Followers

Wednesday, 18 November 2015

Sekuriti Dalam Menggunakan Telefon

Dengan gaya hidup kita yang semakin moden dan mencabar, kita perlu mengambil tahu tentang cara melindungi data peribadi kita daripada diketahui umum.


Anda pasti tidak mahu kata laluan, emel anda mahu pun kata laluan perbankan internet anda diketahui umum bukan? Bagaimana pula dengan nombor-nombor telefon keluarga dan rakan-rakan anda? Gambar-gambar peribadi anda yang mungkin boleh mendatangkan aib jika tersebar? Selain daripada berasa malu, ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab yang menggunakan taktik ugutan dan meminta wang sebagai syarat untuk memulangkan kembali data-data peribadi tersebut. Lebih teruk lagi jika telefon anda hilang

Ikuti tips-tips berikut tentang apa yang perlu anda buat:

1) Amalkan penggunaan kata laluan/’thread code’
Secara purata, semua telefon pintar memerlukan kata laluan sebelum boleh menggunakannya. Tapi janganlah guna kata laluan yang mudah dan senang untuk diteka, tetapi biarlah kata laluan itu mudah anda ingati. Begitu juga dengan telefon pintar baru yang menggunakan ‘thread code’. Pastikan kita sentiasa menukar kata laluan untuk tujuan keselamatan.



2) Buat salinan dan selaras (backup & sync)
Sentiasa buat salinan data dari telefon anda untuk memastikan dokumen-dokumen penting tidak hilang. Kini terdapat banyak perkhidmatan percuma yang boleh kita gunakan untuk membuat salinan data-data penting. Juga pastikan ia boleh diselaraskan (sync) bagi memastikan data kita sentiasa terkini.

3) Hapuskan segala data
Kini terdapat banyak aplikasi yang boleh diaktifkan apabila kita melaporkan kehilangan telefon pintar kita. Cara ini terbukti sangat berkesan di dalam melindungi data peribadi kerana, aplikasi tersebut boleh diaktifkan dari jauh dan secara senyap, ia boleh memadamkan semua maklumat, data dan fail-fail peribadi anda.

Dan jika anda jumpa semula telefon anda, boleh guna poin #2 untuk mendapatkan semula data terkini anda.

4) Kemas kini perisian dan aplikasi
Ia mungkin kelihatan remeh, kerana setiap kali kita mengemas kini aplikasi, pihak pembangun sistem (system administrator) akan menambah beberapa fungsi atau ciri-ciri baru. Tetapi dari segi keselamatan juga, dengan setiap kemaskini yang mereka buat; segala eksploitasi yang dikesan akan ditutup. Ia membuatkan perisian dan aplikasi tersebut lebih kebal daripada digodam.

5) Log keluar selepas membuat pembayaran ‘online’ dan padam cache selepas selesai
Tidak dinafikan setiap portal bayaran kebiasaannya menggunakan tahap keselamatan yang tinggi, tetapi apabila kita tidak log keluar dengan betul; masih terdapat ‘sisa-sisa’ dan ‘jejak-jejak’ data yang boleh digunakan oleh pihak bertanggungjawab.
Oleh itu pastikan anda sentiasa log keluar setiap kali anda membuat mana-mana bayaran di mana-mana portal, padam semua cache sebagai cara melindungi data peribadi anda. Kadang-kadang kita terpaksa melakukannya demi menjaga keselamatan kata laluan kita tadi.




6) Padam WiFi dan Bluetooth jika tidak digunakan
Jangan biarkan WiFi dan Bluetooth dibiar dipasang begitu sahaja 24 jam sehari. Penggodam yang licik sering mencari peluang untuk berhubung dengan telefon pintar anda menggunakan WiFi atau Bluetooth. Jika mereka dapat mana-mana hubungan yang tidak dijaga rapi, segala data dan maklumat anda akan terdedah.

7) Jangan beri maklumat peribadi sewenang-wenangnya
Perkara ini turut terjadi di dunia nyata di mana akan ada orang tiba-tiba telefon kita kononnya dari pihak bank dan meminta maklumat peribadi kita. Perkara yang sama juga di dunia maya, jangan sesuka hati beri apa-apa maklumat peribadi kepada mana-mana pautan yang tidak dikenali. Juga jangan klik pada mana-mana pautan yang datang dari sumber yang tidak dikenali. Ini kerana, virus dan ‘malware’ akan sentiasa menunggu untuk menyerang telefon anda.

8) Catat nombor IMEI telefon anda
Akhir sekali, pastikan anda catat nombor IMEI telefon anda. IMEI adalah unik bagi setiap telefon, kita boleh anggap ia seperti nombor kad pengenalan bagi setiap telefon yang dikeluarkan di dunia ini.
Tujuannya ialah, apabila telefon pintar anda hilang; syarikat telekomunikasi boleh halang telefon anda daripada menggunakan mana-mana kad Sim daripada menggunakan telefon pintar yang dilaporkan hilang tadi. Juga jika telefon pintar anda ditemui semula, bolehlah buktikan bahawa ianya milik anda berdasarkan nombor IMEI tersebut.

Selamat mencuba!

AveiroPJ: Sebenarnya ada banyak cara melindungi data peribadi anda. Telefon pintar kalau hilang, boleh ganti baru; persoalannya telefon murah atau mahal je. Tetapi jika data atau gambar peribadi anda disalahgunakan? Pikir-pikirlah sendiri ya…


Tuesday, 17 November 2015

Kasut dan Kaki



Kaki merupakan anggota yang paling banyak terbeban kerana terpaksa menanggung hampir keseluruhan berat badan seseorang. Ramai yang memikirkan kasut cantik sahaja tanpa memikirkan kondisi kaki yang memakai kasut itu. Keselesaan dan kesihatan kaki perlu dititik beratkan agar dapat menjalani kehidupan yang baik dan selesa


Orang kata, menggayakan kasut biarlah sepadan dengan usia. Ini kerana, tidak semua kasut sesuai dan selamat buat anda. Mengenali jenis-jenis kasut yang sesuai dengan bentuk dan juga saiz kaki, serta panduan berguna membeli kasut dengan betul agar anda tidak merana kesakitan atau asyik perlu menukar dan memulangkannya.

Semestinya anda perlu memilih saiz kasut yang betul. Caranya dengan mengetahui bentuk kaki anda. Ada yang tapak kaki lebar dan panjang. Untuk pengetahuan anda, kedua-dua belah tapak kaki kita tidak sama kerana ia tidak begitu ketara jika dilihat dengan mata kasar. Biasanya kaki kanan lebih besar dan disebabkan itu, kebanyakan kasut yang dijual di pasar raya mempamerkan kasut kaki kanan. Elak memilih kasut yang ketat dengan menganggap kasut akan longgar apabila kerap pakai dan mudah muat apabila diregangkan.


Kasut cantik tidak mencukupi jika anda tidak pandai menjaga kaki anda. Memastikan kuku sentiasa pendek, tidak berbau dan tidak mengalami sebarang masalah adalah perkara utama buat lelaki dan wanita jika mahu lebih yakin ketika/saat melangkah keluar dari rumah.

Ini tips yang sesuai digunakan untuk membeli kasut dan pada masa yang sama menjaga kaki anda:

  • Beli kasut pada lewat petang kerana kaki kita berada pada saiz sebenar pada waktu itu.
  • Cuba kedua-dua belah kasut dan rasa keselesaan memakainya sebelum membeli. Kaki kanan biasanya lebih besar daripada kaki kiri. Belilah kasut yang besar sedikit daripada saiz kaki.
  • Jika ingin beli kasut tertutup, pastikan jari kaki anda dapat digerakkan di dalam kasut
Selamat mencuba!



AveiroPJ: Macam susah je nak beli kasut sampai kena tunggu lewat petang..  =)

Mengapa Perlu Tidur Awal?

Tidur adalah makanan untuk badan kita. Tanpa rehat yang cukup dan sempurna kita akan terdedah kepada pelbagai jenis penyakit dan juga fizikal kita akan sentiasa kepenatan dan lesu. Tetapi adakah kita semua tahu mengapa kita harus mengamalkan tidur dan rehat yang cukup?


Berikut adalah lima sebab mengapa anda perlu untuk tidur lebih awal.

1- Mengembalikan Tenaga Dan Merehatkan Badan
Malam merupakan satu-satunya waktu yang paling ideal untuk tubuh berehat. Tidur yang sekurangnya (6 jam bagi orang dewasa) membantu proses pembaharuan sel dalam badan. Selain itu, ia juga mampu mengembalikan tenaga yang hilang ketika melakukan aktiviti seharian.

2- Memelihara Kitaran Otak Dan Menghilangkan Stress
Kebiasaan berjaga malam juga akan menyebabkan jam biologi otak kita juga mungkin akan berubah. Otak yang sentiasa berfungsi tanpa direhatkan dengan masa yang cukupi. Apabila berlaku perubahan maka ianya akan menghasilkan kitaran baru pada organ dalam tubuh. Perkara ini pastinya akan mengganggu keadaan tubuh yang normalnya. Tubuh yang normal akan meningkat kecergasannya pada waktu pagi dan menurun pada waktu malam, namun berfungsi sebaliknya. Tidur awal juga dapat menghilangkan bebanan stress.

3- Meningkatkan Sistem Immunisasi
Sesetengah orang tahu, sistem immunisasi amat diperlukan oleh tubuh kita untuk melawan dan menahan daripada serangan pelbagai penyakit. Jika seseorang terus-menerus berjaga malam ianya akan memberikan kesan kepada sistem pertahanan tubuh. Udara pada waktu malam mengandungi unsur yang tidak baik pada kulit dan pernafasan. Jika seseorang terus-menerus berjaga malam ianya akan memberikan kesan kepada sistem pertahanan tubuh.





4- Menurunkan Berat Badan, Menyihatkan Jantung
Tidur awal boleh mempengaruhi penurunan berat badan. Tidur dan bangun lebih awal adalah cara mudah untuk mendapatkan berat badan yang ideal. Serangan sakit jantung dan strok biasanya berlaku pada awal pagi. Kurang tidur akan menaikkan lagi tekanan darah dan paras kolesterol yang menjadi punca kepada penyakit jantung dan strok. Oleh itu, tidur awal yang secukupnya adalah diperlukan supaya jantung lebih sihat.

5- Memanjangkan Jangka Hayat

Tahukah anda, jika tidur yang tidak mencukupi akan menyebabkan hayat seseorang itu pendek. Ini kerana ia menjejaskan kesihatan tubuh badan. Kajian terbaru menunjukkan bagi kaum lelaki yang kurang mendapatkan tidur pada hari bekerja mendedahkan diri mereka kepada risiko diabetis tahap dua. Oleh itu, tidur lebih awal mampu memanjangkan jangka hayat.

Sekiranya kita dapat mengamalkan tidur yang cukup dan sempurna, pastinya kita dapat menyihatkan fizikal dan mental kita secara keseluruhannya. Selamat mencuba!.

AveiroPJ : tidur, tidur juga..jangan tidur di tempat kerja.. =)

TIPS PENJAGAAN JANTUNG

Jantung merupakan salah satu organ yang amat penting terdapat dalam tubuh kita. Tanpanya, sudah pasti kita semua tidak bernyawa. Justeru, untuk menjamin kesejahteraan dan kesihatan tubuh kita, amat wajar sekali perhatian sejak dari awal diberikan kepada jantung.
Seperkara perlu diingatkan, jantung kita akan terus berdenyut selagi hayat masih ada untuk mengepam darah yang mencukupi bagi kegunaan sel-sel tubuh. Namun disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat, sebahagian besar daripada kita cenderung untuk mendapat serangan sakit jantung.
Seperti yang dimaklumi, serangan sakit jantung merupakan salah satu punca utama kematian di kalangan rakyat di negara-negara maju dan membangun seperti Malaysia. Hakikatnya, serangan sakit jantung bukan tidak boleh dielakkan. Cumanya, kita perlu menjaga jantung kita bermula dari sekarang. Bagaimanakah caranya?

Pertamanya, kita mesti memulakan tabiat baik sejak kanak-kanak lagi agar ia (amalan baik) itu berterusan sehingga dewasa kelak.

Terdapat banyak cara dan petua diberikan berhubung cara bagaimana menjaga jantung kita.

Buku-buku mengenai hal yang sama juga banyak terdapat di pasaran. Salah satunya ialah yang ditulis oleh Dr. Jamilah Jamaludin berjudul Jantung - Antara Hidup dan Mati (1997), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Di dalam buku ini, beliau menurunkan beberapa petua menjaga jantung bagi dijadikan panduan. Antaranya ialah mengawal berat badan, menjaga pemakanan, berhenti merokok, bersenam, mengurangkan tekanan atau stres dan melakukan perubahan gaya hidup.

Kawalan Berat Badan
Kegemukan sering mencetuskan faktor risiko lain seperti paras lemak yang tinggi, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Oleh itu, berat badan berlebihan hendaklah dikurangkan kepada nilai yang sesuai bagi bentuk badan seseorang itu.

Dan lazimnya, kegemukan itu disebabkan oleh makanan berlebihan yang mungkin diamalkan sejak kecil lagi. Realitinya, mereka yang memiliki berat badan berlebihan tidak bergiat aktif, lantas kalori yang tinggi dalam makanan mereka tidak digunakan.

Maka lebihan makanan itu ditukarkan kepada lemak yang berkumpul pula pada bahagian-bahagian tertentu di badan seperti paha, perut dan sebagainya tanpa ketinggalan jantung. Tetapi apabila lemak berkumpul di jantung, ia akan mengganggu kerja-kerja jantung.

Pemakanan
Bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan, boleh mengelakkan makanan yang kaya lemak seperti mentega, keju, minyak sapi dan makanan bersantan.

Pesakit jantung sendiri dinasihatkan supaya mengambil hanya sedikit makanan berlemak. Makanan yang mengandungi kolesterol hendaklah dielakkan. Ini termasuk telur, mentega, hati, otak dan sebagainya. Penggunaan minyak dalam penyediaan makanan juga patut dibataskan. Sebaliknya, digalakkan makanan yang dimasak secara kukus dan panggang. Masakan cara ini adalah lebih baik.

Sayur-sayuran seperti lobak, mentimun, semua jenis kubis dan sayur berdaun hijau selain buah-buahan adalah baik untuk men-jamin kesihatan dan kesejahteraan hidup. Justeru, amat baik sekali ia diamalkan setiap hari pengambilannya.

Seperkara lagi yang berkaitan dengan pemakanan ialah dinasihatkan tidak mengambil alkohol. Ia bukan sahaja menyulitkan usaha menurunkan berat badan tetapi turut mendatangkan bahaya pada tubuh, lebih-lebih lagi hati
Berhenti Merokok
Majoriti mereka yang mendapat serangan sakit jantung ialah kalangan yang merokok. Jika pernah mendapat serangan jantung, perlulah menurut nasihat doktor supaya amalan menghisap rokok dihentikan. Ini berupaya mengurangkan risiko berulangnya sakit jantung itu.

Bersenam
Bersenam adalah cara terbaik untuk menjaga kesihatan. Joging, berjalan dan mengayuh basikal merupakan antara contoh senaman bagi mereka yang ada mengalami serangan jantung. Pendek kata, sebarang senaman yang dibuat secara teratur adalah baik dan jelas sekali aktiviti ini dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung.

Aktiviti senaman dapat membantu jantung mengedarkan darah secara lebih berkesan. Selebihnya, dengan bersenam secara teratur turut menjadikan tekanan darah diturunkan.
Perubahan Gaya Hidup
Risiko mendapat penyakit jantung koronari dan hipertensi/tekanan darah tinggi sering dikaitkan dengan amalan atau cara hidup seseorang. Ini meliputi aspek pemakanan, aktiviti riadah, tabiat merokok dan sebagainya.

Sekiranya perkara ini menjadi amalan kita, amalan hidup yang sihat tentunya boleh diamalkan demi menjaga tubuh kita, sekali gus menjaga jantung agar hidup sentiasa sejahtera.

..
AveiroPJ: Ingatlah..jantung adalah nadi untuk kita..

Wednesday, 23 April 2014

Kepentingan Memeluk Anak

Salam semua... 

Pernahkah ibu-ibu serta bapa-bapa semua berfikir, berapa kerapkah anak memeluk anak anda? Tahukah anda, ketika sedih, anak mahu dipeluk. Ketika hendak berpisah dengan anda, dia juga mahu dipeluk. Pelukan juga mampu untuk menghentikannya dari mengamuk. Dengan pelukan, anak boleh merasakan cinta anda. 

Anda sudah membuktikan kebaikan pelukan kepada bayi baru lahir. Ketika bayi menangis, tangisannya beransur reda apabila ibu atau bapa memeluk dan menepuk perlahan tubuhnya. Jadi, berapa kali anda memeluk anak hari ini?


Pelukan Ubat Mujarab

Mengurangkan depresi dan meningkatkan kekebalan tubuh. Pelukan juga boleh memberi tenaga baru pada tubuh yang kepenatan menjadi segar dan merasa muda. Pelukan yang dilakukan di rumah secara rutin akan memperkukuhkan kasih sayang.

Jumlah hemoglobin atau sel darah merah dalam darah akan meningkat ketika seseorang disentuh. Hemoglobin adalah darah yang mengangkut oksigen ke seluruh tubuh termasuk ke jantung dan otak. Peningkatan jumlah hemoglobin boleh mencegah dan menyembuhkan penyakit.

Peluklah anak sebelum ke tempat kerja. Ini akan membuatkan ibu bapa fokus pada pekerjaan, berasa bahagia dan menjadi produktif.

Manfaat pelukan untuk anak:

•  Merangsang perkembangan sel otak
•  Mengurangkan stres.
•  Merangsang rasa mengantuk
•  Membangun konsep diri  yang positif.
•  Mengurangkan emosi negatif seperti kesepian, cemas dan kekecewaan.
•  Mengatasi rasa takut.
•  Peralihan tenaga.

Mummy pernah menghadiri satu ceramah keibubapaan, penceramah ketika itu pernah berkata untuk mendapatkan anak yang 'lembut', peluklah anak anda sebanyak 8 kali sehari!



Mummy: Walau sesibuk mana pun kita, anak juga perlukan perhatian.. Cuma peluk sahaja anak anda!


Sumber: Mingguan Wanita

Friday, 18 April 2014

Tips Mencari Pasangan

Tips mencari pasangan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr Haji Fazillah Kamsah – Pakar motivasi

Memang benar frasa kata “jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan”, tetapi tahukah kita bahawa kitalah yang perlu berusaha secara berterusan dan istiqamah dengan apa yang kita usahakan demi mendapatkan keredhaan Allah SWT?. Asbab usaha yang berterusan, bersungguh-sungguh dan yakin akan ketentuan Ilahi, semoga dapat dipertemukan jodoh dan pasangan yang sesuai dalam melayari bahtera perkahwinan dan InsyaAllah berkekalan hingga ke akhirat.

Berikut adalah ringkasan 10 tip dan panduan khusus yang dianjurkan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Haji Fazillah Kamsah untuk dijadikan renungan bersama dalam memilih pasangan: 
1. Seimbangkan hidup anda dengan sempurna agar diri anda jadi seperti “magnet” yang menarik bakal pasangan anda kepada anda.

2. Daya tarikan yang sebenar berpusat di hati yang murni. Berusahalah untuk mencuci hati anda daripada semua perasaan yang negatif terhadap semua orang di dunia ini

3. Agar mudah orang sayang, cuci hati dengan jaga ibadah, solat taubat, beristighfar, baca Al-Quran, maafkan orang lain, meminta maaf, bersedekah dan berfikiran positif.

4. Sayangi semua orang di sekitar anda dan anda akan menarik sayang terhadap anda. Jika anda membenci orang, ditakuti bakal pasangan anda akan membenci anda.

5. Orang yang sedang mencari pasangan harus sentiasa bersedia untuk bertemu dengan pasangannya pada bila-bila masa. Justeru, kita perlu sentiasa dalam keadaan yang paling menarik setiap masa. Tanggapan pertama adalah yang terpenting.

6. Untuk lelaki, tarikan pertama ialah pakaiannya. Untuk perempuan, wajah dan bentuk badan menjadi tarikan pertama. Sediakan diri untuk menawan bakal pasangan anda.

7. Buka hati dan minda anda untuk menerima cinta. Cinta boleh berputik pada bila-bila masa. Cinta mudah datang kepada mereka yang sentiasa bersedia untuk menerima cinta.

8. Pujian yang berhikmah dan ikhlas bertindak sebagai magnet yang menarik anda kepada bakal pasangan. Pujian daripada kawan baru lebih bermakna dan berkesan berbanding pujian daripada kawan lama.

9. Orang yang merasa dirinya hodoh sukar untuk mendapat pasangan. Carilah kecantikan yang ada pada anda dan bentuk keyakinan diri. Hati yang suci dan keyakinan yang tinggi menyerlahkan kecantikan anda.

10. Keikhlasan amat penting dalam memuji atau memotivasi bakal pasangan. Jika kita didapati bohong, dia akan terus menjauhkan diri daripada kita.

Sumber disunting dan dipetik daripada http://www.fadzilahkamsah.com

Ainafiras: Carilah pasangan yang baik untuk masa depan yang lebih stabil!

Thursday, 17 April 2014

Cara Mendidik Anak Dengan Penuh Hikmah

Kebanyakan dari kita sering menghadapi masalah dalam mendidik anak-anak seawal usia mereka membesar. Ada kalanya kita menjadi binggung dengan pelbagai karenah dan tatalaku yang ditunjukkan oleh anak-anak ini yang kerap kali kita membuat telahan sebagai satu protes. Tindakan protes ini berlaku dalam pelbagai keadaan dan salah satu darinya adalah dengan mendiamkan diri atau menangis (bagi anak yang berusia dalam lingkungan antara 1-6 tahun) untuk mendapatkan sesuatu yang diingininya. Maka tidak hairanlah ibu bapa sering dalam kebingungan apabila anak-anak mereka sering menangis, malah lebih parah ‘berguling-guling’ dan ‘menghentak-hentak’ kaki tanda protes di tempat awam.

Sebenarnya masih tiada formula khusus dalam mendidik anak-anak seawal usia 1-6 tahun tetapi kebanyakkan dari ibu bapa memilih untuk mendidik anak-anak mengikut Sunnah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW (bagi yang Muslim) dan mengikut teori psikologi dalam pendidikan keibubapaan. Menurut Datuk Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah dalam bukunya, 21 Kaedah Mendidik Anak cemerlang, ilmu mendidik anak adalah satu ilmu kemahiran yang perlu dimiliki oleh ibu bapa sebagaimana perlunya mereka memiliki ilmu kemahiran rumah tangga, kewangan, teknikal dan agama.



Sebagaimana yang disampaikan dan diajar oleh Junjungan Besar Rasulullah s.a.w., Baginda telah menggariskan empat tahap mendidik anak iaitu:

Tahap pertama: Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun ) hendakkah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana haiwan menjaga anak.

Tahap kedua: Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh(14 tahun) hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan beri tanggungjawab.

Tahap ketiga: Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun ) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat.

Tahap keempat: Anak berumur lebih 21 tahun. Hendaklah para ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat.Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakkan mereka terkawal.

Manakala dalam konteks masa kini ibu bapa adalah disaran agar lebih berfikiran terbuka dengan menjadikan anak-anak sebagai “rakan” dan “teman akrab” sejak dari kecil bagi membentuk hubungan komunikasi yang lebih mesra dan dalam pada masa yang sama bertegas dalam hal-hal yang berkaitan dengan pembentukan jati diri anak-anak. Antara yang digariskan oleh YBhg Prof. Dr Muhaya Mohamad dalam mendidik anak adalah :

1. Harus bercakap dan menerangkan kenapa kita melakukan sesuatu kepada anak-anak.

2. Pelaburan paling baik ialah mendidik jiwa anak anak dgn akidah ibadah dan akhlak yang baik. Jom audit aktiviti kita hari ini ke arah mana.

3. Tanggungjawab ibu bapa adalah untuk menjaga akidah dan akhlak anak-anak. Sebelum itu, ibu bapa terlebih dahulu mengetahui tentang akidah dan akhlak yang betul. Acuan pendidikan adalah agama dan contoh Rasulullahlah SAW. 

4. Semoga kita semua menjaga hati dan jiwa kita dan anak anak dengan mengelakkan budaya tidak sopan didalam apa jua urusan harian 

5. Henti mengaib dan memberi aib kepada orang lain

6. Kemuncak hidup kita untuk mendapat husnul khatimah

7. Selalu tanya pada diri, apa yang diri dapat daripada mempercayai sesuatu berita buruk dan menyebarkannya. Lihat dalam mata anak kita dan bayangkan apakah hasil kehidupan dan buah yang mereka akan tuai hasil daripada apa yang kita semai pada hari ini. 

Amat jelas bahawa, keperibadian seseorang haruslah dibentuk bersandarkan kepada ajaran agama yang mendorong kita melakukan yang terbaik untuk anak-anak. Jika duniawi dan akhirat adalah seiring maka hubungan kita denagn Pencipta, keluarga, anak-anak dan rakan akan menjadi lebih tenang, mesra dan penuh hikmah.

Rujukan:
1. 7 Kaedah mendidik anak cemerlang-Oleh YBhg. Dato’ Dr. Haji Mohd Fazillah Kamsah
http://www.fadzilahkamsah.com/

2. 7 tips Didik Anak Dr Muhaya, yang dipetik dari blog http://www.kasihbondamama.com


Ainafiras: Anak-anak ibarat kain putih, kitalah yang mencorakkannya...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...