekang dari ruangan mata. Pandangan alamnya, sepoi udara yang membuai rasa. Malah, lagu rakyat Puteri Santubong seolah-oleh terngia-ngia di telinga. Bak kata orang “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri”.

Di ruang ini, ingin Sally berkongsi keindahan bumi kelahiran Sally bersama teman-teman. Yang pastinya tidak ramai yang tahu…kampung halaman ku memiliki sumber alam yang amat berharga…






Sally: Jadi untuk mengetahui lebih lanjut, ikuti keluaran seterusnya akan datang…sabar yer…
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...